Berita Harian Rencana (Minda Lestari), Jumaat 8 April 2011
Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr Zaini Ujang (zaini@utm.my)
APAKAH faktor terpenting pendorong inovasi dalam konteks negara membangun seperti Malaysia? Apakah pendekatan lebih sesuai antara ‘top-down’ yang disokong kerangka perundangan, atau pendekatan pelbagai hala organik yang lebih memberi penekanan kepada pembentukan ekosistem inovasi?
Demikian persoalan saya kemukakan pada persidangan Global Halal Research bermula 6 April lalu di Kuala Lumpur. Persoalan itu juga dibahaskan Prof Tony Sinskey daripada Massachussetts Institute of Technology (MIT).
Memang kepentingan inovasi sudah diterima umum sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi ketika ini. Inovasi menjana nilai baru yang memberi ruang kepada penjanaan kekayaan baru dalam persekitaran ekonomi yang semakin berdaya saing. Persoalannya apakah pendekatan sesuai untuk menyuburkan inovasi sehingga membuahkan hasil diharapkan?
Tidak seperti Amerika Syarikat dan Jepun, pendekatan inovasi di beberapa negara ekonomi bersaiz kecil, termasuk Malaysia diwarnai dasar kerajaan. Dalam banyak hal, pembabitan kerajaan diperlukan untuk memberi dorongan dan insentif baru bagi menggalakkan inovasi, khususnya inovasi dalam konteks pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Hal ini penerusan kepada pelbagai inisiatif dan dasar sebelumnya yang mana peranan kerajaan adalah kritikal sebagai pendorong utama. Dasar itu diterjemahkan dalam bentuk kerangka perundangan, agensi khas, dana khusus dan penerusan menerusi pengembangan saiz sumber serta modal insan.
Persoalannya, apakah pendekatan sedemikian selari dengan penyuburan ekosistem inovasi yang biasanya bersikap bukan konvensional dan tidak terancang? Apakah peranan langsung pihak kerajaan akan menggalakkan hasil inovasi, atau menyukarkan lagi proses inovasi kerana rantaian birokrasi yang semakin melebar? Apakah inovasi perlu direncana sepenuhnya, atau dibiarkan berkembang selari dengan pengembangan kreativiti dan penjanaan nilai tinggi?
Dalam setiap sektor, termasuk industri halal yang ketika ini antara keutamaan Malaysia, pendekatan inovasi perlu dilaksanakan dengan fleksibel dan dinamik. Pada hemat Prof Sinskey, misalnya, formula kejayaan sesuatu inisiatif berasaskan R&D ialah 4P + 2I + 4T + 2S.
P merangkumi pekerja, matlamat (purpose), paten dan program; 2I adalah inovasi dan interdisciplinary; 4T pula ialah ketelusan, kebenaran (truth), amanah (trustworthy) dan tepat masa (timely). Selain itu, 2S adalah pelestarian dan saiz sesuai.
Ketika memperihalkan kejayaan MIT sebagai antara pusat inovasi utama di dunia ketika ini, Prof Sinskey meletakkan pekerja atau modal insan yang mempunyai keinginan untuk berjaya sebagai faktor utama. Modal insan sedemikian membolehkan kejayaan lain dicapai dengan mudah, biarpun MIT tidak menyediakan kemudahan paling canggih, apatah lagi sumber kewangan paling lumayan.
Persoalan ini penting kita bahaskan kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sedang melaksanakan transformasi menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai penjana nilai tinggi dalam Model Ekonomi Baru. Model ekonomi itu memerlukan perubahan struktural dari segi modal insan dan bentuk kegiatan ekonomi di Malaysia.
Antara nilai aspirasi terkandung dalam konsep 1Malaysia ialah ‘budaya inovasi’. Dalam pengertian mudah, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru. Sementara inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea atau gagasan sedia ada sehingga memberi nilai tambah baru yang boleh diguna pakai, dimanfaatkan, dijadikan asas serta dasar lebih produktif, dan – bagi sesuatu produk dan perkhidmatan – dikomersialkan.
Dalam konteks institusi ilmu misalnya, kreativiti dan inovasi membabitkan tiga peringkat iaitu (a) inovasi dalam organisasi secara menyeluruh melibatkan fungsi, proses dan sistem organisasi (b) inovasi dalam teras akademik iaitu pengajaran dan pembelajaran, R&D dan penerbitan melibatkan penjanaan dan perkembangan keilmuan yang membantu menjana pertumbuhan ekonomi dan (c) inovasi memajukan hasil R&D bersama-sama pelbagai agensi luar bagi menjana kekayaan baru kepada negara. Prinsipnya, kita perlu menyuburkan ekosistem inovasi bukan merumitkan lagi birokrasi inovasi!
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia
ทดสอบความเร็วอินเตอร์ ของการเล่นเกม mega game ยินดีต้อนรับสมชิกเก่าแล้วก็สมาชิกใหม่ ทุกๆท่าน ไปสู่โลกที่การพนัน แม้เอ่ยถึงคาสิโนออนไลน์ คงจะไม่มีผู้ใดไม่เคยทราบ megaslotgame เมก้าเกม เกมสล็อต