10 Fakta Tentang STAMINA

with No Comments

 

Kita sering mendengar istilah stamina, tak pancit, fit dan sebagainya. Semua orang tahu apa itu stamina, dan di mana terletaknya stamina seseorang. Kita telah didedahkan dengan istilah stamina sejak kita mengenal matapelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah lagi, atau sejak kita berkecimpung dengan aktif dalam sukan-sukan tertentu.

Pada entri kali ini, aku tidak mahu bercerita mengenai hal Pak Dollah yang pancit (tiada stamina) ketika berfutsal malam semalam, atau Dek Non Senah yang semput menaiki tangga ketika memperbaharui lesennya minggu lepas. Aku akan menyenaraikan 10 fakta menarik berkenaan stamina, yang mungkin ada di kalangan anda sudah tahu, atau tak tahu.

1 – Seseorang dikatakan mempunyai stamina yang tinggi jika dia mampu melakukan sesuatu pekerjaan (yang melibatkan pergerakan fizikal tubuh badan) tanpa henti untuk tempoh yang lama, tanpa menunjukkan tanda-tanda penat, letih atau semput.

2 – Stamina mengambil masa yang agak lama untuk dibentuk, namun mengambil masa yang singkat untuk kehilangannya. Kebiasaannya, stamina seseorang individu akan hilang lebih 50% jika berhenti bersenam selama 2 minggu.

3 – Stamina amat bergantung pada faktor usia. Tidak hairanlah jika dalam kelas pendidikan jasmani (PJ) di sekolah, anak murid akan mempunyai stamina yang lebih hebat berbanding cikgu PJ nya sendiri. Ini belum termasuk lagi jika cikgu PJ tersebut mempunyai perut yang boroi (dah tak jaga makan) atau merokok, maka makin jauh perbezaannya tu.

4 – Antara banyak-banyak senaman kardio, senaman yang paling cepat untuk meningkatkan stamina pada tahap ‘tip top’ adalah High Intensity Interval Training (HIIT). HIIT adalah contoh senaman larian di mana anda berjalan pantas untuk tempoh tertentu, kemudian berlari perlahan (jogging) untuk tempoh tertentu, kemudian berlari pecut sekuatnya untuk tempoh tertentu juga. Melakukan ketiga-tiga ini adalah dikira sebagai satu set, dan kebiasaannya satu sesi HIIT mengandungi 2 atau 3 set. Senaman ini kebiasaannya digunakan oleh jurulatih-jurulatih sukan untuk meningkatkan stamina anak-anak buahnya dan antara rejim yang sering digunakan adalah Tabata.

5 – Tahap stamina anda adalah dianggap sangat memuaskan sekiranya anda boleh berjogging sambil bercakap dengan biasa dalam masa yang sama, tanpa rasa mengah atau pancit.

6 – Antara sukan-sukan yang memerlukan stamina yang tinggi adalah berlari jarak jauh (marathon), tinju, tenis, bola sepak, dan berenang. Mendaki bukit/gunung tidak kurang hebatnya dalam mencabar stamina seseorang.

7 – Orang yang kurus tanpa produk kebiasaannya akan memperoleh tiga hadiah di akhir fasa menurunkan berat badannya: Berat badan idle, Peningkatan tahap kesihatan, dan Stamina. Ini lebih menguntungkan berbanding mereka yang hanya mengambil pil kurus semata-mata, yang mungkin hanya mendapat 2 daripada hadiah di atas. Ini membuktikan bahawa stamina itu sama sekali tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

8 – Sumber kekacang adalah antara makanan yang mampu meningkatkan stamina seseorang kerana kandungan zat besinya yang tinggi. Zat besi diperlukan oleh tubuh badan untuk menghasilkan sel darah merah yang membantu dalam pengangkutan oksigen ke otot-otot.

9 – Pemain bola sepak antarabangsa Korea Selatan, juga pemain midfield Manchester United, Park Ji Sung, telah diberi jolokan “Three-Lung Park” oleh peminat-peminatnya kerana staminanya yang sangat hebat.

10 – Sejak dari dahulu lagi, tahap stamina seseorang sering dikaitkan dengan kehebatan dalam melakukan aktiviti seks, terutamanya bagi pihak lelaki. Tidak percaya? Tanyalah mana-mana pak cik atau orang berumur berhampiran tempat tinggal anda.

 

sumber: Joy Kalonas >> sususejat.com/10-fakta-tentang-stamina-sudikah-anda-mendengarnya/