Saya berasal daripada sebuah keluarga yang berpendapatan rendah. Ayah, yang saya panggil sebagai Bak, seorang bekas askar British semasa beliau remaja sehinggalah beliau sakit selepas beberapa tahun berkhidmat dan tidak dapat lagi berkhidmat sebagai askar selepas itu. Mak saya seorang surirumah. Oleh kerana Bak sering sakit-sakit, Mak terpaksa menggalas tanggungjawab yang besar, menjual nasi lemak dan kuih untuk membiaya keluarga. Ayah saya pernah berkata, beliau dulu ada bercita-cita menjadi guru tapi tidak kesampaian. Katanya, orang dulu-dulu, darjah enam pun dah boleh jadi guru. Bak berpendidikan sehingga darjah enam sahaja dan Mak pula sehingga darjah tiga. Walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi tapi saya yakin, harapan mereka terhadap anak-anak mereka sangat tinggi.
Walaupun kami daripada keluarga yang cukup-cukup makan, dalam keluarga besar saya; 9 orang adik-beradik (2 orang telah meninggal dunia), tidak ada yang tidak habis bersekolah. Kesemuanya berjaya menamatkan pelajaran sehingga sekurang-kurangnya tingkatan lima. Bagi Bak dan Mak, pendidikan itu sangat penting. “Biarlah Mak dan Bak tak makan, yang penting anak-anak Mak ke sekolah”. Begitu orang dulu-dulu sangat menghargai ilmu, kerana mereka tidak dapat mengajar anak-anak mereka sendiri. Jadi, sekolah itu menjadi satu institusi yang sangat dipercayai untuk mendapatkan ilmu. Daripada kesemua kami adik-beradik, rata-ratanya tidak mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana memikirkan tanggungan mak dan bak. Hanya kakak sulung saya sahaja yang menamatkan pengajian di peringkat diploma di UiTM yang pada ketika itu dipanggil ITM. Saya merupakan anak yang terakhir, jadi boleh dikatakan semasa saya dibesarkan, kehidupan sudah pada tahap yang agak selesa kerana kakak-kakak dan abang-abang ada yang sudah bekerja. Dengan keadaan kesihatan Bak yang sudah semakin baik Bak bekerja sebagai pengawal keselamatan di Petronas, pada masa itu di bangunan Dayabumi. Semasa saya di tingkatan 3, Bak telah tamat tempoh berkhidmat, berbekalkan sedikit wang gratuiti, dan Bak yang sudah tidak bekerja, kami pulang ke Sungai Petani Kedah dan memulakan hidup di sana.
Di Kedah, saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, sebuah sekolah Premier di Sungai Petani. Saya bukanlah orang yang suka belajar, tapi saya cepat belajar sesuatu. Saya juga seorang yang aktif bersukan menyebabkan kebanyakan masa persekolahan saya dihabiskan untuk ke latihan pusat. Bersekolah di sekolah harian biasa, persaingan akademik adalah di kalangan pelajar Cina dan India. Pelajar Melayu kebanyakannya berada di kelas ketiga dan seterusnya. Boleh dikira pelajar Melayu di kelas pertama dan kedua. Saya tidak pernah masuk ke sekolah asrama, jadi apabila saya menerima tawaran ke Universiti Malaya untuk program Persediaan Khas ke Jepun, saya agak kekok dengan suasana pembelajaran. Di sini saya sedar, oh, begitu ramai Orang Melayu yang hebat-hebat kerana selama ini, saya hanya bersaing dengan pelajar Cina dan India. Pembelajaran saya agak lemah pada ketika itu, tetapi alhamdulillah saya masih berjaya lepas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah di Jepun.
