Nursyazwani Aznan telah dilahirkan di Kuantan, Pahang pada tahun 1991. Dibesarkan oleh ibubapa yang bekerja sebagai guru, beliau memiliki persona yang suka belajar, berkongsi ilmu dan aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di lapangan.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) yang diperoleh pada tahun 2014. Telah tercatat rezeki di UTM, beliau ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Sains pada tahun 2015 dan memulakan karier di Unit Pengurusan Bahan Kimia, Pusat Pengurusan Makmal Universiti. Menggalas amanah yang besar di unit induk memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar. Justeru beliau mendaftar pula untuk melanjutkan pengajian separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana dan berjaya dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar), UTM dengan pencapaian kelas pertama pada tahun 2018.
Seiring dengan pencapaian akademik, beliau tetap komited kepada tugasan hakiki yang memerlukan pengiktirafan kompeten sebagai pakar bidang. Berikut adalah beberapa pencapaian beliau :
- Auditor bagi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM.
- Kompeten dan berdaftar dengan DOSH pada tahun 2019-2022 bagi pensijilan Juruteknik Higien 1 (HQ/19/JHI/00/00040), pemantauan pendedahan bahan kimia.
- Jurulatih bertauliah setelah menghadiri dan lulus kursus Train the Trainer 1 (2019) dan Train the Trainer II (2021) dari NIOSH Malaysia.
- Penulis buku Panduan Keselamatan Penggunaan Bahan Kimia dan Gas, UTMPress (2023).
- OSH Coordinator (JH/23/OSHC/02/01585) yang diperakui oleh DOSH bermula pada tahun 2023.
Dari sisi peribadi, beliau telah berkahwin dengan seorang Pegawai Polis dan telah dikurniakan 3 cahaya mata. Beliau berharap agar dapat menjadi contoh yang baik kepada anak-anak untuk terus berjuang dan mencintai ilmu. Justeru, beliau kini sedang cuti belajar bermula pada September 2023 sehingga September 2026 bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (Governans Bahan Berbahaya dan Sisa) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).