“Perbanyakkanlah selawat ke atas Nabi”
Kerap didengari oleh kita semua. Mengapa perlu kita berselawat ke atas Nabi?
Pastinya setiap sunnah ada sebab atas suruhannya.
Mengapa Perlu Selawat Ke Atas Nabi
Selawat atau zikir adalah ibadah yang disyariatkan (masyru’) oleh agama Islam. Ada juga sekumpulan ulama menyatakan selawat adalah satu juzuk daripada zikir.
Oleh itulah Allah SWT menuntut kita untuk berselawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.
Selawat ke atas nabi adalah satu wasilah (jalan) untuk mendapatkan cinta Allah SWT.
Kedua-dua selawat dan zikir adalah tuntutan di dalam syarak kerana ada banyak dalil yang menyeru semua umat Islam untuk melaziminya.
Asal-Usul Zikir Dan Selawat
Selawat adalah daripada perkataan jama’ bagi solat yang bermaksud doa atau pujian.
Makna setiap selawat juga berbeza. Selawat Allah adalah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala.
Akhir sekali selawat orang mukmin ialah doa dan pengharapan agar Allah SWT melimpahkan rahmat, menambah kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Nabi Muhammad SAW.
Zikir pula dari segi bahasa membawa makna; mengingati.
Istilahnya, zikir ialah perkara yang dilakukan untuk mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang boleh dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.
Mengapa Perlu Berzikir Dan Berselawat?
Jawapannya mudah. Selawat dan zikir adalah sunnah yang memberikan pahala.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
al-Ahzab: 56
Tuntutannya dari al-Quran:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”
al-Ahzab: 41
Firman Allah SWT:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”
al-Insan: 25
Jangan lupa juga untuk berselawat setiap hari Jumaat seperti dianjurkan Nabi Muhammad SAW.
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.”
Riwayat al-Baihaqi (5995)
Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
Riwayat Muslim (384)
Kelebihan Zikir dan Selawat Ke Atas Nabi
Diampunkan Dosa, Diangkatkan Darjat
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, niscaya Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat.”
HR. An Nasa’i
Semudah berselawat, dosa akan terhapus. Sememangnya Allah sangat suka memberikan kemaafan sehingga ingin meminta maaf pencipta kita, cumalah dengan berselawat.
Dicukupkan Keperluan Mereka
Rasulullah bersabda:
إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ، وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ
Maksudnya: “Jika demikian, Allah akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.”
HR al-Tirmizi – dinilai Hasan
Jika ada yang merasakan tidak cukup dalam kehidupan tetapi masih meletakkan pengharapan kepada Allah SWT, berselawatlah.
Ini apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ubai.
Kadangkala kekurangan itu akan diisi dengan keberkatan rezeki yang lain seperti rakan atau sahabat yang membantu.
Doa Lebih Mudah Dimakbulkan
Sabda Rasulullah ﷺ:
كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” HR al-Tabrani
Awalkan atau akhirkan doa dengan membaca selawat atau zikir. Insya-Allah doa anda akan dimakbulkan.
Ingin tahu bagaimana doa dimakbulkan Allah?
Baca di sini: Bagaimanakah Allah Mengabulkan Doa Hambanya?
Yang pastinya, Allah akan memakbulkan doa yang diminta selagi doa itu yang sebaiknya untuk kita.
Dekat Dengan Nabi Pada Hari Kiamat
Sabda Rasulullah ﷺ:
أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً
Maksudnya: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.”
HR al-Tirmizi – dinilai Hasan
Pasti ada di antara kita inginkan untuk berada di samping Nabi SAW di akhirat. Jika sebelum ini kita tak pernah pun berjumpa dengan Nabi tetapi merindui junjungan kita, berselawatlah.
Mungkin bukan Nabi SAW sahaja yang kita akan ketemui. Tetapi tokoh Islam yang lain yang sama-sama berselawat kepada Nabi SAW.
Mudah bukan untuk mendapat keberkatan? Lakukan apa yang dianjurkan, jauhkan perkara yang salah. Jika terjebak dengan kesalahan, bertaubatlah kerana Allah SWT sangat sukakan taubat dan sangat suka memberi kemaafan.
Recent Comments