Berita Harian- Rencana (Minda Lestari), Jumaat 28 Januari 2011
Oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)
CABARAN utama pengurusan alam sekitar untuk 2011 – pada hemat saya ialah mempersiapkan strategi dan pelan tindakan supaya bersifat lebih proaktif dan tidak terlalu bersifat penyelesaian masalah.
Selama ini dasar pengurusan alam sekitar di Malaysia memang menyeluruh dan relevan. Memang banyak pencapaian dan pembaharuan dalam pelbagai aspek. Justeru, pelbagai agensi ditubuhkan untuk memastikan pelestarian alam sekitar semakin mantap. Namun, kita perlu berfikiran terbuka dan mengakui bahawa masih banyak yang perlu dipertingkatkan.
Pembaharuan paling ketara ialah pengurusan alam sekitar dan risiko bencana secara lebih efektif serta kecekapan menghadapi ketidaktentuan cuaca kesan pemanasan bumi yang antara lain menyebabkan pelbagai risiko menerusi perubahan corak taburan hujan, aliran arah angin, gelora ombak laut, kemarau panjang dan banjir besar.
Dalam hal ini, sekurang-kurangnya tiga hakikat perlu difahami, khususnya di kalangan pembuat dasar, berkaitan iklim dan cuaca.
Pertama, Malaysia berkemungkinan menghadapi musim tengkujuh lebih daripada sekali dalam setahun pada masa akan datang. Kawasan berisiko banjir juga telah berubah, tidak hanya di pantai timur. Hal ini berlaku pada 2010. Sementara itu, musim kemarau juga dijangka akan tidak menentu, mungkin lebih panjang seandainya berlaku sehingga boleh menjejaskan bekalan air.
Kedua, keluasan Malaysia semakin mengecil setiap tahun jika usaha strategi tidak dilakukan. Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa di 33 lokasi, sehingga 40 meter pantai terhakis setahun sejak kebelakangan ini seperti laporan New Straits Times pada 25 September 2006. Laporan itu juga menunjukkan sepanjang 1,414 km di 223 lokasi mengalami hakisan pantai. Sebagai perbandingan pada 1986 hanya 74 lokasi dikategorikan kritikal, tetapi setelah 20 tahun jumlah itu meningkat kepada 93.
Ketiga, tumpuan dasar pengurusan alam sekitar perlu dikembangkan dalam konteks pelestarian dan pembaikpulihan ekosistem, dan tidak terlalu terikat kepada penyelesaian masalah atau pencemaran semata-mata.
Cabaran kita untuk memastikan kesan pemanasan suhu bumi dan perubahan iklim dapat ditangani dengan sistematik, terancang, pengurangan risiko sekali gus tidak menjejaskan pembangunan negara. Kita juga perlu lebih proaktif dalam konteks serantau dan global mengurangkan kesan pemanasan bumi. Pada hemat saya, cabaran itu boleh dikelaskan kepada lima dimensi dan skop kerja.
Pertama, menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur fizikal dengan mengambil kira aspek perubahan iklim, misalnya mempersiapkan kemudahan penebatan banjir termasuklah di negeri dan kawasan yang selama ini dianggap kurang berisiko. Selain itu, pesisiran pantai di seluruh negara perlu dipantau secara berterusan untuk mengesan tanda hakisan pantai. Tindakan susulan perlu disegerakan, termasuklah pembinaan pemecah ombak dan penanaman hutan bakau.
Kedua, menyediakan garis panduan, prosedur standard operasi (SOP) dan latihan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuklah gempa bumi, banjir besar, tsunami dan kemarau panjang. SOP itu perlu membabitkan pelbagai agensi dan badan sukarela yang bukan terhad kepada pengurusan mangsa bencana, bahkan mesti turut membabitkan pengurusan alam sekitar dan kesihatan awam. Garis panduan reka bentuk kawasan perumahan juga perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor banjir, musim kemarau panjang dan ribut kencang.
Ketiga, menyediakan direktori dan mengumpul seluruh kepakaran tempatan sama ada agensi awam, swasta atau institusi pengajian tinggi untuk sama-sama berganding bahu mencari alternatif dan strategi yang boleh mengurangkan kesan ketidaktentuan cuaca dari segi keselamatan dan kesihatan awam, kerosakan harta benda dan risiko lain.
Keempat, menyediakan biaya khas yang mencukupi untuk menangani bencana akibat ketidaktentuan cuaca. Biaya khas ini diperlukan kerana sering berlaku usaha pengawalan dan penebatan tidak dapat disegerakan sehingga memburukkan lagi keadaan apabila tanda bencana mula dikesan.
Kelima, menjalankan kajian strategik secara lebih terperinci terhadap fenomena perubahan cuaca yang membabitkan aspek seperti bekalan air, kesihatan awam, risiko alam sekitar, penebatan banjir dan hakisan pantai dalam konteks dalam negeri dan serantau. Usaha juga perlu dipergiatkan untuk memajukan teknologi dan inovasi tempatan dari segi pengurangan risiko dan pelepasan gas-gas karbon dalam pelbagai sektor khususnya pengangkutan, pertanian dan pembuatan.
Perlu kita akui bahawa pelbagai ketidaktentuan bencana alam sejak kebelakangan ini – terutama banjir di sesuatu kawasan dan kemarau di kawasan lain – menunjukkan banyak inisiatif perlu diberi penyesuaian mengambil kira faktor ketidaktentuan cuaca. Justeru, kita perlu merangka ‘dasar ketidaktentuan’ untuk menghadapi ketidaktentuan cuaca sebagai asas penggubalan dasar perbandaran, perindustrian, pelancongan, pertanian dan pengangkutan.
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia.