Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-Nya; Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.” (Surah Saba’, ayat 34)
Ada kisah Ibnu Abbas apabila membicarakan mengenai sifat dermawan, beliau tidak sebut nama-nama sahabat yang mahsyur seperti Uthman bin ‘Affan, Abdul Rahman bin ‘Auf atau Abu Bakar As-Siddiq, sebaliknya menyebut Rasulullah SAW.
Para sahabat Rasulullah SAW menyatakan, baginda adalah individu paling dermawan berbanding sahabat lain. Rasulullah SAW apabila bersedekah baginda akan memberikan apa sahaja termasuk pada tubuh badannya.
Contohnya, apabila Rasulullah SAW memakai ridak baru lalu ada orang yang tegur, maka Rasulullah akan ambil dan meletakkan ridak itu di atas bahu orang yang bertanya berkenaan.
Para sahabat sangat mengerti perihal itu. Apabila Rasulullah memakai apa sekalipun mereka tidak akan bertanya, puji atau tegur di hadapannya kerana pasti baginda akan memberikan barang itu. Hadis Riwayat Abu Hurairah ada menyatakan bahawa bagi seorang Muslim yang mantap amalan sedekahnya akan mendapat sanjungan di bumi serta didoakan para malaikat.
18 Ramadan 1440H program ke – 2 Projek Sedekah RM10 kami ke lokasi yang sama tahun lepas iaitu Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam, Banda Aceh. Ketika kami sampai anak-anak panti asuhan sedang menyediakan jaudah iftar (gula daging, ikan goreng). Duit dan barang keperluan yang telah kami beli di kedai borang iaitu beras, telur, minyak masak, susu dan lain-lain telah disampaikan kepada ibu Murni selaku pengurus panti asuhan tersebut. Berkongsi rezeki bersama anak-anak pesantren 60 orang (32 perempuan dan 28 lelaki) telah memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka. Sempat kami berbual-bual bertanyakan perihal sekolah dan melihat persekitaran bilik tidur (asrama) yang semakin elok dan lebih baik.
Terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang telah memberikan sumbangan. Semoga apa yang disedekahkan memperoleh keberkatan daripada-Nya. InshaAllah.