Berita Harian- Rencana (Minda Lestari), Jumaat 12 Mac 2011
Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)
“WHAT is your number?” Itulah antara dialog dalam filem Wall Street 2 yang menjadi perbualan ramai. Nombor yang dimaksudkan ialah angka bilion yang menjadi ‘matlamat’ dalam kalangan ahli korporat. Sayangnya angka itu, walaupun mudah dituturkan tetapi tidak mudah dikenal pasti! Ini kerana angka itu berkait rapat dengan hakikat dan keunggulan diri.
Kualiti dan hakikat diri sangat memberi kesan kepada tindakan kita sepanjang hayat. Banyak cara untuk kita mengetahui mengenai kualiti dan hakikat diri, termasuklah menerusi pelbagai kaedah psikometrik. Sejak kebelakangan ini, pakar dalam bidang kepemimpinan dan pengurusan organisasi turut memberi tumpuan kepada aspek ‘autentisiti’ atau hakikat diri.
Antaranya, Bill George, profesor bidang amalan pengurusan di Harvard Business School (HBS) menerusi pelbagai buku dan makalah, terutama True North (2007). Beliau berpendapat hakikat diri adalah faktor penentu dari segi kualiti kepemimpinan, kemajuan kerjaya, pembabitan dalam masyarakat dan sumbangan sepanjang hidup. True North adalah kompas diri yang perlu dijadikan panduan oleh setiap orang. True North berkait dengan tujuan hidup, matlamat kerjaya, hal terpenting dalam misi kehidupan, keghairahan dan keseronokan, sumber kepuasan dan nilai kehidupan.
Realitinya, banyak orang tidak dapat menghubungkan antara agama dengan cabaran kehidupan. Bagi orang Islam, misalnya tujuan hidup telah dijelaskan iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT. Malangnya sering kali tujuan suci itu tidak dapat diperincikan oleh sesetengah pihak dalam konteks lebih praktikal, khususnya yang berkaitan dengan kualiti dan hakikat dari perspektif keluarga dan organisasi. Misalnya, bagaimana aspek pengorbanan yang juga menjadi tuntutan dalam agama boleh diterjemahkan dalam konteks hakikat diri dari segi pembabitan dalam organisasi? Sanggupkah kita berkorban dengan memberi lebih banyak sumbangan kepada organisasi tanpa imbuhan? Bagaimana amanah boleh dijelmakan sebagai keunggulan diri yang menjadi pemandu dalam soal kepemimpinan organisasi dan pengurusan kewangan?
Persoalan ini tidak hanya dibahaskan dalam buku Prof Bill George saja. Sejak 2010, banyak perubahan berlaku dari segi falsafah dan kurikulum di HBS yang menjadi pusat pengajian terulung dalam bidang pengurusan dan pentadbiran perniagaan. Aspek nilai, etika, tujuan hidup, kualiti dan hakikat diri dan True North adalah antara persoalan penting yang telah diberi peranan dan nafas baru sebagai teras pengajian. Hal ini sudah pasti ada kaitannya sebagai reaksi dan susulan kepada krisis kewangan di Amerika Syarikat pada 2008-2009. Antara lain, selain aspek teknikal dan dasar kewangan, hampir semua pemikir dan pemimpin semasa bersetuju bahawa krisis itu juga didorong oleh sifat tamak dan semangat kapitalis yang keterlaluan.
True North juga mendapat dukungan dekan baru HBS, Prof Nitin Nohria. Beliau juga adalah antara pelopor yang mengadunkan antara misi kepemimpinan dengan hakikat diri, antara kualiti sumbangan dengan nilai kehidupan. Sebagai dekan HBS pertama di kalangan imigran dari Asia, Nitin yang berasal dari India mempunyai kelebihan dengan mengadunkan antara tradisi Asia dengan dinamisme Barat. Beliau juga ‘menghalalkan’ sesi akademik di HBS memasukkan unsur-unsur refleksi diri dan meditasi!
Sebelum menjadi profesor di HBS, Bill George pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang kemudian menjadi peneraju dunia dalam peralatan perubatan, iaitu Medtronic. Dalam tempuh 10 tahun sebagai CEO, beliau paling menyerlah membawa pelbagai pembaharuan dan kejayaan dalam pelbagai aspek, termasuklah nilai pelaburan dari AS$1.1 bilion kepada AS$60 bilion. Sumbangan beliau diiktiraf menerusi pelbagai anugerah kecemerlangan termasuklah ‘Executive of the Year’ dan ‘Top 25 Leaders of the Past 25 Years.’
Dengan reputasi sedemikian, True North mempunyai keaslian dan rasionalnya yang tersendiri. Banyak pihak mula melakukan refleksi diri, tanpa perlu bersikap apologetik. Secara terbuka banyak orang mengakui bahawa mereka melakukan sesuatu bukan berpandukan kompas kehidupan, sebaliknya desakan semasa dan persekitaran. Ada juga yang melakukan sesuatu pekerjaan, tindakan dan amalan berdasarkan kepada kompas diri yang salah semata-mata untuk kelihatan lebih bersaing dan bergaya, atau sekurang-kurangnya mengikut kebiasaan sesebuah masyarakat atau organisasi.
Akhirnya tidak menyerlah keaslian dan keunikan sesuatu yang kita lakukan kerana tidak dilaksanakan sepenuh hati. Kita melakukannya dengan minda dan jasad saja, tidak dengan keikhlasan dan hati yang tulus.
Hal ini boleh dinilai jika perlakuan atau amalan tersebut dilaksanakan tanpa kesungguhan dan keseronokan. Itulah sebabnya ramai yang bertugas tetapi dengan hati berang, wajah tanpa senyum dan tindakan yang tidak berasaskan perasaan dan naluri insaniah. Tidak ada kasih sayang dan keindahan. Memang kerja terlaksana, tetapi dengan ‘paksaan’ dan tanpa kerelaan. Akhirnya tampak kepincangan, sekadar melepas batuk di tangga!
Pada hemat saya, transformasi kerajaan perlu didukung True North dan penyerlahan hakikat diri yang sebenarnya!
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)