Kedudukan Solat Berjamaah

Doa Selepas Solat

Pesanan Imam Ghazali

Makbulkah Doa Kita

Makbulkah Doa Kita?

Sumber : https://akuislam.com/blog/guest/makbulkah-doa-kita/

Bila ditanya “Apa itu Doa?”.

Ada yang menjawab:

“meminta atau memohon sesuatu kepada Allah S.W.T dari pelbagai aspek atau situasi misalnya soal kesihatan atau permudahkan urusan atau lain-lain.

Di samping itu, ada juga yang menjawab ia merupakan sebuah adat seusai mengerjakan solat, mengikut orang ( bilamana orang menadah tangan, kita turut serta tanpa faham akan maksud doa yang sebenar ) dan sebarang apa yang dimaksudkan”.

Sejujurnya, doa bukanlah hanya ungkapan semata-mata..

… tetapi ia merupakan sikap khusyu’ atau bersunguh-sungguh seseorang individu itu dalam menghadapkan diri  atau berdepan kepada-Nya.

Seterusnya, mereka mengharapkan agar tercapainya atau termakbulnya akan sesuatu iaitu keinginan atau keperluan masing-masing di atas apa yang telah dimohonkan atau dihajati dalam apa jua keadaan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan.

Selain itu, Al-Qur’an turut memberikan penjelasan bahawa orang-orang yang taat melakukan ibadah senantiasa mengadakan pendekatan diri kepada Allah S.W.T dengan memanjatkan doa yang disertai keikhlasan hati yang mendalam.

Oleh yang demikian, sebuah doa akan cepat dikabulkan apabila disertai keikhlasan hati dan berulangkali dipanjatkan sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-A’raf ayat 55-56 yang bermaksud:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas .” {55} “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah S.W.T menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” {56}

Tambahan pula, ia dapat menambah lagi kemantapan dan ketenangan jiwa agar ibadah doa kepada Allah S.W.T akan senantiasa dipanjatkan, baik dalam keadaan senang maupun dalam keadaan susah atau dalam penderitaan maupun dalam kebahagiaan atau dalam kesulitan maupun dalam kelapangan.

Dalam sumber wahyu, Al-Qur’an Allah S.W.T telah menegaskan dalam Surah Al-Khafi ayat 28 yang bermaksud:

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah S.W.T semata-mata  dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”{28}

Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita disyariatkan berdoa untuk tujuan kebaikan bukan kearah negatif kepada diri, keluarga, saudara mara, sahabat sesama agama Islam hatta kepada bukan seagama Islam sekalipun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T menyuruh setiap muslim berdoa dan memohon restu daripada-Nya dan Dia berjanji akan memperkenankan permohonan yang diminta oleh mereka sama ada cepat atau lambat.

Justeru, kita janganlah mudah untuk patah semangat atau putus asa bila mana Allah S.W.T lambat memperkenankan keinginan kita.

Titipkanlah sifat mahmudah seperti sabar dalam diri kita.

Hal ini amat bersesuaian dengan sumber wahyu dari Hadith Rasulullah S.A.W :

Daripada al-Nu’man ibn Basyir, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: ”Sesungguhnya doa itu adalah ibadat kemudian membaca ayat 60 , Surah Al-Gahfir “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

— Riwayat Ahmad

Doa hanya boleh dipohon kepada Allah S.W.T kerana Dialah yang Maha Agung, Maha Mengetahui dan Maha Memperkenankan dan jangan sesekali mengambil jalan mudah sehingga menyebabkan kita syirik kepadaNya. Nauzubillah min zalik !

Perbanyakkan doa, semoga kita diberkati dan diredhai Allah S.W.T. Allah S.W.T memperkenankan doa dalam tiga bentuk:

  1. Diperkenankan doa itu ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja yang dihajatkan.
  2. Doanya diperkenankan, tetapi hajat itu disimpan dan akan diberikan pada hari akhirat.
  3. Doa diperkenankan, tetapi bukan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan daripada keburukan dan bala bencana.

Akhir kalam, sebagai seorang muslim, kita hendaklah beristiqamah dalam berdoa kerana ia dapat membentuk peribadi mulia.

Disamping itu, doa akan diterima jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka ini akan membentuk sifat sabar, jujur dan ikhlas hati.

Oleh itu, sebaik-baik hamba itu ialah mereka yang sentiasa melakukan sesuatu amalan terus-menerus, sentiasa ingat kepada Allah ketika senang dan susah, bukan hanya ketika susah dan melupakan-Nya ketika senang.

Sesungguhnya dalam doa itu AllahS.W.T  Maha Mengetahui setiap rahsia hamba-hambanya terhadap qadak dan qadar ketentuan-Nya.

Bagaimana Mengingat dan Menyerap Buku yang Dibaca?

Bagaimana Mengingat dan Menyerap Buku yang Dibaca?

Sumber : https://akuislam.com/blog/produktiviti/menyerap-mengingat-buku-dibaca/

Bagaimana untuk mengingati buku yang dibaca?

Membaca buku yang baik boleh menjadi satu pengalaman yang berharga.

Tetapi ia juga boleh menjadi satu perkara yang mengecewakan apabila maklumat yang kita baca hanya terapung melalui kepala tanpa melekat dalam ingatan kita.

Namun terdapat beberapa kaedah yang benar-benar boleh memberi kesan dalam mengekalkan maklumat dan menyerap buku yang kita baca.

Kaedah ini berguna dan efektif dalam mengingat informasi yang kita baca dari sesebuah buku.

Mari saya terangkan satu persatu.

 

Ada 3 Jenis ‘Pemilik Buku’ Yang Perlu Anda Tahu..

Jenis yang pertama

 

Terdapat jenis orang yang suka membeli buku tetapi tidak pernah membacanya.

Selalunya orang yang sebegini hanya ‘minat’ kepada penulis. Mereka hanya mengikut trend semasa. Mereka terpikat dengan senireka muka depan, dan terjebak dalam perlumbaan mengumpul buku edisi ‘collector item’.

Orang sebegini hanya mencintai buku dengan kekayaan, bukan dengan kebijaksanaan.


Jenis yang kedua

 

Kemudian, terdapat juga jenis pemilik buku yang membeli tetapi hanya jarang-jarang membaca setiap helaian buku tersebut sampai habis.

Mereka hanya membelek-belek beberapa helai muka depan sebelum semakin memperlahankan rentak, dan akhirnya terhenti.

Seperti jenis orang pertama, buku-bukunya akan kelihatan masih baru walaupun selepas 10 tahun membelinya.


Jenis ketiga

 

Dan jenis orang yang terakhir, pemilik buku yang mempunyai buku-buku yang berkumal, helaiannya hampir longgar, dan paling penting, terdapat conteng-contengan dan tanda dari depan hingga ke belakang buku.

Jenis pemilik buku yang terakhir inilah selalunya pembaca yang mampu menyerap buku hingga ke salur darah. Mereka mengingat apa yang mereka telah baca.

Dan pembaca jenis terakhir inilah kita semua patut jadi.

 

5 Sebab Untuk Anda ‘Menconteng’ di Dalam Buku

Menconteng di dalam buku bukanlah satu seni yang boleh dibanggakan.

Tetapi ia perbuatan yang wajar. Ia adalah simbol yang menandakan bahawa kita telah bertukar daripada pemilik buku kepada penyerap buku yang sebenar.

Ia seperti pembeli daging vs memakan daging..

Sebelum ia berada dalam salur darah kita, kita hanya memastikan ia hanya sejuk beku didalam peti ais. Anda masih belum menikmati daging tersebut selagi ia belum dimakan.

Dan sama juga sebelum anda menconteng dalam buku tersebut, anda masih tidak memilikinya. Anda hanya penjaga buku tersebut, hanya menyusun didalam rak.

Oleh itu, sebelum saya memberi idea bagaimana untuk menanda dalam buku, mari saya tunjukkan mengapa menanda dan menconteng di dalam buku sebenarnya satu perbuatan yang wajar.

Disini adalah lima sebab:

1. Mengaktifkan minda

Daripada menjadi pembaca yang hanya duduk diam dan cuba untuk memahami segala sesuatu yang masuk ke dalam kepala, cara ini akan mendorong minda ke hadapan dan mula menyoal siasat apa yang dibaca.

Apa yang penting anda tidak membaca secara pantas


2. Menanda wilayah anda

Membaca kembali buku dua tahun kemudian selepas ditanda akan menjadi sesuatu yang sangat menghiburkan: kita boleh meneroka kembali fikiran, perasaan, dan emosi dari masa lalu. Ia merupakan satu diari intelek.


3. Meninggalkan jejak

Tanda contengan anda dalam buku memberitahu anda helaian mana yang telah anda liputi dalam pembacaan.

