Berita Harian – Rencana (Minda Lestari), Jumaat 14 Januari 2011 oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)
Hasil akademia bukan sekadar segulung ijazah tetapi menjangkaui aspek mengaplikasi ilmu.
KONSEP Universiti Penyelidikan (UP) berteraskan keusahawanan inovasi semakin ghairah dibincangkan dalam komuniti akademik kebelakangan ini. Pada asasnya konsep ini berkaitan dengan pembangunan ilmu bersepadu, berpaksi manfaat langsung, lebih dinamik, tidak terlalu bergantung kepada akademia konvensional.
Secara khususnya, konsep ini lanjutan daripada perkembangan universiti moden. Tahap pertama ialah penawaran program diploma dan ijazah sarjana muda, dan ijazah sarjana secara kerja kursus. Tahap kedua ialah penawaran pengajian peringkat pasca siswazah, disusuli tahap ketiga iaitu UP.
Ketika ini lima universiti tempatan berstatus UP iaitu USM, UKM, UPM, UTM dan UM dengan penumpuan kepada program penyelidikan peringkat tinggi, iaitu PhD dan pasca kedoktoran.
Tahap keempat adalah aplikasi ilmu secara praktikal menerusi pembabitan dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak di luar komuniti akademik, terutama pembuat dasar dan peneraju industri.
Kemuncaknya, tahap kelima adalah apa yang saya ungkapkan sebagai ‘UP berteraskan keusahawanan inovasi’ sebagaimana univer-siti ternama MIT, Harvard, Stanford dan Cambridge yang bergerak seiring atau mendahului perkembangan idea, dasar negara, konsep pembangunan, harta intelek, penghasilan graduan berkualiti sehinggalah menjana nilai baru, sama ada idea, kekayaan atau perkhidmatan berkualiti.
UP berteraskan keusahawanan inovasi perlu difahami daripada segi suasana kerja dan ekosistem intelektual menggalakkan semangat dan minda keusahawanan. Dengan kata lain, minda keusahawanan inovasi perlu difahami dalam konteks berkerja sebagai komuniti akademik untuk berkhidmat secara lebih proaktif, kreatif dan berdaya saing menggunakan seluruh sumber tanpa terlalu bergantung kepada geran atau bantuan luar.
Ini termasuk penyediaan program akademik yang menggalakkan interaksi langsung dengan persekitaran kerja, mauduk penyelidikan yang menyediakan asas pemikiran dan penyelesaian kepada masalah semasa secara lebih inovatif.
Dari segi pengurusan universiti pula, minda keusahawanan inovasi membabitkan perkongsian pintar untuk mendapatkan pembiayaan projek pembangunan akademik, biarpun tidak mendapat pembiayaan langsung menerusi dana awam. Keusahawanan inovasi dalam konteks kampus pula membabitkan menyediakan suasana serta kemudahan pembelajaran yang menumpu kepada budaya ilmu yang meriah, ceria dan mesra inovasi.
Secara amnya, faktor kejayaan kritikal (CSF) untuk UP keusahawanan inovasi ialah ‘akademia baru’ iaitu kerangka baru dalam konteks universiti moden yang tidak terbelenggu dengan ‘disiplin akademik’ terlalu mengkhusus demi mempertahankan ciri ilmiah sehingga menenggelamkan keindahan dan makna ilmu.
Akademia baru seharusnya membawa dimensi dan penyegaran kepada penghayatan ilmu, tidak menanggapi ilmu sebagai ‘komoditi’ atau ‘kaedah’ mencapai matlamat jangka pendek terutama menerusi proses pensijilan semata-mata. Ilmu seharusnya dilihat sebagai kesepaduan sehingga memungkinkan ahli ilmu mencapai tahap hikmah.
Konsep kesepaduan ilmu ini selari dengan falsafah pendidikan negara. Itulah juga falsafah ilmu beberapa universiti awam seperti UTM dan UIAM. Kaedah penghayatan ilmu dalam akademia baru banyak kelainan, tidak lagi terikat kepada interaksi satu hala antara mahasiswa dan aktiviti dalam dewan kuliah. Minda keusahawanan inovasi dipupuk dalam semua bidang ilmu, tidak hanya dalam bidang pengajian perniagaan atau ekonomi.
Hasil akademia baru bukan sekadar segulung sijil akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang. Malah menjangkau aspek aplikasi ilmu. Bagi graduan bidang kejuruteraan dan sains gunaan misalnya, hasil ilmu juga dalam bentuk model perniagaan, modal, jaringan dan budaya kerja.
Model perniagaan diperoleh ketika menjalankan pelbagai projek ilmiah berbentuk keusahawanan inovasi yang boleh dikembangkan sehingga mampu menjana dana besar untuk dijadikan modal selepas tamat pengajian. Hal ini saya bincangkan dengan panjang lebar dalam buku terbaru berjudul Menjana Minda Kreatif dan Inovatif.
Persoalannya, apakah komuniti akademik tempatan bersedia melakukan lonjakan minda membina akademia baru? Apakah akademia baru akan sekali lagi mengubah corak pembangunan ilmiah sebagaimana era pasca Perang Dunia Kedua supaya lebih relevan dengan persekitaran global untuk terus menyerlah dalam ekonomi inovasi?
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)