Dalam kehidupan seorang muslim, antara sifat yang mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah.
Amanah adalah sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang atau pihak tertentu terhadap satu perkara seperti pekerjaan, perniagaan dan sebagainya. Islam menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah.
Amanah bukan sekadar membawa maksud untuk bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan.
Kehadiran anak dalam sebuah rumah tangga merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. Namun, pada ketika ini sesetengah masyarakat tidak mensyukuri kurniaan Allah dengan melakukan tindakan seperi membuang, membunuh dan mendera anak.
Hal pembuangan anak ini berpunca daripada permasalahan sosial dalam kalangan pasangan yang melakukan hubungan luar nikah yang khuatir perilaku mereka diketahui dan mengelak dari malu sehingga sanggup melakukan perilaku kejam. Ada juga sesetengahnya sanggup melakukan tindakan kejam kerana tidak sanggup menyara kehidupan anak itu akibat kewangan.
Manusia seperti inilah golongan yang tidak tahu mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai.
Setiap anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapanya bukan untuk diperlakukan tanpa belas kasihan dan berperikemanusiaan.
Lahirnya seorang anak bukanlah satu bebanan malah sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa. Kehadiran anak merupakan penawar kepada ibu bapa ketika sudah tua. Segalanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terhadap anak-anak termasuk didikan agama dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan Allah kepada mereka dengan sebaiknya.
Justeru, ibu bapa wajib menjaga anak mereka dengan selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, di samping sentiasa bersyukur dengan kehadiran anak di dalam keluarga.
Recent Comments