Dan ia akan menolong kamu mengingat idea dan konsep yang telah anda baca jika anda akan masuk membaca buku tersebut untuk kali kedua.


4. Mengajar kita bagaimana menulis

Setelah membaca beberapa bab, anda secara semulajadi mula menyerap gaya penulisan si penulis. Ianya penting jika anda sedang berusaha untuk menjadi penulis.


5. Mendedahkan apa yang kusut

Menandakan sebuah buku akan mendedahkan gaya penulis, corak pemikiran dan maksud yang ingin disampaikan..

Ianya sama seperti seorang ahli arkeologi membersih debu dari periuk seramik yang tertanam dalam tanah selama tiga ribu tahun yang lalu, lama-kelamaan kita akan dapat melihat dengan jelas seni dan reka bentuk periuk seramik tersebut.

 

Mengapa Kita Bersusah Payah Melakukan Ini?

Tujuan utama menconteng buka adalah BUKAN untuk melihat sejauh mana kita telah baca.

Tetapi tujuan utama yang sebenarnya adalah untuk melihat seberapa banyak tekah anda dapat. Banyak mana telah anda ingat dan serap. Dan cara terbaik untuk melakukannya adalah menulis di dalam buku tersebut.

Disini ada beberapa tips untuk melakukanya secara betul.

 

10 Tips Untuk ‘Menconteng Cara Betul’ di Dalam Buku:

  1. Bulatkan perkataan yang menarik
  2. Gariskan ayat menarik. Gunakan pen. Gunakan highlighter.
  3. Tulis soalan atau komen dalam bahagian margin.
  4. Lukiskan anak panah dari nota dalam margin ke bahagian buku nota merujuk kepada.
  5. Merekodkan nombor halaman dimana terdapat idea yang telah diulangi.
  6. Tuliskan ringkasan setiap bab pada halaman kosong di antara bab.
  7. Buat outline buku itu pada muka surat kosong di hadapan buku tersebut.
  8. Tulis kesimpulan untuk idea utama buku tersebut di ruangan kosong pada bahagian belakang.
  9. Membuat rumusan terhadap beberapa idea-idea sokongan.
  10. Menulis indeks topik, buku atau idea untuk senang dicari pada masa depan.

Jika anda berasa sayang dan tak dapat menconteng dalam buku, sekurang-kurangnya ambil sekeping kertas dan tulis padanya. Sekeping kertas yang anda akan simpan di dalam buku tersebut.

Allah Lebih Tahu Apa Yang Terbaik. Bertenang, Teruskan Berdoa Dan Tunggu Kebahagiaan Itu Datang

Allah Lebih Tahu Apa Yang Terbaik. Bertenang, Teruskan Berdoa Dan Tunggu Kebahagiaan Itu Datang

Sumber : https://akuislam.com/blog/renungan/allah-lebih-tahu-apa-yang-terbaik/

 Jika akhirnya kamu tidak bersama dengan orang yang sering kau sebut dalam doamu, mungkin kamu akan dibersamakan dengan orang yang diam-diam mendoakanmu. “

Di setiap pengakhiran solat, tidak pernah sekalipun kita terlupa untuk mendoakan kebahagiaan antara  kita dan dia.

Tanpa henti meminta semoga Allah mengekalkan hubungan yang dibina atas dasar cinta.

Kita yakin dia yang terbaik.

Yakin dia jodoh yang memang Allah tetapkan untuk dijadikan peneman untuk setiap langkah menghadapi hari-hari yang mendatang.

Kita mahukan segala impian dan harapan jadi kenyataan. Jadi realiti.

Tapi..

…tanpa diduga segalanya hanya sementara.

Semua kegembiraan dan kebahagiaan itu akhirnya terhenti di pertengahan jalan. Segalanya musnah. Hancur berkecai.

Dunia seolah-olah gelap. Kita rebah runtuh sama seperti cinta yang berkecai itu.

Dan di saat itu, kita mula ragu.

Marah. Sakit hati. Curiga.

Segalanya jadi bercelaru. Kucar-kacir.

 

Syaitan memulakan peranannya..

Saat hati rawan, makin mudah kita diperdaya.

Saat hati rapuh, segalanya akan nampak salah di mata. Amarah mengusai hati, jiwa dan fikiran.

Kita mula mempersoalkan segalanya. Setiap apa yang kita pernah doakan dahulu.