Di Jepun, sistemnya agak sedikit berbeza dibandingkan dengan Malaysia pada ketika itu. Pelajar yang rajin, itulah pelajar yang cemerlang. Orang Jepun sangat menghargai orang yang rajin. Walaupun kita pandai, jika tidak hadir kelas lebih daripada tiga kali, kita akan dikira gagal. Kehadiran lambat sepuluh minit juga dikira sebagai tidak hadir. Jadi, untuk lulus, sudah cukup jika hadir ke kelas tepat pada waktunya (bergantung kepada pensyarah juga, namun secara keseluruhannya adalah begini). Selebihnya, gred A, B atau C bergantung kepada markah peperiksaan. Markah lulus ialah 60 ke atas. Alhamdulillah selepas empat tahun, saya berjaya menamatkan keseluruhan pengajian ijazah. Semasa pengajian, ada beberapa orang senior dari Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana. Terinspirasi daripada mereka, saya juga mempunyai perasaan yang agak kuat untuk memasuki bidang akademia. Ya, saya berjaya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dengan biasiswa Kelab Rotari Jepun. Tetapi saya terpaksa menolak kerana mak memujuk saya untuk pulang. Jadi, saya pun pulang dan berkhidmat sebagai Jurutera II di Panasonic Pasir Gudang.
Setelah lebih dua tahun berkhidmat di Pasir Gudang, saya mendengar ura-ura UTM sedang membuka pengambilan untuk skim tutor. Setelah melihat dua orang daripada rakan saya berjaya diterima di UTM, saya juga mencuba nasib. Pada ketika saya dalam proses dinaikkan pangkat ke Jurutera I, saya diterima masuk di Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat (FSKSM) pada Januari 2010. Pastinya Pengurus saya, Cik Rohayu Paidi agak kecewa dengan keputusan saya. Walaupun marah, beliau tetap akur dan menyokong keputusan saya pada waktu itu. Tujuh tahun berlalu, Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dalam masa yang telah ditetapkan. Walaupun berhadapan dengan pelbagai onak dan duri, berkat doa mak, bak, suami, anak-anak, kaum keluarga dan guru-guru, saya berada di mana saya berada pada hari ini. Walaupun perjalanan hidup ini masih jauh, syukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala limpah kurniaNya.
PM Dr. Salihin Ngadiman ialah guru pertama saya di UTM. Saya yakin, doanya sangat membantu saya. PM Dr. Azlan Mohd Zain ialah guru dan mentor yang banyak membimbing saya sehingga ke hari ini. Tidak lupa juga kepada Dr. Soperi yang merupakan Ketua Jabatan saya yang pertama pada ketika itu. Mereka adalah antara orang-orang awal yang menjadi penggerak kepada siapa saya di UTM hari ini. Sungguh, perjalanan itu bukanlah mudah. Semuanya perlu diiringi dengan azam, dan keyakinan yang kuat kepadaNya. Siapa saya hari ini, adalah berkat doa orang-orang disekeliling saya. Guru-guru saya dari sekolah rendah lagi, saya tidak dapat membalas segala jasa mereka. Terlalu ramai nama dan wajah-wajah yang terpahat di hati ini. Saya tidak pasti mereka masih ada atau telah tiada, semoga segala amalan saya, menjadi bekalan buat mereka juga. Mungkin suatu hari nanti, saya pula yang mengajar anak-anak mereka. Pastinya kegembiraan seorang guru ialah apabila dapat melihat anak-anak muridnya lebih berjaya daripada dirinya sendiri.
Prof. Rose berkata dalam slot BC4DCP nya, banyak jiwa-jiwa akademia yang telah hilang hari ini kerana KPI yang ingin dicapai, lebih-lebih lagi apabila diberi imbuhan berupa duit. Setiap yang berjasad, pasti mempunyai roh. Kita boleh memilih untuk memiliki roh yang baik atau roh yang jahat. Semoga jiwa akademia yang baik kekal dan diwarisi ke dalam roh ini dan roh anak-anak muda akan datang. Percayalah dengan janji Allah, segala kebaikan walau sebesar zarah pun akan dibalas dengan kebaikan. Tidak semestinya dalam bentuk wang, tapi mungkin dalam bentuk lain seperti kesihatan, anak-anak soleh, keberkatan masa dan lain-lain. Mungkin juga segala kebaikan itu akan datang pada anak cucu kita. Saya bukanlah seorang yang pandai mengajar, tapi saya tidak pernah jemu belajar untuk mengajar, mungkin kerana itu, saya ditakdirkan Allah disini. Bak tidak dapat mencapai cita-citanya menjadi guru, tetapi hari ini, anak Bak ialah seorang “Guru”. Semoga jiwa akademia yang bak cita-citakan didalam roh ini dapat memberi manfaat kepada Agama, bangsa dan negara. Allah lah sebaik-baik perancang dan tiada daya hanyalah daripada Dia.