Cuti Tahun 2021

Takwin BYOD

Tarikh Gaji 2021

UTM Synergy 4.0 Part 2

UTM Synergy 4.0 Part 1

UTM Synergy 4.0

Cuti Panjang Tahun 2020

Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2020

UCAPAN TAHUN BARU 2019 – DATUK NC UTM

UCAPAN TAHUN BARU 2019 – PROF. DATUK IR. DR WAHID BIN OMAR

 

WAHID OMAR drwahid@utm.my

Mon. Dec 31, 2018, 10:57 PM (10 hours ago)

 

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera kepada semua.

Kepada seluruh warga UTM, saya mendoakan semuanya dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keceriaan, dan menatijahkan rasa kesyukuran mendalam, justeru mengingatkan kita akan amanah yang akan diperkirakan bila tiba waktunya nanti. Amanah ini bukan semata-mata meletakkan UTM satu-satunya entiti yang akan diperkirakan, tetapi seluruh ruang lingkup tanggungjawab kita sebagai insan yang diberikan peluang, ruang dan keupayaan untuk memakmurkan dan mensejahterakan alam ini.

Menjadi kebiasaan, tahun baharu disambut seolah-olah pahit manis semalam dilupakan dan esok segala-galanya indah. Kita sewajarnya berfikiran berbeza daripada kebanyakan orang dalam menilai dan mempergunakan waktu. Waktu adalah amanah dan pertanggungjawaban yang perlu diuruskan dengan kaedah berbeza. Jika dinilai secara jujur menggunakan kayu ukur amanah dan pertanggungjawaban mungkin ramai dari kita yang tidak berupaya untuk mengukir senyum  malah mungkin resah dengan perginya tahun 2018 dan datangnya tahun baru 2019.

Kita melangkah lagi ke tahun baru 2019. Satu lagi kesempatan waktu dan ruang diberikan kepada kita untuk meneruskan visi dan misi kehidupan yang perlu dilaksanakan secara holistik yang merangkumi tanggungjawab kepada diri, keluarga, UTM sebagai organisasi yang kita dukungi dan komuniti. Penghujung dan permulaan tahun adalah satu titik noktah yang baik bagi kita menilai perjalanan hidup dan penghasilan. Seharusnya setiap pusingan jam, hari, minggu dan bulan menjadi  amalan untuk bermuhasabah secara berterusan. Malah idealnya setiap kali denyutan nadi, terdetik juga pertanyaan kepada diri sendiri apakah yang kita lakukan mengisi ruang waktu yang dianugerahkan dan bersediakah kita dengan soalan pertanggungjawaban yang bakal dijawab nanti.

Sebagai warga UTM, salah satu amanah yang kita perlu laksanakan ialah bersama bergandingan bahu memperjuangkan visi dan misi UTM. Ketentuan Ilahi meletakkan kita menjalankan amanah di UTM dan rezeki kita di sini. Ketika kita meninggalkan tahun 2018 dan melangkah ke tahun 2019, saya ingin mengajak semua warga UTM bermuhasabah, menilai pencapaian kita dan memikirkan apakah kekurangan dan kelemahan serta mencari kaedah bagi menambahbaik pencapaian pada tahun 2019. Tahun 2019 seharusnya lebih baik dari tahun 2018.

Tidak perlu untuk diperincikan apakah kejayaan mahupun yang belum kita capai pada tahun 2018. Segala perincian sentiasa dikongsi bersama warga UTM. Secara keseluruhan UTM menempa banyak kejayaan sepanjang tahun 2018 walaupun melalui pelbagai cabaran. Namun ada yang belum mampu kita capai, tetapi itu bukan bermakna kita gagal. Kita berjaya menimba pengalaman berharga untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih bijaksana, bersinergi, meletakkan keutamaan dan perlu juga menggugurkan agenda yang tidak penting. Apa yang diperlukan ialah usaha berterusan yang lebih gigih dan ikhlas untuk melayakkan kita menikmati kejayaan. Inilah peluang yang perlu kita rebut dengan kesempatan yang diberikan apabila melangkah masuk ke tahun 2019.

Marilah kita berazam, berusaha sebaik-baiknya, berdoa, dan bertawakkal agar seluruh warga UTM, dikurniakan rahmat dan keberkatan, kesihatan dan kesejahteraan, keakraban dan semangat kekeluargaan, dan dengan rasa penuh tanggungjawab dan keikhlasan untuk terus gagah melangkah mencipta lebih banyak kejayaan dengan izinNya jua. Semuanya kita lakukan demi menjunjung visi dan misi UTM dan moto ‘Kerana Tuhan untuk Manusia.

Salam hormat, salam tahun baru dan mohon kemaafan atas apa jua salah silap dan kelemahan saya dan juga pasukan pengurusan UTM sepanjang tahun 2018.

Selamat Tahun Bahru 2019!

Sekian, wassalam.

Terima kasih.

 

Saya yang menjalankan amanah,

Wahid Omar

UTM

31 Disember 2018

23 Rabiul Akhir 1440H

Manual Audit

MANUAL

UNIT AUDIT DALAM UTM

Manual Audit