Di hati terdetik:

“ Allah janjikan kebahagiaan untuk hambanya yang berdoa. Selama ni aku tak pernah berhenti berdoa supaya dijodohkan dengan dia. Tapi kenapa Allah tetap ambil dia dari aku? 

Kita terlupa. Kita hanya manusia. Hamba yang lemah.

Kita hanya merancang tapi tak semua perancangan yang kita rangka itu adalah sebaik-baik perkara untuk diri kita.

 

Manusia Merancang Dengan Cita-Cita. Tapi Allah Merancang Dengan Cinta.

Banyak perkara yang kita terlepas pandang dalam tempoh kita merancang itu. Kadang-kadang cinta buat kita jadi buta hati.

Yang buruk kekal nampak indah. Kekal cantik. Semuanya hanya kerana cinta yang menguasai diri.

Untuk cinta kadangkala kita rela menidakkan yang Ya dan mengiyakan yang Tidak. Buta lagi membutakan jika paksinya bukan Tuhan. – Tribulasi 365 Hari, Dr. Anwar Fazal.

Tarik nafas.

Bertenang.

Cuba ambil masa untuk bersendiri.

Bukan bersendiri untuk menangis meratap. Bukan untuk berduka.

Tapi cuba untuk muhasabah diri kita sendiri. Cuba untuk imbas kembali apa yang kita telah lakukan sepanjang tempoh percintaan kita dahulu.

Ya, memang betul. Tak pernah sekalipun kita terlupa untuk doakan kebahagiaan antara kita dan dia berkekalan.

Tapi tanya diri kita kembali, ikhlaskah hati kita saat kita meminta itu ? Adakah hanya kerana cinta pada manusia semata-mata ?

 Jodoh itu unik. Seringkali yang dikejar-kejar menjauh. Yang tak sengaja mendekat. Yang seakan sudah pasti menjadi ragu. Yang awalnya diragukan menjadi pasti. Yang selalu diimpikan, tak berujung pernikahan. Yang tak pernah difikirkan, bersanding dipelaminan.

– Unknown.

Allah itu Maha Adil.

Dia mendengar setiap permintaan kita. Setiap pengharapan. Setiap bait-bait doa.

Walaupun kita seorang pendosa, Allah masih tetap memakbulkan soa-doa kita. Tanpa sebarang perasaan benci.

Tapi jika begitu, kenapa Allah masih tidak memakbulkan apa yang kita mohon itu?

Kenapa Allah biarkan hati kita berduka atas kebahagiaan yang hanya tinggal angan-angan?

Kenapa Allah biarkan kita bersedih andai benar Dia sayangkan kita?

Kita terlupa siapa diri kita. Siapa kita yang sebenarnya. Apa hak kita untuk mempertikaikan setiap aturan Sang Pencipta?

Allah tak kejam. Tak pernah sekalipun Dia kejam pada hambaNya.

Kita hanya tahu menunding jari. Hanya tahu menyalahkan setiap takdir yang ditetapkan bila mana keinginan dan kemahuan kita tidak dipenuhi.

Tanpa kita sedar Allah pegang semua permintaan kita itu kemas-kemas.

Allah tak tunaikan semuanya kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat diri kita.

Dia telah aturkan perjalanan yang jauh lebih indah dari apa yang kita rancang.

Percaya saja. Tuhan menggenggam semua doa. Lalu dilepaskanNya satu persatu di saat yang paling tepat.

Sabar.

Allah takkan biarkan hambaNya berduka selamanya.

Dia hanya mahu kita kembali ke jalanNya. Ke jalan yang sepatutnya.

Dia berikan perpisahan agar kita sedar itu bukan yang terbaik buat kita. Bukan bermakna Allah tak sayangkan kita.

Kadang, tanda cinta Allah terhadap seseorang itu Allah akan biarkan hati dia hancur berkali-kali sampai dia rasa tak ada lagi harapan di dunia ini.

Dan itu akan membuat dia punya harapan hanya untuk allah saja.

Syeikh Abdul Kadir Jailani.

 

Allah Tahu Apa Yang terbaik. Dia Aturkan Semuanya Jadi Cukup Indah.

Kita hanya perlu yakin dan menanti saat dan ketika itu tiba. Dekatkan diri padaNya. Menangislah memohon ampun di atas dosa-dosa lalu.

Semoga Dia permudahkan jalan kebahagiaan kita.

Bila tiba masanya, kebahagiaan yang sebenar akan kunjung tiba.

