Part of My Task (2)

with No Comments

As simple as i could prepare for it. Sharing for info

TEKS UCAPAN PENGARAH/CIO
23 September 2018
“Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Staf CICT”

 

Bismillahirrahmanirahim.

Terima kasih Tuan/ Puan Pengacara Majlis,
Yang berbahagia Timbalan-Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian,
Yang berusaha dan dikasihi staf CICT sekelian.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan keizinan-Nya, Majlis Kecemerlangan dan Penghargaan Staf CICT 2017 dapat diadakan pada petang ini.

Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat yang telah berusaha menjayakan majlis ini dengan tema yang sama iaitu “Terukir Di Bintang” dan hashtag #strongertogether.

Majlis Anugerah Kecemerlangan pada hari ini membuktikan bahawa modal insan berprestasi tinggi sentiasa diberi penekanan di CICT kepada seluruh warga UTM amnya dan diiktiraf dalam Majlis Citra Karisma UTM pada 10 Julai 2018 yang lalu. Syabas dan tahniah kepada penerima-penerima APC tahun 2017. Pemberian pengiktirafan dalam bentuk anugerah kecemerlangan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan pengurusan atasan CICT dan UTM terhadap modal insan berkualiti serta budaya berprestasi tinggi.

Saudari dan saudari,
Pada majlis kali ini terdapat 8 kategori anugerah bakal diterima oleh staf CICT. Sesungguhnya majlis ini diadakan khas untuk mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti saudara saudari. Saya juga percaya bahawa saudara saudari telah berkhidmat dengan penuh cemerlang dan mampu menjadi role-model yang berupaya menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja yang lain.

Usaha mengadakan Anugerah Inovasi (kumpulan) bertujuan untuk menggalakkan penciptaan serta penyuburan inovasi, sekali gus memberi pengiktirafan ke atas pelaksanaan inovasi di CICT. Anugerah Penjanaan pula diberikan bagi motivasi staf dalam usaha mendapatkan penjanaan bagi membantu sumber kewangan CICT.

Selain menumpukan perhatian terhadap tugas rasmi yang dipertanggungjawabkan, tidak kurang pentingnya juga bagi kita melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti sukan, khidmat masyarakat melalui kebajikan dan sosial. Dengan penglibatan ini kita akan dapat memupuk semangat bekerjasama, tolong-menolong dan sifat saling mempercayai di kalangan rakan-rakan setugas.

Di samping menjalin “networking” yang baik sesama kita, penglibatan di dalam aktiviti sukan juga dapat “merehatkan” minda daripada terus-menerus memikirkan urusan harian dan pekerjaan. Justeru saya amat menggalakkan staf CICT untuk meluangkan masa menyertai pelbagai aktiviti sukan yang dianjurkan oleh Universiti.

Dalam kesibukan melaksanakan tugas-tugas rasmi, ketua-ketua Bahagian juga hendaklah turut sama meluangkan masa menjayakan program sukan, kebajikan dan sosial bagi meningkatan persefahaman serta mengukuhkan semangat bekerja berpasukan seterusnya menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Saudara-saudari,
Bagi mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada saudara dan saudari yang berjaya memperolehi pengiktirafan Anugerah Cemerlang dan Penghargaan CICT pada tahun ini. Sesungguhnya saya amat berbangga dan berterima kasih di atas keupayaan pegawai-pegawai kita menunjukkan prestasi cemerlang dan telah mempamerkan prestasi kerja sehingga melayakkan untuk dicalonkan dan seterusnya dipilih sebagai penerima anugerah. Semoga komitmen cemerlang yang diberikan ini diteruskan malah menjadi contoh ikutan dan pengaruh positif ke arah kecemerlangan CICT secara keseluruhan.

Sekian,
Wabillahittaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.