Ciri-Ciri Wanita Dan Isteri Solehah Yang Disebutkan Allah

Wanita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT. Dalam ajaran Islam wanita mempunyai kedudukan yang sangat baik. Islam sangat mengawasi maruah dan martabat seorang wanita. Wanita yang dimuliakan dalam Islam adalah wanita yang solehah tetapi siapakah yang dikatakan wanita solehah?

Bagaimana pula untuk kita mengenali ciri-ciri wanita dan isteri solehah tersebut?

Firman Allah SWT:

“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.”
– Surah An-Nisa: 34

Berdasarkan firman tersebut, ciri-ciri utama seorang wanita atau isteri yang solehah adalah wanita yang mentaati Penciptanya dan mematuhi suaminya dengan memelihara kehormatan diri sewaktu ketiadaan suami.

Oleh yang demikian ciri seorang wanita solehah itu haruslah yang memelihara maruah suaminya iaitu wanita menjaga diri serta harta suaminya. Selain dari itu, apakah lagi ciri-ciri wanita solehah ini? Ada satu cerita semasa berlakunya permasalahan di antara Rasulullah SAW dengan para isteri Baginda, sehingga Baginda bersumpah untuk tidak mencampuri mereka selama sebulan.

Lalu Allah SWT berfirman;

“Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, Muslimat, Mukminat, Qanitat, Taibat, Abidat, Saihat dari kalangan janda ataupun gadis.”
– Surah At-Tahrim: 5

Berpandukan firman tersebut disenaraikan beberapa ciri wanita dan isteri solehah yang disebutkan oleh Allah:

1. Muslimat
Wanita-wanita yang ikhlas kepada Allah SWT dengan tunduk kepada perintahNya dan suruhan RasulNya.

2. Mukminat
Wanita-wanita yang mengakui perintah dan larangan Allah SWT.

3. Qanitat
Wanita-wanita yang taat kepada Allah.

4. Taibat
Wanita-wanita yang sentiasa bertaubat dari dosa-dosanya yang lampau dan kembali kepada perintah Rasulullah SAW walaupun harus meninggalkan segala kesenangan nafsu mereka.

5. Abidat
Wanita-wanita yang banyak melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan mentauhidkan dirinya.

6. Saihat
Wanita-wanita yang sering berpuasa tidak kira dari kalangan janda atau pun anak dara.

Sesungguhnya mana-mana wanita yang sentiasa melakukan segala suruhan dan meninggalkan setiap larangan Allah pasti akan ditempatkan dalam golongan wanita yang dirahmati dan diberkati.

Rasulullah SAW juga ada bersabda;

“Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Namun begitu, mencari wanita solehah itu bukanlah mudah. Diibaratkan seperti mencari sebutir permata di timbunan pasir, seakan sama tapi mungkin terpilih yang palsu. Wanita yang baik akan menjadi isteri yang solehah yang sama-sama membantu rumahtangga untuk menuju ke syurga.

Isteri yang yang bagaimana yang layak menghuni syurga?

Allah SWT berfirman:

“Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kalian yang menjadi penghuni surga iaitu isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: ‘Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda”
(Hadis Riwayat An-Nasai)

Berdasarkan firman tersebut dapat disimpulkan bahawa, ciri-ciri wanita dan isteri solehah adalah:

  1. Wanita yang mempunyai kasih sayang dan sentiasa mencari keredaan suaminya.
  2. Wanita yang melayani suaminya dengan cara yang paling terbaik (sedia berkhidmat kepada suami) dengan menyiapkan segala keperluannya.
  3. Wanita yang menjaga rahsia dan amanah suami,
  4. Wanita yang selalu berpenampilan menarik di hadapan suaminya sehingga akan menyenangkannya.
  5. Ketika bersama suaminya, wanita solehah itu tidak melakukan hal yang boleh menghalang suaminya untuk bermesra dengannya.
  6. Wanita yang sentiasa bersyukur akan segala kebaikan dan pemberian suami.

Seharusnya semua wanita mengambil berat akan sifat-sifat ini. Hal ini bukan sahaja menjamin kerukunan dan kebahagian sesebuah rumahtangga tetapi satu ukuran yang memberi saham seseorang wanita di alam sana nanti. Wanita yang solehah dan diredhai suaminya sudah tentu dijanjikan nikmat syurga yang abadi.

Jangan lupa juga bahawa anak-anak yang baik dan soleh juga bermula dari wanita yang solehah. Oleh itu, wahai kaum adam jadikanlah wanita yang mentaati agama itu sebagai pilihan utama berbanding kecantikan, keturunan serta hartanya. Carilah wanita yang elok agamanya sebagai isteri dan ibu kepada anakmu nescaya kamu akan perolehi keberuntungan.