Kebahagiaan yang kita sendiri tak pernah terfikir dan terlintas. Apatah lagi kebahagiaan yang hadir bersama redha Allah.

Trust in Allah timing. Rely on His promises. Wait for His answers. Enjoy His blessings. Relax in His remembrance.

 

Janganlah Kita Salahkan Takdir Andai Perpisahan Berlaku..

Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah dah peliharakan diri kita dari kedukaan yang lebih dalam.

Atas sebab itu Dia sedarkan kita dari mimpi dan impian palsu itu lebih awal.

Cinta, jika bukan bermisikan syurga, nikmat bahagia tidak akan kekal lama.

Yang namanya cinta akan tiba hanya bila kita terlebih dahulu mendahulukan Tuhan dan ayahbonda dalam semua perkara.

Percayalah ‘dia’ nanti akan muncul di depan mata tanpa disangka-sangka.

Saat itu barukita tahu betapa benarnya untuk meletakkan cinta pada tempatnya sebelum hadirnya ‘dia’ – Diagnosis2

Andai Allah tak sayangkan kita, mungkin Dia akan biarkan kita terus hanyut dengan cinta palsu yang kita bina sendiri itu.

Dan akhirnya kita rebah tersungkur bersama luka yang dalam hingga tak mampu lagi untuk bangkit kembali.

Maka, yakinlah dengan ketentuan Allah.

“La tahzan innallaha ma’ana.”

“Don’t be sad. Allah is with us.”

Bagaimanakah Cara ALLAH memakbulkan Doa Kita

Bagaimana cara Allah makbulkan doa kita?

Perkara ini memerlukan penjelasan yang tersirat.

Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu.

Tetapi di sisi Allah mempunyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.

Bagi menyingkap rahsia itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturrahim atau memohon disegerakan.

Maka sahabat berkata, ‘Ya Rasulullah, bagaimana doa minta segera itu?

Baginda bersabda, ‘Seorang itu berdoa, aku berdoa Tuhanku, maka perkenanlah segera’”

— Riwayat al-Tirmizi no 3968

Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dimakbulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan yang meliputi:

1. Doa Itu Dimakbulkan Serta-Merta

Kebanyakkan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dimakbulkan serta-merta.

Doa Rasulullah SAW menjelang perang Badar misalnya dikabulkan oleh Allah serta-merta.

Begitu juga doa Ibn Abbas r.a ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dasyat.

Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.

Begitu juga dengan cerita tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua, sepertimana yang diceritakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur.

Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah seorang mereka selesai berdoa.

Inilah bukti jaminan Allah melalui firmanNya:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.

— Surah al-Baqarah 2: 186


2. Allah Makbulkan Doa Pada Waktu Lain

Acapkali juga sesuatu doa walaupun baik, datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik — tetapi Allah tangguhkan ke waktu yang lain.

Hal ini demikian kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu.

Allah sengaja berbuat demikian untuk menguji hambaNya, sehingga seorang hamba itu telah bersedia untuk menerima nikmat-nikmat daripada Allah.

Misalnya, Allah mengurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu rasa syukur, supaya tidak akan menjadikannya kufur dengan kekayaan.

Allah kurniakan kekuasaan setelah dalam hati seseorang itu ada rasa tawadduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.

Jika tidak bersedia, dibimbangi nikmat itu boleh bertukar menjadi bala.

Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepadaNya.

Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberianNya kerana kasih sayangNya terhadap seseorang.


3. Dihindarkan Daripada Bahaya

Doa kita kadang-kadang dimakbulkan Allah dengan cara dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang.

Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan.

Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya.

Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.

Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar.

Mengapa?

Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain.

Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta.

Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik.

Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?

Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firmanNya:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Surah al-Baqarah ayat 216


4. Allah Berikan Sesuatu Yang Lebih Baik Di Akhirat

Hidup di dunia cuma sementara.

Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.

Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Surah al-A’laa ayat 17

Sebagai perbandingan:

Sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia.

Mengapa?

Hal ini demikian kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia.

Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.

Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, doa itu akan dikabulkan diakhirat kelak, InsyaaAllah.

Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi.

Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat.

Kekayaan di akhirat bererti syurga.

Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa.

Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan berterus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.

Banyak doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya adalah untuk hari akhirat.

Doa minta dimatikan dalam iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan tidak ditempatkan bersama-sama orang yang zalim.


5. Kifarat Kepada Dosa-Dosa

Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan.

