Usaha, Doa dan Tawakal Kunci Kejayaan

Berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan, pasti Dia akan makbulkan. Baik atau buruk hasil sesuatu perbuatan yang sudah atau sedang kita laksanakan semuanya ditentukan Allah SWT.

Selepas berusaha, kita hanya perlu berserah sepenuhnya kepada Allah SWT bagi menentukan hasilnya. Namun, dalam kalangan umat Islam masih ada yang kurang memahami konsep doa dan tawakal sehingga menyekat usaha menangani sesuatu perkara yang dihadapi.

Dalam laporan akhbar ketika musim haji baru-baru ini, dipaparkan mengenai isu jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik, namun ada yang berhenti mengambil ubat dibekalkan doktor kerana mengharapkan makbulnya doa di Tanah Suci sehingga boleh menyembuhkan penyakit mereka.

Makkah memang bumi yang diberkati Allah dan doa yang dipohon pasti akan diperkenankan-Nya. Bagaimanapun, hakikat itu bukan hujah untuk meninggalkan usaha memulihkan penyakit kita.

Situasi kurang menyenangkan itu mendapat perhatian Ketua Unit Kesihatan Awam Tabung Haji (TH), Dr Suhaila Osman yang menyatakan salah faham mengenai konsep doa dan tawakal itu didapati masih berlaku dalam kalangan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, kes sedemikian dikesan hasil kunjungan dari bilik ke bilik yang dilakukan bertujuan memberi khidmat nasihat serta memantau jika ada jemaah yang memerlukan rawatan.

Itu adalah pandangan atau konsep doa yang salah. Jemaah yang ada penyakit perlu terus mengambil ubat dan tidak boleh menganggap penyakit itu boleh sembuh hanya dengan berdoa saja.

Sedangkan berdoa dan bertawakal tidak sama sekali menafikan usaha yang perlu dilakukan. Baginda SAW memberitahu dalam satu sabdanya yang bermaksud: “Tidaklah seseorang Muslim berdoa kepada Allah sesuatu doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan silaturahim, melainkan Allah akan memberi kepadanya menerusi satu daripada tiga cara iaitu diperkenankan apa yang dimintanya atau disimpan untuknya di akhirat kelak atau Dia menghindarkan daripadanya sesuatu keburukan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Lalu sahabat Baginda berkata: “Kalau begitu kita perbanyakkan berdoa!” Jawab Baginda, “Allah lebih banyak memberikan ganjarannya.”

Hadis memperkatakan berkenaan arahan berdoa kepada Allah itu sebenarnya bukan mahu membentuk seseorang Muslim berperibadi pasif tanpa berusaha.

Sebaliknya, arahan Baginda itu supaya umat Islam selalu berdoa kepada Allah. Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan meletakkan untuknya ubat kecuali satu penyakit iaitu tua.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kita perlu berusaha mengubati sesuatu penyakit yang ditanggung. Imam an-Nawawi menyatakan hadis Baginda SAW banyak mengisyaratkan supaya kita mendapatkan rawatan sekiranya ditimpa sakit.

Itulah juga pegangan Mazhab Imam Syafi’i, malah dipegang oleh kebanyakan ulama salaf dan keseluruhan ulama khalaf. Demikian juga dalam pengertian konsep bertawakal kepada Allah, masih ada ber-anggapan sempit dengan menyerahkan seluruh urusan kepada ketentuan Allah tanpa didahulukan dengan usaha.

Baginda SAW sendiri bersama sahabatnya mendahulukan usaha untuk mencapai sesuatu visi dan misi. Dalam peristiwa hijrah, adakah Baginda dan sahabatnya, Saidina Abu Bakar hanya menyerahkan bulat-bulat kepada ketentuan Allah tanpa berusaha dan membuat perancangan rapi?

Sebelum peristiwa hijrah itu, mereka melakukan pelan tindakan terlebih dahulu dengan menyusun atur strategi terbaik termasuk perincian risiko yang terpaksa dihadapi, namun doa dan tawakal tetap dijulang tinggi.

Ketika di dalam Gua Thur, Saidina Abu Bakar begitu cemas memikirkan keselamatan diri Rasulullah SAW apabila menyedari mereka berdua diancam musuh Musyrikin Makkah.

Dengan tenang, Baginda menyantuni sahabatnya dengan bersabda: “Jangan bersedih, Allah bersama kita.”

Kisah insan agung itu seharusnya menginsafkan kita bahawa perancangan teliti disusuli dengan doa penuh pengharapan serta sentiasa bertawakal sepenuhnya kepada Allah adalah faktor munculnya hasil yang baik.

Demikian juga dalam apa saja bidang kerja harian kita, perancangan, doa dan tawakal perlu sentiasa seiring. Jangan ditinggalkan salah satu daripada ‘tiga serangkai’ konsep penting itu.

Insya-Allah, berkat usaha berterusan doa dan tawakal, apa saja termasuk penyakit yang dihidapi atau kesulitan menghadapi sesuatu pekerjaan bakal meninggalkan impak positif kepada kita dengan izin-Nya.