Ada doa yang Allah makbulkan pada saat yang kita mahukan. Ada doa yang Allah simpankan kita untuk di akhirat. Ada doa yang digantikan dengan perkara yang lebih baik.
Itu semua urusan Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi, Dia juga Mengetahui apa yang nyata atau yang disembunyikan. Itu urusan Allah, tak usah bersusah payah untuk menguruskan kerja Allah.
Jangan pernah berputus asa untuk berdoa kerana Allah tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa-doa kita. Masalah kita sekarang adalah bukan doa yang tidak dimakbulkan, tetapi doa yang tidak ada. Kita jarang-jarang berdoa. Mahukan duit berjuta, tetapi selepas solat terus kita berlari ke tempat kerja.
Kita terlupa bahawa yang memberi rezeki itu Allah, bukan kerja tersebut.
Senjata kita sekarang adalah DOA.
Sedar atau tidak, dengan Allah yang memiliki segalanya itu, kita tidak perlukan perantaraan sesiapa untuk berhubung dengan-Nya. Tak perlu berurusan dengan malaikat terlebih dahulu sebelum menemui Allah. Tak perlu bantuan orang-orang untuk memberitahu Allah apa yang kita mahu dan idamkan.
Kita cuma perlu ikhlaskan diri, duduk merendah diri, dan mengadulah apa sahaja kepada Allah. Beritahulah segala masalah kita yang berlaku dalam dunia kepada-Nya, Dia mendengar segala apa yang kita luahkan tanpa bosan.
Dan yang penting, dia mempunyai kuasa untuk melapangkan dada kita dari segala kekusutan dunia. Dia bersedia memberikan apa sahaja yang kita mahu. Beruntung kan mengadu pada Allah? Ya, sangat bertuah.
Jadi sekarang, apa masalah kita untuk mengeluh merungut di sana sini? Kita ada Allah. Kita ada doa. Tak usah menangis menjaja masalah kita ke sana dan kemari, kerana penyelesaian untuk masalah kita adalah ‘di atas’ sana.
Masalah datang untuk mendekatkan kita kepada Allah. Allah rindukan kita. Kasih-Nya kepada kita tak pernah berpenghujung.
Jangan lupa satu perkara, Allah sayangkan kita! Maka berdoalah..