Alhamdulillah saya dan 2 rakan UTMDigital (Hasriyah dan Amra) telah berjaya mencatat sejarah sepanjang karier saya di UTM iaitu dengan mengikut program Rasmi Anjuran Universiti iaitu Konvoi Merdeka UTM 2022 sempena menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Ulang Tahun ke-50 UTM. Kebetulan saya salah seorang pemilik nombor pendaftaran khas UTM telah dijemput untuk menyertai Program Konvoi Merdeka 50 Tahun UTM 2022 pada 20 Ogos 2022 (Sabtu).
Cuaca yang sangat cerah pagi di UTM Johor Bahru dan semua peserta konvoi (motorsikal berkuasa besar dan kenderaan) berkumpul di hadapan foyer Dewan Sultan Iskandar (tampal stiker di pintu kereta dan bendera) dan majlis pelepasan sekitar jam 8.45 pagi di foyer BCSI. Pit stop di UTM Pagoh jam 10.45 pagi untuk minum pagi dan berhenti mengisi minyak (30 minit) di Petronas RnR Seremban. Seterusnya perjalanan diteruskan menuju ke Dataran Putrajaya dan tiba sepertimana perancangan jam 2.00 petang di tol Putrajaya. Kemudiannya konvoi diiringi oleh Pegawai Penguatkuasa bermotor PPJ sehingga ke Dataran Putrajaya dan dijamu makan tengahari serta perjumpaan bersama ALUMNI UTM di kalangan pegawai-pegawai Perbadanan Putrajaya. Dataran Putrajaya telah menggabungkan peserta konvoi dari UTM Johor Bahru dan peserta konvoi UTMKL lebih 200 kenderaan pelbagai (motor, kereta, pacuan 4 roda, van dan lori). Alhamdulillah peserta konvoi telah berjaya menamatkan program dengan selamat di UTM Kuala Lumpur lebih kurang jam 4.30 petang sebelum hujan lebat turun. Majlis perasmian dan penutup di Dewan Besar UTMKL selesai jam 6.45 petang. Terima kasih kepada penganjur Endowmen UTM dan kerjasama PPJ dalam menjayakan program ini.