Asma

Pengenalan

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Semasa serangan asma, pesakit mungkin mengalami ‘wheezing’ (bunyi bersiul apabila sedang bernafas), kesesakan dada, sesak nafas dan batuk. Batuk yang sering berlaku adalah pada waktu malam atau awal pagi. Asma boleh menjadi penyakit yang mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Bagaimana asma berlaku

Walaupun tiada sebab yang khusus diketahui untuk penyakit asma, semua penghidap mempunyai persamaan yang sama iaitu keradangan saluran pernafasan yang kronik. Saluran pernafasan mereka adalah sangat sensitif kepada pelbagai sebab. Jika terdapat faktor yang boleh menyebabkan asma berlaku, saluran pernafasan akan menjadi radang (saluran pernafasan mengandungi lendir, bengkak, dan sempit). Seterusnya otot yang berhubung dengan saluran pernafasan ini menjadi lebih sempit daripada biasa. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas dan boleh menyebabkan serangan asma.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan asma berlaku

Penting untuk menyedari perkara-perkara dalam persekitaran anda yang cenderung untuk membuat asma menjadi lebih teruk. Faktor-faktor ini berbeza untuk setiap individu. Perkara yang menyebabkan berlakunya asma adalah seperti berikut:

  • Jangkitan pernafasan dan selsema
  • Pendedahan kepada asap rokok
  • Reaksi alahan atau alergi kepada debunga, kulat, bulu haiwan, bulu, habuk, makanan, dan lipas
  • Pencemaran udara dalaman dan luaran, termasuk ozon dan pencemaran zarah
  • Pendedahan kepada udara sejuk atau perubahan suhu secara tiba-tiba
  • Tekanan (stress)
  • Latihan (senaman)
  • Ubat-ubatan termasuk aspirin dan ubatan anti-radang bukan steroid seperti asid mefenamic (ponstan) atau ibuprofen

Tindakan yang perlu diambil jika menghidapi asma

Jika seseorang menghidapi asma, dia perlu mengikuti pelan tindakan doktor sebagai langkah berjaga-jaga untuk bersedia menghadapi ancaman serangan asma. Sesiapa yang merasakan boleh berada di dalam kesukaran untuk bernafas atau sesak nafas akut hendaklah segera mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan. Nasihat ini juga disarankan bagi penghidap asma yang merasakan keadaan mereka adalah lebih buruk/teruk daripada biasa atau tidak bertindak balas kepada rawatan yang biasa.

Adakah asma boleh sembuh?

Tidak, tetapi gejala-gejala asma dan serangan boleh bertambah baik dengan rawatan. Jika asma tidak dirawat, pesakit boleh mendapat asma yang lebih teruk dari masa ke masa. Ini boleh menyebabkan kerosakan di saluran udara yang kekal. Tujuan penjagaan asma adalah untuk mengelakkan serangan asma yang boleh memburukkan lagi keadaan pesakit.

Ubat-ubatan yang sesuai untuk pesakit asma

Terdapat dua jenis ubat-ubatan asma

  1. Ubat-ubatan pengawal – adalah untuk kawalan asma yang berterusan. Ubat-ubatan ini membantu mengurangkan keradangan ketika serangan asma. Ubat-ubat ini perlu diambil setiap hari sama ada seseorang mempunyai gejala atau tidak. Ubat pengawal termasuk kortikosteroid dihidu (jenis ubat utama) dan perencat leukotriene. Contoh ubat : Beclomethasone, Budesonide, Fluticasone .
  2. Ubat Penyelamat – diambil apabila tanda-tanda serangan asma bermula dan ia boleh menghentikan serangan tersebut.  Antara ubat yang digunakan termasuk beta-agonis dan anticholinergic. Contoh ubat: Salbutamol, Terbutaline, Fenoterol, Ipratropium bromide (Atrovent).

Bagi kedua-dua ubat pengawal dan ubat penyelamat di atas alat sedut adalah kaedah yang berkesan, dimana pesakit perlu mengendalikan alat sedut tersebut dengan betul supaya ubat tersebut boleh mencapai bahagian dalam paru-paru yang memerlukannya. Adalah penting untuk mempelajari penjagaan dan penggunaan alat sedut tersebut dengan betul.

Terdapat banyak jenis alat sedut (inhaler). Salah satunya adalah alat sedut dos bermeter (MDI). Cara penggunaan MDI sedut adalah:

  1. Duduk atau berdiri tegak
  2. Keluarkan penutupnya dari corong
  3. Letakkan alat sedut dengan jari telunjuk di bahagian atas tabung dan ibu jari di bahagian bawah
  4. Goncang alat sedut
  5. Tarik nafas sepenuhnya melalui mulut dan hembus nafas perlahan-lahan
  6. Letakkan pelekap mulut alat sedut di dalam mulut. Tutup bibir di sekitar corong dengan rapat. Dongakkan kepala sedikit ke belakang
  7. Mula untuk menarik nafas perlahan-lahan dan mendalam melalui corong dan pada masa yang sama tekan ke bawah pada tabung alat sedut dengan jari telunjuk
  8. Terus tarik nafas dalam dan dengan perlahan-lahan tahan nafas selama 5 hingga 10 saat (mengikut kemampuan)
  9. Keluarkan alat sedut dari mulut dan hembus nafas perlahan-lahan melalui hidung tanpa membuka mulut
  10. Tunggu 1 minit sebelum mengulangi dos kedua
  11. Gantikan penutup selepas digunakan
  12. Bilas mulut selepas menggunakan steroid yang telah disedut

Pencegahan asma

Serangan asma tidak dapat dielakkan, tetapi asma boleh dicegah.

  • Elakkan faktor penyebab sebanyak mungkin
  • Ambil ubat-ubatan seperti yang disyorkan
  • Orang yang mempunyai alahan luaran harus mengelakkan aktiviti luar apabila bacaan indeks pencemaran adalah tinggi/tidak sihat.
  • Senaman juga boleh menyebabkan berlakunya asma. Beberapa perkara boleh membantu seperti menjalankan aktiviti pemanasan (warming up) sebelum memulakan aktiviti dan secara beransur-ansur melakukan penyejukan badan selepas bersenam. Elakkan bersenam semasa jangkitan saluran pernafasan serta elakkan senaman dalam cuaca yang sangat sejuk.