Dosa ialah pendinding daripada mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah.

Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat.

Malah untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.

Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya?

Bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari?

Itu lebih sukar diatasi.

Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya?

Maka disinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT.

Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah SWT.

Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangiNya.

Tanda Allah sayang kepadanya adalah dengan mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun.

Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Pengampun) Allah SWT.

Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hambaNya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.

 

Penutup: Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat

Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dimakbulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengar dan seterusnya diperkenankan oleh Allah SWT.

Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

— Surah Ibrahim ayat 7

Yang paling utama ialah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah SWT.

Terapi Jiwa: Mencapai Bahagia Dalam Satu Minggu

Terapi Jiwa: Mencapai Bahagia Dalam Satu Minggu

Sumber : https://akuislam.com/blog/produktiviti/terapi-mencapai-bahagia/

 

Tidak dinafikan, kita semua mahu bahagia. Gembira.

Ada orang, untuk mencapai bahagia itu sangat mudah.

Untuk sesetengah orang lain pula,  perkataan ‘bahagia’ adalah satu perkara yang sukar dicapai dalam hidup.

Tidak semua jalan-jalan dalam kehidupan itu mudah.

 

Apakah Itu Makna Bahagia?

Bila kita mula memahami apa itu kebahagiaan, pasti akan mula akan merasakan ketenangan dalam hidup.

Bahagia – adalah satu perasaan dimana kita ‘dapat’ merasa bersyukur apabila berada di dalam satu rahmat dalam detik-detik yang baik, dan bersabar dalam masa yang sukar.

Ia adalah satu kemahiran dan kekuatan yang boleh kita bina.

Dalam artikel ini saya akan tuliskan satu terapi untuk anda lakukan.

Berminat?

Mari saya tunjukkan:


1. Sentiasa membahagiakan orang lain

Mungkin kita tidak mampu membahagiakan orang lain dengan harta benda.

Tetapi kita boleh membahagiakan orang lain setidak-tidaknya dengan sikap kita.

Apabila anda melihat orang lain sedang melakukan sesuatu perkara yang baik, seperti bersenam, berkebun, atau sedang mendapat sesuatu yang baik – amalkan untuk mendoakan mereka dari dalam hati anda.

Ucapkan dalam hati anda benda-benda yang baik, seperti, “Seronok melihat kamu menjaga kesihatan” atau “Saya turut gembira melihat kamu bahagia”.

Senyum kepada mereka dan ucapkan “alhamdulillah..”


2. Amalkan kata-kata baik untuk diri sendiri

Kita semua mempunyai masalah bercakap buruk terhadap diri sendiri.

Perkara ini sebenarnya memberi kesan yang mendalam perasaan kita, terhadap apa yang kita rasakan.

Self-critic memang boleh, tetapi jangan selalu. Apabila perasaan kita mula menjatuhkan diri sendiri, patahkan ia awal-awal.

Apabila kita mula rasa teruk dan, cuba tukarkan fikiran kepada pemikiran yang positif dengan memikirkan apa yang anda suka tentang diri sendiri.


3. Amalkan perkataan baik dengan orang lain

terapi-mencapai-bahagiaMungkin kita rasa benda biasa untuk bercakap secara sindiran (sarcasm), ayat sentap, mengolok orang lain.

Memang seronok untuk sekejap untuk mengenakan orang lain, tapi tak lama.

Malah, sedar tak sedar, semua perkara yang kita lakukan ini terhadap orang lain adalah racun terhadap jiwa kita sendiri.

Bila anda mendapati diri anda cuba melakukan perkara ini, ambil nafas dalam-dalam dan tahanlah diri anda. Istigfar adalah terapi terbaik untuk menurun ‘nafsu’.

Bila anda berjaya menahan diri dari berbuat demikian, anda pasti bersyukur kemudian hari nanti.


4. Rehatkan diri

Kita sekarang sedang hidup di dunia yang bergerak lebih pantas dari sebelumnya.

Maka tidak hairan kita selalu mengalami keletihan dan stress.

Oleh penting untuk merehatkan diri kita beberapa kali dalam sehari. Ambil nafas segar dalam-dalam, mandi, tidur dan regangkan badan untuk merehatkan otot-otot yang segar.

Amalkan perkara ini.

Pasti anda akan terkejut dengan kesannya terhadap diri anda.

Antara terapi paling mudah untuk merehatkan badan sambil menjana kembali tenaga adalah dengan solat.

