“SESIAPA yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl:97)
Apabila membicarakan tentang perkara yang berkaitan dengan barakah, setiap manusia mahukan kehidupan yang dilimpahi dengan keberkatan. Ini kerana sesuatu yang Allah SWT kurniakan barakah kepadanya pastinya akan mencukupi walaupun ianya jika dilihat dari segi angka, bilangan dan nombor adalah jumlah yang kecil atau sedikit.
Menurut Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir, keberkatan hidup seseorang muslim adalah bergantung kepada sejauhmana keikhlasan dirinya kepada Allah SWT. Apabila seseorang mengikhlaskan diri dan membetulkan niat dalam kehidupan sudah tentu akan menemui keberkatan dalam apa juga perkara yang dilakukan.
Antara sebab yang menjadikan seseorang muslim itu diberkati Allah SWT dalam kehidupannya adalah melalui sejauhmana keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah Yang Maha Besar. Sebagaimana yang dinukilkan di dalam ayat suci al-Quran menerusi surah al-Araf ayat 96 yang bermaksud “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.
Keberkatan bukan bermakna mempunyai nilai wang ringgit yang banyak, kenderaan mewah atau rumah yang besar, keberkatan secara mudahnya merujuk kepada sesuatu yang sedikit tetapi berkecukupan malahan kebaikannya berterusan umpama mata air jernih yang sentiasa mengalir yang memberi manfaat kepada seluruh manusia.
Ini kerana, sungguhpun jika kita mempunyai wang yang banyak atau kehidupan yang mewah tetapi selalu berasa tidak cukup, tidak bahagia, tidak tenang ia boleh disifatkan kepada sesuatu yang tidak mengundang keberkatan kepada kehidupan kita. Malahan tidak bermakna hidup ini jika ianya bak istana kosong tanpa berpenghuni.
Tentunya kita juga tertanya-tanya bagaimanakah untuk menjemput keberkatan dalam hidup?. Ini kerana kita semua tentunya tidak ada jawapan yang tepat apakah hidup kita ini diberkati atau sebaliknya.
Namun melalui nikmat-nikmat yang kita perolehi, adalah kemuncak kepada kebaikan anugerah Allah buat kita. Keberkatan yang Allah berikan kepada kita melalui kenikmatan beribadah, kenikmatan merintih kepada Allah, kenikmatan bersujud memohon keampunan daripada Allah SWT adalah satu bentuk barakah yang membuat hati kita lapang dan tenang dalam perjalanan menuju pertemuan kita dengan Allah Yang Maha Mencipta.
“Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
Bagaimanapun kita dianjurkan untuk melaksanakan pelbagai amalan sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan al-hadis. Antaranya mencari keberkatan hidup melalui amalan bersedekah kerana dalam setiap sedekah yang kita berikan kepada mereka yang tidak bernasib baik mengandungi nilai barakah kerana selain ia membersihkan rezeki kita, juga melaksanakan hak orang lain dalam rezeki kita.
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (riwayat Muslim).
Begitu juga melaksanakan amalan menunaikan solat sunat dhuha merupakan salah satu pintu untuk mengetuk barakah dalam kehidupan. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani).
Sesungguhnya tiada apa yang lebih bermakna dalam hidup ini melainkan kehidupan yang diberkati kerana diampuni Allah SWT setiap kekhilafan dan kesalahan yang kita lakukan. Orang yang bersih dari noda dan dosa tentu dapat menikmati kemanisan iman sebenar-benarnya. Mudah-mudahan kita juga dikurniakan hidup yang berakah dan selalu dibukakan hati untuk menyedari kekilafan diri dan bermohon keampunan daripada Allah SWT.
[sumber IKIMFM - Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Mac 2015]