Jangan ambil mudah soal kesihatan terutama jika anda menghidap asma atau lelah.
Tinjauan yang dijalankan oleh Realise Asia mendapati sembilan daripada 10 penghidap asma percaya penyakit mereka dapat dikawal di sebalik gejala yang berterusan dan serangan asma.
Hasil tinjauan yang ditaja Mundipharma Pharmaceuticals menunjukkan bahawa 93 peratus daripada 151 responden Malaysia tidak menganggap penyakit asma mereka itu serius.
Sementara itu, 79 peratus pula percaya mereka boleh mengawal penyakit mereka tanpa bantuan doktor dan separuh daripada responden memberitahu mereka tidak seronok menggunakan alat sedutan atau “inhaler.”
Sebagai tambahan kepada hasil tinjauan itu, 41 peratus tidak merasa penting untuk mengambil ubat secara kerap memandangkan mereka tidak mengalami gejala atau serangan asma.
Bagaimanapun, di sebalik tanggapan positif responden, 92 peratus daripada mereka masih mengalami pelbagai gejala yang membimbangkan termasuk sesak nafas, batuk dan sakit dada.
Seramai 62 peratus mengalami masalah susah tidur akibat gejala asma yang berlaku pada waktu malam yang memerlukan rawatan dan 40 peratus memerlukan rawatan kecemasan di hospital.
Apabila keadaan ini berlaku, dua pertiga daripada responden terpaksa tidak hadir ke sekolah atau ke pejabat sekurang-kurangnya sehari sementara seperlima responden memerlukan rehat seminggu.
Hasil tinjauan ini menunjukkan sekiranya penyakit asma tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang serta kegiatan hariannya.
Sikap ambil mudah
Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Pengarah Institut Perubatan Pernafasan juga Pakar Perunding Kanan Dada, percaya keadaan yang membimbangkan ini mungkin boleh dikaitkan dengan sikap ambil mudah rakyat Malaysia.
“Walaupun sedang sakit bila kita tanya, ‘pak cik apa khabar’ mereka akan jawab, ‘baik’,” kata Abdul Razak sambil menambah pesakit-pesakitnya sering memandang ringan keseriusan penyakit asma mereka.
Bercakap kepada para pemberita di Majlis Taklimat Media Tinjauan Realise Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata pesakit yang percaya asma mereka dapat dikawal berkemungkinan besar tidak mengambil ubat yang mungkin dapat mencegah serangan teruk asma.
Mereka juga, katanya, mungkin tidak akan mengendahkan gejala serangan asma.
“Pesakit asma perlu belajar mengurus keadaan diri mereka dengan lebih lagi agar dapat menyumbang kepada mutu kehidupan mereka.
“Penting juga untuk pesakit berbincang dengan doktor mengenai langkah mengawal asma,” katanya.
Bila asma menyerang
Asma atau lelah adalah penyakit saluran udara jangka panjang yang kronik. Ia boleh menyebabkan nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada dan batuk.
Ciri utama penyakit ini ialah pencerutan saluran udara dalam paru-paru yang berpunca daripada inflamasi dan menyebabkan pesakit sukar bernafas.
Batuk yang berterusan tanpa demam, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi adalah tanda kuat asma.
Tidak seperti penyakit alahan seperti rinitis dan ekzema, asma berkait dengan faktor genetik dan alam sekitar.
Antara punca yang menyebabkan serangan asma termasuk alergen seperti habuk, bulu haiwan, lipas dan debunga.
Punca lain berkaitan dengan asap rokok serta kimia di samping perubatan, seperti contoh aspirin serta kegiatan fizikal.
Sekiranya tidak dirawat, gejala mungkin menjadi lebih teruk dan menjadi lebih rumit untuk dikawal.
Pesakit juga berdepan dengan risiko sakit mendadak, terpaksa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.
Asma dianggap isu kesihatan awam serius dan melibatkan lebih 70 juta orang di Asia dan angka ini semakin meningkat.
Antara pilihan untuk mengurus asma ialah dengan penggunaan alat sedutan pengawal dan alat sedutan penahan.
Alat sedutan pengawal biasanya digunakan dua kali sehari untuk mencegah gejala serta membantu inflamasi dalam saluran udara.
Sementara itu, alat sedutan penahan berfungsi untuk melega dan meluaskan otot saluran udara tetapi bukan untuk inflamasi.
Kekeliruan perubatan
Menurut Abdul Razak, ramai yang menderita asma tidak menguruskan penyakit mereka secara berkesan kerana kekurangan ilmu dan masalah kewangan.
Beliau menekankan pendidikan adalah penting untuk menyekat masalah ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk doktor.
“Doktor juga perlu belajar bagaimana untuk menangani pesakit asma serta menyakinkan mereka bahawa penyakit ini adalah untuk sepanjang hayat dan memerlukan perubatan berterusan.
“Jika tidak, pesakit mungkin akan mengambil ubat untuk tempoh tertentu sahaja sebelum berhenti,” katanya.
Dari segi kewangan, beliau menekankan bahawa klinik kerajaan menyediakan perubatan asma dengan kos amat minimum.
Bagaimanapun, ramai yang lebih suka pergi ke klinik swasta kerana mahukan perkhidmatan yang cepat.
“Tetapi apabila mendengar harga ubat di sana, mereka akan kata mahal dan akhirnya enggan untuk membelinya,” tambah beliau.
Satu lagi isu ialah salah tanggapan orang ramai berhubung penggunaan steroid atau ‘corticosteroids’ dalam perubatan asma.
“Jumlah steroid yang digunakan dalam alat sedutan adalah dos paling minimum. Ia adalah sedikit berbanding ubat batuk biasa, jadi kesan sampingannya kurang.
“Steroid amat berkesan untuk merawat banyak penyakit yang menyebabkan keradangan bukan sahaja asma dan perlu diambil apabila perlu, ” jelas Abdul Razak.
Recent Comments