Rencana (Minda Lestari), Jumaat 25 Mac 2011
Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr Zaini Ujang (zaini@utm.my)


DALAM konteks serantau di kalangan negara Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama ilmiah masih pada tahap lama. Setiap negara khususnya pada peringkat kerajaan dan institusi ilmu mempunyai sebab untuk bersikap berhati-hati dengan apa saja inisiatif yang dikemukakan.

Tidak salah jika disebut bahawa kerjasama kesarjanaan masih belum menyerlah, khususnya membabitkan strategi inovasi serantau dan mekanisme pembiayaan.

Hal ini jauh bezanya berbanding dengan anggota Kesatuan Eropah (EU) menerusi kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan kesarjanaan. Malah, pada hemat saya, beberapa negara di rantau Asia Tenggara lebih akrab dan biasa dengan kerangka Kesatuan Eropah.

Secara peribadi, saya terbabit dalam satu program penyelidikan membabitkan tujuh universiti di Eropah, termasuk Oxford dan Wageningen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Surabaya (ITS), Indonesia sejak 2004.

Apabila pembiayaan kewangan Kesatuan Eropah tamat pada akhir 2009, kami menghadapi cabaran untuk mendapat pembiayaan bagi melanjutkan program berkenaan pada peringkat serantau.

Agak aneh tetapi itu hakikatnya, bahawa jaringan ilmiah di Asia Tenggara ditaja Kesatuan Eropah. Hal ini berlaku kerana kerangka lama masih tebal dalam minda kita bahawa persaingan dengan negara jiran perlu diperhebatkan.

Kita juga masih beranggapan bahawa jiran perlu dilayani secara berhemah tetapi jangan sampai terlalu pasrah sehingga segalanya dimaklumi jiran.
Jika ada kepakaran atau pengetahuan maka kita pendamkan dan jika perlu hanya berkongsi dengan pihak tertentu yang pasti bukan di kalangan jiran tetangga. Hal ini lebih ketara dari segi pengajian strategik, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan teknologi termaju.

Realitinya persekitaran dunia sudah jauh berubah. Dengan adanya globalisasi, maka peranan kita tidak terbatas kepada sempadan negara saja. Kita perlu meneroka peluang di serata dunia, terutamanya negara jiran. Dengan adanya konsep inovasi terbuka maka sumber ilmu dan kepakaran perlu diperoleh di segala peringkat dari seluruh dimensi, terutama di kalangan jiran tetangga.

Itu kekuatan negara maju khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang ketika ini adalah wadah paling subur dari segi inovasi dan perkembangan ilmu. Hal ini diperteguhkan menerusi konsep memanfaatkan jiran adalah satu keutamaan paling mudah dilaksanakan.

Ini mendorong UTM dan beberapa universiti awam tempatan mengusulkan penubuhan Forum Cendikiawan Malaysia-Indonesia pada akhir tahun lalu. Forum yang mendapat dukungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah susulan beberapa pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Menerusi forum itu, kita berharap lebih banyak inisiatif serantau dilaksanakan sekurang-kurangnya antara Malaysia dan Indonesia terlebih dulu. Matlamatnya ialah membentuk sinergi di kalangan sarjana, penyelidik dan pemikir di rantau ini sebagaimana kerangka yang wujud di negara EU. Selain bersama melaksana misi kesarjanaan, kita juga berharap hubungan setiakawan dan jaringan produktif dapat diperteguhkan dalam konteks keamanan, kemajuan dan kelestarian serantau.

Kemuncaknya kita berharap lebih banyak penjanaan nilai, inovasi, penemuan ilmiah, harta intelek, gagasan besar dan penghayatan ilmu pada tahap tertinggi disuburkan di rantau ASEAN sebagaimana Lembah Silikon atau persisiran Charles River di Boston dalam konteks model ekonomi baru.

Usaha ini pada tahap tertentu memang sudah lama berjalan antara Malaysia dan Indonesia. Malangnya, usaha ini tidak dinukilkan dalam konteks gagasan serantau dan kenegaraan, sebaliknya terhad kepada beberapa bidang seperti persuratan dan sastera menerusi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan kerabatnya di Indonesia.

Ketika ini lebih 1,000 mahasiswa Indonesia belajar peringkat ijazah lanjutan di beberapa universiti awam menerusi dana penyelidikan ditaja kerajaan Malaysia, sama ada geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau geran Universiti Penyelidikan.

Pada masa sama, ribuan mahasiswa Indonesia mengunjungi universiti di Malaysia setiap tahun dalam rangka program pertukaran akademik.

Dalam konteks UTM misalnya, Indonesia adalah destinasi utama sejak 2009 menerusi Global Outreach Program (GOP). Pada tahun ini saja, daripada 5,000 peserta, lebih 1,500 mahasiswa UTM dijangka mengunjungi pelbagai universiti di Indonesia.

Di kalangan ahli akademik, usaha sama dalam program ijazah kedoktoran (PhD) bermula pada 2010 lagi. Ini membabitkan mahasiswa dari dua negara menerusi penyeliaan bersama oleh sekumpulan profesor dari dua universiti di Indonesia dan Malaysia.

Ini bermakna pengalaman mengendalikan penyelidikan seorang mahasiswa PhD dapat dikongsi bersama oleh dua institusi ilmu dari dua negara dari segi pengalaman menyelia, melaksana kajian, penulisan ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi dan reputasi.

Namun, tanpa hebahan barangkali perkembangan positif ini akan luput dalam lipatan sejarah, atau tidak dihargai. Maka itu sebabnya pada majlis Konvokesyen ke-46 pada 26 Mac ini, Senat UTM bersetuju untuk menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Menteri Pendidikan Indonesia (sejak 2009), Bapak Prof Dr Ir Muhammad Nuh.