Berita Harian Rencana (Minda Lestari), Jumaat 29 April 2011
Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr Zaini Ujang (zaini@utm.my)


DI sebalik kemeriahan perkahwinan diraja antara Putera William dan Kate Middleton, sebahagian besar mahasiswa di universiti serata England berada dalam kebimbangan. Pada 25 April lalu, akhbar perdana The Times menyiarkan laporan mengenai cadangan peningkatan yuran pengajian pada September 2012. Selain itu, kemungkinan syarikat swasta mengambil alih operasi dan pentadbiran beberapa universiti yang menghadapi masalah kewangan.

Memang isu kewangan menjadi semakin kritikal dalam konteks penyampaian pengajian tinggi di seluruh dunia termasuk di England yang ketika ini destinasi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Disebabkan masalah ekonomi serta langkah drastik kerajaan mengurangkan defisit sekali gus menyediakan regim kewangan lebih telus dan cekap.

Isu kewangan universiti di England disahkan pelbagai pihak, bukan saja di kalangan pembuat dasar awam, malah akademia sendiri. Sebagai contoh, kajian Kesatuan Universiti dan Kolej yang mewakili pensyarah universiti menyebut 49 daripada 130 universiti di England menghadapi risiko kewangan apabila kerajaan mengurangkan geran pengurusan universiti. Semuanya bekas politeknik yang dinaikkan status menjadi universiti menerusi dasar Margaret Thatcher selepas 1992.

Kebimbangan mahasiswa itu memuncak apabila laporan Kertas Putih dimuktamadkan pada 19 April lalu. Hal ini disahkan menteri bertanggungjawab terhadap universiti, David Willetts. Antara lain, tiga perkara penting terserlah dalam Kertas Putih itu, iaitu sebahagian universiti tidak dapat menampung biaya diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi berkualiti menerusi dasar merit dalam pembahagian dana awam. Kedua, bagi membolehkan perkhidmatan pengajian tinggi bersifat lebih kompetitif dan berkualiti, yuran pengajian perlu dinaikkan sehingga £9,000. Ketiga, membenarkan pihak swasta menyediakan perkhidmatan operasi dan pengurusan untuk membolehkan universiti diurus secara lebih cekap dan produktif.

Beberapa tahun lalu, pendekatan dasar awam di Britain menyelamatkan universiti yang menghadapi masalah kewangan menerusi penggabungan dengan universiti lebih berdaya maju. Misalnya, University of Manchester, Institut of Science and Technology (UMIST) bergabung dengan Universiti Manchester menjadi Universiti Manchester. Selain itu, penutupan penawaran kursus yang tidak dapat menarik bilangan mahasiswa dan geran penyelidikan mencukupi.

Ini ditambah dengan beberapa langkah berkaitan sumber manusia seperti menawarkan pencen awal kepada pensyarah dalam disiplin ilmu yang tidak kompetitif. Ada juga pensyarah ditawarkan pakej persaraan awal kerana prestasi kerja kurang memuaskan.

Sekali imbas, perkembangan pengajian tinggi di England ketika ini menampakkan dinamisme membina ekosistem akademik supaya lebih berdaya saing. Dari segi institusi dan sejarah, universiti di England mempunyai banyak kelebihan, terutama Oxbridge dan ‘red brick’ (pasca Perang Dunia Kedua). Ini ditambah kedudukan Cambridge, Oxford, Imperial College, University College of London dan Warwick yang tersenarai di kalangan ranking universiti terbaik dunia.
Namun, tidak semua universiti dapat menggunakan kelebihan itu walaupun berjiran dengan Oxbridge. Nampaknya reputasi peringkat antarabangsa memerlukan salasilah, komitmen, dana dan ekosistem ilmiah tersendiri. Justeru mempertaruhkan reputasi kepada kemajuan negara atau bahasa Inggeris sebagai lingua fraca akademia tidak menjanjikan pulangan lumayan. Apatah lagi jika bersaing dalam kerangka kewangan berasaskan pasaran bebas.

Memang ketika ini kerangka kewangan pengajian tinggi suatu paradoks. Yuran pengajian berbeza antara institusi tidak mencerminkan kualiti perkhidmatan pengajian tinggi. Dengan kata lain, yuran tidak ditetapkan mengikut kualiti dan perkhidmatan disediakan. Di kalangan mahasiswa cemerlang mereka masih dapat menikmati pengajian secara percuma menerusi pelbagai geran dan biasiswa. Ini begitu ketara di Harvard iaitu yuran program ijazah pertama AS$38,000 tetapi kira-kira 70 peratus mahasiswa mendapat biasiswa endowmen. Sebaliknya, universiti lain yang kurang ternama dengan kualiti pengajian tidak setaraf Harvard mengenakan yuran jauh lebih murah tetapi hampir semua mahasiswa terpaksa membayar sendiri yuran pengajian. Ini begitu ketara di England iaitu yuran pengajian di Oxbridge sama dengan bekas politeknik pasca 1992.

Justeru, kebimbangan mahasiswa memuncak minggu ini kerana Kertas Putih pengajian tinggi di England itu dijangka akan menetapkan kerangka dan regim baru berkaitan antara kualiti dan yuran pengajian tinggi. Mungkin tidak salah merumuskan banyak universiti, fakulti dan jabatan yang tidak kompetitif dan kurang sambutan dari segi permintaan akan terkeluar daripada liga perdana pengajian tinggi.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia