Setiap kali Majlis Penganugerahan Staf (Terukir Di Bintang), saya diberi tanggungjawab untuk menyediakan teks ucapan Pengarah/CIO. Hasil dari carian beberapa teks ucapan Menteri/Naib Canselor dapatlah sedikit info untuk rujukan dan panduan.Majlis kali ini diadakan pada sebelah petang (Hi-Tea) di Impiana Hotel, Senai Johor dan dihadiri hampir keseluruhan pegawai dan staf sokongan Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Alhamdulillah.
Tahniah kepada penerima anugerah.
—————
TEKS UCAPAN PENGARAH/CIO – 12 Disember 2019
Bismillahirahmanirrahim.
Terima kasih kepada pengacara majlis.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala (SWT) kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di Majlis Penghargaan dan Kecemerlangan Staf Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Terima kasih saya ucapkan kepada urusetia yang telah bertungkus lumus untuk menganjurkan majlis ini dan kepada semua staf yang meluangkan masa hadir walaupun ada kekangan dan kesibukan tugas masing-masing.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada usaha, kudrat dan pengorbanan semua staf secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu pencapaian CICT sehingga ke tahap ini. Banyak perubahan, cabaran dan kejayaan yang telah kita harungi bersama. Tahniah atas sumbangan dan kesungguhan anda semua.
Kebolehan pegawai dan kakitangan CICT hendaklah sentiasa dibentuk dan digilap supaya terus bersinar serta kompetensi mereka terus ditingkatkan untuk menjamin kecemerlangan organisasi.
No one should sell themselves short. Each and everyone of us can be that glimmers of inspiration.So don’t be just a rock when you really are a gem. A gem cannot be polished without friction, nor man perfected without trials.
Justeru, saya berharap agar penerima anugerah pada tahun ini sebagai pembakar semangat kepada semua warga CICT yang lain untuk mereka memangkin kecemerlangan dalam pelbagai aspek sama ada dalam penjalanan tugasan harian mahupun sahsiah, sekaligus mewujudkan satu persekitaran persaingan yang positif.
Akhir kata, sekalung tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada penerima Sijil Anugerah dan penghargaan atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan. Saya amat-amat berharap agar budaya dan momentum kecemerlangan yang telah tuan-tuan dan puan-puan kecapi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa
Saya menyeru kepada seluruh warga CICT agar menjadikan kecemerlangan rakan-rakan seperjuangan tuan-tuan dan puan-puan sebagai pembakar semangat dalam meningkatkan prestasi dan kualiti perkhidmatan pada tahun ini dan juga tahun-tahun mendatang.
Jadikan tahun 2020 “the year of success and the year of impressive result”!
Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.