Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)
Berita Harian – Rencana (Minda Lestari), Jumaat 18 Februari 2011


KETIDAKTENTUAN cuaca sejak beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pencinta dan pakar alam sekitar di seluruh dunia. Penggubal dasar dan ahli politik pula nampaknya bertungkus-lumus mencari formula untuk merencana bagi mengurangkan impak banjir besar, kemarau panjang atau salji melampau. Menurut rekod pengurusan lapangan terbang, musim sejuk ketika ini menyaksikan keadaan ‘darurat’ di beberapa lapangan terbaik dunia, termasuk di London, New York dan Amsterdam. Banjir besar yang melanda Australia baru-baru ini pula adalah yang terburuk dalam sejarah moden. Begitu juga banjir di beberapa wilayah lain, termasuk di Johor beberapa minggu lalu.

Pada hemat saya, kita memerlukan satu kerangka pemikiran baru menangani ketidaktentuan dari segi saintifik, kerangka dasar dan kaedah pelaksanaan. Ketidaktetuan cuaca disebabkan peningkatan suhu bumi dan ekosistem setempat yang mengalami perubahan struktural menerusi proses perbandaran dan perindustrian. Kedua-dua faktor ini menyukarkan pengurusan bencana. Selain aspek ekosistem, pengurusan bencana juga memerlukan pendekatan baru dengan mengambil kira aspek ketidaktentuan sebagai suatu parameter utama. Selama ini, pengurusan alam sekitar dan pengawalan bencana menggunakan pendekatan ‘kepastian’ yang mudah difahami secara linear dan diramalkan menggunakan kaedah perkomputeran biasa.

Ketidakpastian bermakna kita tidak lagi boleh menggunakan pendekatan linear dan pelbagai anggapan konvensional, misalnya taburan hujan pada bulan tertentu di negeri tertentu, kapasiti penyerapan hujan pada kadar tinggi menerusi ekosistem hutan dan kadar biasa pengaliran air ke muara sungai.

Selain itu, kaedah ramalan banjir juga perlu dikemaskini mengambil kira aspek ketidakpastian. Ini termasuk mendapatkan data topografi berketepatan tinggi untuk meningkatkan sensitiviti sebarang perubahan rupa bumi di kawasan berisiko banjir tinggi. Ketika ini banyak kawasan berisiko banjir di Lembangan Sungai Johor, Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat berada dalam keadaan landai dengan perubahan ketinggian kurang daripada dua hingga lima meter.

Perlu juga disebutkan bahawa data topografi ketika ini dikumpulkan bukan untuk tujuan pengurusan ekosistem. Itu rasional data direkodkan dengan sela ketinggian 20 meter dan ketepatan data 10 meter. Dengan data sedemikian, permodelan atau ramalan banjir menjadi tidak begitu tepat pada paras rupa bumi kurang 10 meter.
Menggunakan pendekatan ketidakpastian bermakna data topografi perlu lebih terkini dan sensitif. Saya mencadangkan data lebih sesuai pada ketepatan ketinggian 0.3 m. Memang tahap ketepatan ini memerlukan biaya dan teknologi tinggi. Sehubungan itu saya juga mencadangkan agar data topografi secara menyeluruh di kawasan berisiko banjir dikutip menerusi cerapan lapangan atau menggunakan teknologi remote sensing LIDAR.

Selain itu, saya juga mencadangkan agar kita lebih serius menangani isu guna tanah. Ketika ini guna tanah ditadbir oleh Majlis Kerajaan Tempatan. Dalam konteks lebih luas guna tanah memerlukan input pelbagai agensi pusat seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan sebagainya.

Namun, dalam banyak situasi, input dan saranan agensi pusat tidak begitu berkesan daripada segi pelaksanaan. Dalam banyak hal input agensi pusat langsung tidak diperlukan. Sebagai contoh, kelulusan guna tanah untuk pertanian di kalangan pekebun kecil di kawasan hulu lembangan sungai.

Sejak lebih 10 tahun lalu, saya dan kumpulan pengurusan air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sering diminta memberi pandangan profesional oleh pelbagai pihak terhadap punca masalah banjir, kualiti bekalan air mentah, pencemaran sungai dan seumpamanya. Kami konsisten mengatakan bahawa punca utama masalah ini adalah ketidakseimbangan ekosistem akibat aktiviti guna tanah yang tidak lestari.

Atas nama perkembangan masyarakat luar bandar, kemajuan pertanian dan meningkatkan pendapatan penduduk miskin maka banyak ekosistem sensitif dibangunkan secara tidak lestari, mengubah rupa bumi dan meningkatkan risiko banjir. Hal ini begitu ketara apabila hutan sekunder diganti dengan kawasan pertanian. Perubahan ini menyebabkan berlaku takungan air di sepanjang lembangan sungai (termasuk di hulu), melambatkan aliran air dari hulu ke hilir lembangan, sekali gus meningkatkan risiko banjir.

Saya berharap insiden banjir di Johor beberapa minggu lalu membuka minda kita seluas-luasnya supaya bersifat holistik dalam proses pembangunan setempat. Saya juga ingin mencadangkan kita mengambil pendekatan Peter Senge menerusi buku berjudul The Necessary Revolution: How Individuals and Organizations are Working Together to Create a Sustainable World (2008).

Senge mengemukakan tiga prinsip untuk dilaksanakan segera bagi membolehkan kehidupan lebih lestari, iaitu perancangan dan pelaksanaan berasaskan pembangunan lestari, tindakan tidak lagi boleh diserahkan kepada kesedaran dan komitmen individu atau kelompok berkepentingan saja, tetapi perlu lebih menyeluruh secara sistemik dan perubahan perlu dilakukan dengan kaedah dan pemikiran baru.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar (EQC) Malaysia.