Ramai yang mengambil remeh soal solat bukan? Hmm.

Mulai hari ini, mulakan untuk solat di setiap awal waktu. Jangan lupa doa.

kadang-kadang ada masanya dalam hidup ni kita rasa semua serba tak kena.

Tapi kita selalu lupa mungkin itu adalah cara Allah untuk membawa kita kepadanya.


6. Jarakkan diri dari mereka yang suka menjatuhkan anda

Tiada teman lebih baik daripada dikelilingi oleh teman yang salah.

Jangan risaukan sangat tentang orang-orang yang tak pernah ambil kisah tentang anda.

Hargai nilai diri anda sendiri. Jika anda membiarkan diri dipermainkan oleh mereka yang tidak menghormati anda, anda yang rugi.

Kawan yang baik dalam hidup, seharusnya memberi motivasi, inspirasi dan menghormati anda.

Orang-orang disekitar seharusnya memahami dan membantu. Jaga perkara ini.

Selalu pilih kualiti berbanding kuantiti.


 

Panduan Ringkas Mengenai Terapi Mencapai Bahagia Ini:

Proses terapi ini tidak akan mengambil banyak masa untuk menyuntik ‘dos kebahagiaan’ dalam kehidupan seharian anda..

.. tetapi ia memerlukan sedikit ketekunan.

Amalkan perkara ini untuk satu minggu.

Buat setiap perkara yang dinyatakan dan cuba untuk fokus satu persatu setiap hari.

Selepas satu minggu, cuba rasai perubahan yang berlaku.

Semoga berjaya!

7 Tabiat Muslim Yang Produktif

7  Tabiat Muslim Yang Produktif

Sumber : https://akuislam.com/blog/produktiviti/tabiat-muslim-yang-produktif/

Bagaimana untuk menjadi seorang yang produktif?

Sebenarnya, sedar atau tidak sedar, Islam adalah agama yang menganjurkan kepada produktiviti.

Untuk menjadi hamba yang soleh, kita perlu menjadi hamba yang produktif.

Bukan sahaja daripada soal fizikal dan sosial, bahkan secara kerohanian.

Bagaimana caranya?

Cuba bina tujuh aktiviti yang produktif ini secara spiritual menjadi tabiat, yang mana saya anggap sebagai kehidupan spiritualiti dalam mana-mana muslim yang produktif.

Untuk membinanya supaya menjadi tabiat merupakan intipati kepada memulakan perjalanan iman kita, insyaaAllah.

Ambil perhatian bahawa tujuh tabiat ini merupakan perbuatan ibadah secara sukarela, namun sangat memberi impak dalam kehidupan kita.

 

Tujuh Tabiat Muslim Yang Produktif Adalah:

Tabiat yang dibina secara konsisten akan menentukan sama ada kita hidup dengan hebat atau secara biasa-biasa sahaja (jika tidak, hidup yang gagal)

Malangnya jalan singkat untuk menyelesaikan masalah kita.

Produktiviti adalah sebuah proses.

Tabiat yang kita buat setiap hari yang membantu kita menjadi produktif.

Antara tabiat muslim yang produktif adalah:


1. Solat Sunat

Saya tahu adalah lebih senang untuk solat fardhu sahaja dan bergegas keluar dari masjid.

Namun, jika kita menyedari ganjaran yang kita terlepas akibat tidak melaksanakan solat sunat, kita pasti tidak akan meninggalkannya.

Selama bertahun-tahun ini, saya telah mempelajari bahawa hanya SATU cara untuk memastikan kita sentiasa solat sunat; Jadikan ia tabiat!

Ia akan menjadi sebahagian daripada solat wajib kita dan terasa solat kita tidak akan lengkap tanpa solat sunat ini.


2. Mengingati Allah Selepas Solat

Sekali lagi, sangatlah senang untuk bergegas keluar selepas solat dek kerana kehidupan kita yang sibuk.

Namun jika kita jujur, tanyakan soalan, berapa lama masa yang diambil untuk membaca zikir selepas solat?

(jawapannya hanya 5 hingga 7 minit sahaja)

Jadikan berzikir sebagai tabiat harian dan kayakan pengalaman solat kita.


3. Zikir Pagi dan Petang

Langkah 2 juga terdapat dalam tabiat ini.

Terdapat suatu rangkaian doa dalam sunnah Rasulullah SAW dimana baginda selalu lakukan sebelum terbit dan selepas terbenamnya matahari.

