Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.
Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (al-Tawbah (9) : 36)
Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran : Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu-di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.
Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662)
Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarakat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan.
PUASA REJAB
Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’Fatawa:
Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dhaif yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dhaif yang masuk dalam kategori hadis dusta. – Dinukil dari kitab al-Bidabal-Hauliyyah karya bAbdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.
Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata: Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. – Dinukil dari kitab al-Bidab al-Hauliyyah, ms. 245.
Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata: Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah (Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah)
Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.
Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif)
Malah Saidina Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab : Daripada Atha, dia berkata: Ibnu Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). (Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif)
Selain dari itu terdapat juga di kalangan masyarakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:
Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.
Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.
[sumber: http://manipal-iya.blogspot.com]