Berita Harian – Rencana (Minda Lestari), Jumaat 31 Disember 2010
Oleh  Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang

2010 melabuhkan tirainya hari ini. Tahun yang tentunya berlalu dengan pelbagai peristiwa besar dan mencabar.

Bagi warga pengajian tinggi, 2010 dikenang sebagai tahun cabaran kewangan ekoran krisis ekonomi bermula 2008 di Amerika Syarikat. Dengan model kewangan lama yang tidak lagi mapan, kerajaan Britain memutuskan untuk menaikkan yuran pengajian mahasiswa tempatan kira-kira tiga kali ganda dari RM15,000 kepada RM45,000 setahun. Peningkatan ini menyebabkan tunjuk perasaan besar-besaran di sekitar Britain. Mujurlah musim sejuk yang bersalji tebal ‘menyejukkan’ kemarahan mahasiswa.
Hal sama berlaku di Itali dengan rusuhan mahasiswa yang membantah reformasi pengajian tinggi dari segi model kewangan dan tadbir urus. Lebih parah di Itali berbanding Britain, pengurusan universiti diberi kebebasan untuk melantik Ketua Eksekutif (bukan dekan) untuk mengetuai sesebuah fakulti atau pusat pengajian. Berbanding Dekan yang biasanya dilantik di kalangan tokoh akademik dihormati, Ketua Eksekutif adalah jawatan pentadbiran yang boleh disandang termasuk di kalangan bukan ahli akademik dengan syarat mempunyai kualiti kepemimpinan, mahir dari segi pengurusan dan penjanaan dana.
Sekali lagi, isu kewangan menyebabkan dunia akademik mengalami perubahan besar seperti reformasi penubuhan universiti moden selepas Perang Dunia Kedua untuk melatih bekas tentera menghadapi pembangunan ekonomi pola baru dan sekali lagi, bermula di Britain.

Perubahan kali ini lebih mendesak kerana dunia akademik tersepit antara tuntutan meningkatkan kualiti pengajian tinggi dengan kos operasi yang semakin mendesak. Nampaknya khalayak umum semakin sukar untuk menerima kenyataan bahawa kualiti akademik memerlukan dana besar. Pihak kerajaan pula semakin terdesak untuk mengurangkan defisit kewangan dalam pelbagai sektor.

Hal ini berlaku tanpa dijangkakan bagi sebahagian besar warga akademik. Selama ini pengajian tinggi dianggap sektor strategik yang seharusnya mendapat pembiayaan hampir sepenuhnya menggunakan dana awam, bukan saja di Eropah, malah di serata dunia kecuali Amerika Syarikat dan Kanada. Sebahagian warga akademik juga masih dalam kerangka lama bahawa tanggungjawab mereka ialah ‘tugas akademik’ dan penyediaan dana adalah tanggungjawab kerajaan.

Dalam keadaan sedemikian, banyak negara cuba mencontohi model kewangan beberapa buah universiti ternama di Amerika Syarikat. Kaedahnya, meningkatkan yuran pengajian dan memperhebatkan promosi untuk mendapatkan sumbangan dana endowmen. Dari segi model kewangan, yuran pengajian digunakan untuk membiaya hampir semua kos operasi. Yuran pengajian juga berkait rapat dengan jenis pengajian dan jenama institusi.

Namun, tidak ramai yang memahami bahawa yuran pengajian semata-mata dalam konteks universiti di Amerika Syarikat tidak dapat menjanjikan kualiti akademik yang terbaik. Ini kerana kualiti akademik turut dipengaruhi ekosistem intelektual di sesebuah universiti. Yang nyata ekosistem tidak boleh disuburkan dengan wang ringgit semata-mata.
Ekosistem intelektual tercerna menerusi budaya ilmu yang segar yang dijana menerusi aktiviti ilmiah, penyelidikan, perbahasan, dialog peradaban dan penerbitan. Ekosistem sedemikian dibentuk warga kampus yang komited dengan pembangunan ilmu dan pencerahan minda, kadangkala tanpa terlalu dibayangi faktor kebendaan.

Dalam konteks universiti ternama di Amerika Syarikat seperti Harvard dan Yale, yuran pengajian yang dihebahkan memang tinggi. Namun demikian, yuran tinggi tidak menghalang mahasiswa belajar dengan penyediaan pelbagai biasiswa dalaman yang biasanya ditaja oleh dana endowmen. Dalam konteks Harvard, lebih 70 peratus mahasiswa ijazah sarjana muda mendapat penajaan biasiswa dari pelbagai tabung endowmen. Demikian juga dengan gaji profesor, prasarana fizikal dan dana penyelidikan.
Inilah yang tidak berlaku dalam konteks Britain dan Itali. Justeru kos pengajian yang membabitkan yuran dan sara hidup terpaksa ditanggung mahasiswa sendiri menerusi pinjaman dari institusi kewangan. Setiap tahun yuran meningkat sekurang-kurangnya mengikut kadar inflasi.

Dalam situasi sedemikian, saya berpendapat mekanisme penjanaan dana perlu diberikan perhatian serius. Dalam konteks Malaysia, universiti awam terutama universiti penyelidikan telah diberi mandat untuk membuat persediaan awal autonomi sepenuhnya menjelang 2015. Menerusi autonomi tersebut, universiti tidak lagi terikat kepada tadbir urus seperti agensi awam lain. Universiti diberi kebenaran untuk menjana pendapatan untuk menampung 30 peratus kos operasi menerusi pelbagai aktiviti seperti terbabit dalam perniagaan, pelaburan berisiko tinggi dan penyewaan ruang.

Selain itu, konsep endowmen mestilah disuburkan di Malaysia. Endowmen juga perlu dijelaskan sebaiknya, iaitu selari dengan konsep tanggungjawab sosial korporat. Dalam konteks Islam, endowmen adalah wakaf, iaitu mendapat manfaat yang digunakan untuk tujuan amal daripada harta yang dikembangkan menerusi pelaburan, penyewaan dan aktiviti lain. Ini bermakna harta wakaf kekal dari segi modal asal.

Inilah yang dijadikan model kewangan untuk pelbagai aktiviti ilmiah di serata pelosok dunia. Universiti Al-Azhar di Mesir, misalnya mempunyai harta wakaf yang besar sehingga membolehkan aktiviti universiti ditampung tanpa memerlukan yuran pengajian. Konsep sama turut digunakan Yayasan Nobel (pelaburan Amerika Syarikat oleh Alfred Nobel pada 1900) dan Anugerah Merdeka (pelaburan RM50 juta oleh Petronas, Exxon-Mobil dan Shell di Malaysia pada 2007).

Dalam konteks Malaysia, wakaf masih ditanggapi terhad kepada sumbangan dana untuk membina masjid, surau atau tapak kubur saja. Kita perlu segera tampil memberi perspektif sebenarnya bahawa wakaf adalah antara jentera utama pembinaan masyarakat yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, termasuklah dalam mengangkasa pengajian tinggi.

Penulis ialah Penerima Anugerah Merdeka 2009 dalam Kategori Pencapaian Ulung Akademik.