Zikir-zikir ini menjadi suatu kelegaan daripada tekanan dan menjadi perangsang tenaga yang tidak pernah gagal melengkapkan hari saya.

Dan menjadikan saya terasa diberkati.


4. Solat Malam

Alhamdulillah, kita ada solat terawikh untuk dihadiri ketika bulan Ramadhan.

Namun, terdapat banyak peluang untuk mendapatkan ganjaran solat malam diluar bulan ini.

Jika kita baru belajar solat malam atau kita tidak solat malam sepanjang tahun, cuba kita buat solat pada setiap malam secara berjemaah di masjid (terutamanya para lelaki), dan jangan berikan diri kita sebarang alasan.

Seterusnya, bina tabiat solat tahajud dan teruskan solat selama 30 hari.

Ia akan mengukuhkan ‘kaki’ kita untuk terus melakukannya sepanjang tahun, insyaaAllah.


5. Solat Dhuha

Ini satu rahsia terbesar seorang muslim produktif untuk suatu hari yang produktif.

Dua rakaat yang dikenali sebagai solat dhuha yang boleh kita laksanakan pada sebarang waktu selepas matahari terbit dan sebelum matahari sampai ke kemuncaknya (sekitar 30 minit sebelum waktu Zuhur).

Ganjaran solat ini sama seperti membuat kebajikan kepada setiap tulang dalam tubuh kita dan tenaga yang akan kita rasakan hari itu adalah sangat mengagumkan.

Saya biasanya melakukan solat ini pada waktu spesifik, contohnya 10.00 pagi atau sebelum pergi bermesyuarat pada pertengahan pagi.


6. Doa Sebelum Tidur

kita telah melalui hari yang panjang dan kita amat letih.

Kita panjat katil.. tapi tunggu!

Sebelum kita berbuat sedemikian, mungkin kita boleh berikan masa 10 minit lagi kepada diri kita untuk membaca doa sebelum melelapkan mata? Itu sahaja

Cubalah dan kita akan mendapat tidur yang baik dan kita akan senang untuk bangun solat Subuh, InsyaaAllah.


7. Baca 30 minit al-Quran Setiap Hari

Perhatikan saya tidak mengatakan satu juzuk atau surah.

Jumlah ayat al-Quran yang kita baca tidak sepenting kualiti pemahaman kita terhadap al-Quran.

Jika kita meluangkan masa 30 minit membaca satu ayat dan memahami sepenuhnya, ia lebih bermanfaat daripada membaca banyak ayat al-Quran dengan laju tetapi tidak memahami satu apa pun.


 

Kesimpulan

Inilah tujuh tabiat muslim yang produktif yang kita boleh bina sepanjang tahun bermula HARI INI.

Semakin banyak kita mengamalkan nilai Islam, semakin banyak kebolehan dan kecemerlangan manusia yang dapat kita cungkil.

Ia merangsang produktiviti kita dan yang paling penting, mengekalkan kehormatan kita sebagai insan.

Semoga panduan ini membantu anda menjadi muslim yang lebih baik!

Zikir Pembuka Rezeki Amalan Rasulullah Yang Paling Mustajab

Memperbanyak membaca – La Hawla Wala Quwwata Illa Billah

Maksud: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan – La hawla Wala Quwwata Illa billah. (HR. At-Tabrani)

 Membaca – Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Adziim

Maksud: Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.
Dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah Ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu. (HR. Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)

Memperbanyak selawat ke atas Nabi

Dari Umar bin Khattab dari Nabi Muhammad SAW bersabda: Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali selawat maka Allah akan membalas sepuluh kali selawat dan mengangkatnya sepuluh darjat.
(Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Ibnu Abu Syaibah…al-Bazzar….Ibnu Syahiin dan al-Ismaili dengan sanad ma’lul)

Melazimkan beristighfar

Barangsiapa melazimkan beristighfar nescaya Allah akan mengeluarkan dia dari segala kesusahan dan memberikan rezeki dari arah yang tidak pernah diduga. (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah)

Membaca Surah Al-Ikhlas

Membaca – La Ilaha Ilallah Al Malikul Haqqul Mubin

 Maksud: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah yang Maha Benar lagi Maha Nyata.
Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illalla al malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut dalam kubur. (HR. Abu Nu’aim dan Ad Dailami)

Membaca Surah Al-Waqi’ah

Barangsiapa membaca Surah Al-Waqi’ah setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup. (HR. Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)