Berita Harian -Rencana (Minda Lestari), Jumaat 1 April 2011

Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)


MASAHIKO Horie, 65, ialah duta yang luar biasa, murah dengan senyuman dan cepat mesra. Setiap kali bertemu beliau, Duta Besar Jepun ke Malaysia itu tersenyum riang dan sering berjenaka. Kali terakhir bertemu, saya sempat menterjemahkan seni kata lagu P Ramlee berjudul Getaran Jiwa yang begitu diminatinya.

Namun lain halnya ketika beliau memberi sidang media pada 15 Mac lalu mengenai situasi selepas gempa bumi pada skala 9 magnitud dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac jam 2:46 petang.  Duta Horie menangis!

Selepas mendengar berita itu, saya menghantar SMS kepada beliau untuk sekurang-kurangnya berkongsi empati serta menyampaikan rasa sedih dan takziah seluruh warga UTM, khususnya staf Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Berita terkini, ketika artikel ini ditulis jumlah kematian mencecah 11,232 orang dan 16,361 masih hilang. Selain mayat masih bergelimpangan, banyak lagi cabaran melanda, terutama ketidaktentuan berkaitan loji jana kuasa nuklear di Fukushima. Tahap radiasi nuklear juga dikesan 30,000 lebih tinggi berbanding daripada aras selamat dalam air laut berhampiran loji berkenaan.

Sejurus tragedi 11 Mac, 11 reaktor nuklear di Fukushima I, Fukushima II, Onagawa dan Tokai ditutup. Loji di Higashidori di pantai tenggara Jepun juga ditutup sebelumnya untuk tujuan penyelenggaraan. Penutupan loji nuklear ini menyebabkan Jepun menghadapi krisis tenaga serius termasuklah di Tokyo kerana loji nuklear membekalkan 30 peratus tenaga elektrik di Jepun. Masalah itu dirasakan oleh sektor pembuatan dan pengangkutan.

Selain memulihkan kembali kawasan dilanda tsunami di Sendai, tumpuan dunia ialah loji Fukushima. Persoalan utama mengelakkan letupan reaktor lain, sekali gus memastikan bahan radioaktif dalam reaktor yang meletup tidak tersebar. Ini risiko alam sekitar yang membimbangkan seluruh dunia, terutama negara jiran.

Sementara itu, mangsa tsunami mula kembali ke rumah mereka. Seperti dijangkakan, kawasan terbabit bagai padang jarak padang terkukur. Hampir semua perlu dibangunkan semula termasuk infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, gas, telekomunikasi dan saliran. Kos terkini dijangkakan AS$300 bilion.

Memang rakyat Jepun tabah dan sabar. Tidak seperti bencana Katrina di Amerika Syarikat atau gempa bumi di Haiti, rakyat Jepun tidak hilang pertimbangan. Banyak yang mereka perlukan selain bantuan kecemasan ketika pemindahan. Memang banyak hal yang mereka perlu tempuhi termasuk mencari mayat keluarga yang hilang.

Semuanya berlangsung dengan teratur, tertib dan mengikut skim pengurusan bencana. Tiada jeritan pekik meluah kemarahan kepada kerajaan atau pasukan bantuan bencana ketika mangsa ditemu bual pihak media. Tiada demonstrasi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pelan tindakan bencana yang lambat atau kurang efisien. Malah tidak terserlah luapan perasaan mereka yang barangkali tidak perhatian sewajarnya.

Dalam diam ramai rakyat Jepun berkorban untuk kepentingan mangsa lain. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika ditemu ramah siaran Asian News Channel menyatakan tindakannya ketika isyarat bencana dibunyikan tanda tsunami akan melanda. Kanak-kanak keluar dari rumah dan menjerit mengingatkan jirannya di kalangan warga emas untuk segera keluar meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri.

Sudah pasti hal ini ada kaitan dengan pemikiran dan budaya orang Jepun yang sering mementingkan orang lain. Ketika diumumkan mengenai bencana yang memakan masa panjang untuk pemulihan, pengeluaran makanan terpaksa dikawal akibat kesan radioaktif, mereka tidak berlumba-lumba membeli makanan di pasaran untuk disimpan. Ramai yang hanya membeli untuk keperluan tiga hari bagi memberi peluang kepada orang lain. Malah tidak ramai peniaga yang mengambil kesempatan dengan menjual makanan dan barang pada harga tinggi.

Keadaan ini diperteguhkan lagi menerusi semangat ‘jinshuku’ atau berkabung. Secara sukarela, peniaga restoran mengehadkan juadah makanan yang dihidangkan di restoran serata Jepun. Pusat hiburan ditutup. Minuman keras tidak dijual. Begitu juga dengan aspek kemewahan seperti berpakaian dan bersantaian dihadkan kepada keperluan asasi semata-mata untuk turut merasai penderitaan mangsa dan keluarga bencana.

Demikianlah Duta Horie. Beliau yang akan bersara pada 28 April ini juga tidak lagi senyum semesra yang saya kenali sejak 2007. Memang sumbangan beliau ketara terhadap Malaysia, termasuk UTM. Beliau adalah pemangkin dalam merealisasikan MJIIT. Sejak memulakan tugas di Malaysia sejak 2007, MJIIT adalah antara projek usaha sama kedua-dua kerajaan yang menjadi keutamaan beliau. Kepada Duta Horie, selamat bersara.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)