SAYYIDUL ISTIGHFAR

No photo description available.

Hadith Berkenaan Sayyidul Istighfar

Maksud Sayyidul Istighfar ialah Penghulu Segala Istighfar.

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. 

[Riwayat al-Bukhari (6306)]

Dijamin Syurga Untuk Pembaca Sayyidul Istighfar

Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.

Keutamaan Beristighfar

Istighfar dalam pengertian (Bahasa Arab: إستغفار) adalah memohon ampunan atas segala dosa yang dilakukan oleh seorang hamba dengan upaya untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan.

Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar.

Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. 

[Riwayat al-Bukhari (6307)]

Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Selain istighfar, jangan lupa untuk disertai dengan taubat nasuha.