Terdapat sebilangan manusia yang tidak berpeluang menikmati keseronokan perjalanan udara kerana bagi mereka ia suatu pengalaman yang amat menakutkan dan mengerikan.
Dari sudut perubatan, perasaan takut naik pesawat dipanggil aerofobia, pteromerhanofobia atau aviatofobia.
Seseorang yang mengalami aerofobia biasanya mengalami perasaan takut, fobia atau kerisauan yang mendalam sehingga mereka tertekan jika terpaksa menaiki pengangkutan udara.
Situasi itu akan menyebabkan seseorang itu gagal memanfaatkan keuntungan menaiki pesawat.
Peluang untuk melihat keunikan sesebuah negara atau destinasi pelancongan yang diidamkan juga bagaikan terkubur kerana perasaan fobia itu.
Bagi mengelak fenomena itu, tip melancong minggu ini menyenaraikan lapan tip untuk mengurangkan aerofobia, sekaligus memberikan anda peluang terbang ke mana-mana saja.
Buat persediaan awal dan jangan tergesa-gesa
Membuat persediaan awal sebelum mengembara dan menaiki penerbangan boleh mengurangkan perasaan cemas dan gelisah anda.
Berada dalam keadaan bersedia akan memberi kita lebih ketenangan. Misalnya, beberapa hari sebelum penerbangan, buat checklist supaya tidak ada barang yang tertinggal.
Pastikan sampai awal di lapangan terbang untuk mengurangkan rasa cemas anda.
Ketahui teori asas bagaimana pesawat terbang di udara.
Belajar dan ambil tahu ilmu asas bagaimana kapal terbang berfungsi dan beroperasi contohnya apa yang menyebabkan pergolakan dan dari mana datangnya bunyi menakutkan ketika berlepas dan mendarat.
Ini mengelak anda berfikir negatif, tidak panik dan kekal berfikiran realistik ketika menghadapi perkara itu.
Anda boleh mengetahui asas seperti ini melalui pembacaan dan bertanya orang berpengalaman.
Sibukkan diri dengan aktiviti dan fokus kepada perkara lain.
Daripada anda asyik berfikir mengenai kapal terbang berlepas dan mendarat, lebih baik lakukan aktiviti digemari yang sesuai dan menenangkan seperti membaca majalah dan mendengar muzik.
Cuba alih perhatian daripada penerbangan, namun aktiviti ini hanya digalakkan pada waktu penerbangan. Jika dalam situasi kapal terbang mengalami sedikit gegaran misalnya, jangan paksa diri melakukan aktiviti itu kerana ia akan membuat anda bertambah gementar.
Pilih tempat duduk yang betul
Ruangan yang sempit dan tertutup akan memberi lebih tekanan kepada mereka yang mengalami aerophobia. Jadi sentiasa cuba memilih barisan hadapan atau keluar kerusi. Walaupun anda perlu membayar lebih untuk kerusi ini, ia cukup berbaloi.
Kerusi di sebelah laluan dalam pesawat atau ‘Aisle seat’ juga disyorkan, kerana ia memberi anda ruang tambahan.
Jika anda punya bajet lebih, tempat duduk di kelas pertama atau kelas perniagaan adalah yang terbaik.
Berfikiran positif
Berfikiran positif dan sentiasa ingatkan diri mengenai tujuan sebenar anda menaiki pesawat itu, contohnya jika atas urusan kerja, fikirkan ia sebahagian tanggungjawab anda mencari rezeki.
Jika untuk melancong pula, bayangkan ‘ganjaran’ yang bakal anda lihat dan nikmati ketika sampai di destinasi yang di tuju. Jangan anggap ia seperti satu ‘beban’ yang terpaksa anda lalui dan elakkan juga menonton filem berkaitan permasalahan kapal terbang supaya anda tidak berfikiran negatif.
Berdoa
Sebagai manusia, segala apa yang berlaku bukanlah dalam kawalan kita, jadi dengan berdoa kita akan lebih bertenang, yakin dan kuat. Jangan lupa membaca doa naik kenderaan.
Elak minuman berkafein
Menikmati minuman berkafein cukup nikmat. Namun, kafein akan membuatkan anda berasa bertambah gelisah dan gementar. Jalan terbaik ialah minum air kosong untuk dehidrasi.
Teknik pernafasan
Tarik nafas dan lepaskan. Perasaan gelisah boleh membuatkan anda sesak nafas. Justeru, sentiasa menarik nafas sedalam-dalamnya adalah pelega tekanan dengan cepat.
Tarik nafas perlahan-lahan dan mendalam untuk kiraan lima atau 10. Insya-Allah, anda akan tenang.
sumber: Harian metro khamis 26 Februari 2015, susunan Suliati Asri ~ suliati@hmetro.com.my