Apabila anda memiliki kereta, anda akan menghabiskan banyak masa memandunya. Sebab itulah anda perlu menjaganya dengan baik agar ia boleh terus berfungsi tanpa sebarang masalah.
Bukan itu sahaja, kereta anda juga merupakan sebuah aset yang boleh anda tukarkan kepada wang tunai di masa hadapan atau semasa keadaan memerlukan. Jadi, untuk mengekalkan nilai jualan semula yang baik untuk kereta anda pada masa hadapan, penjagaan kereta yang baik memainkan peranan yang penting.
Berikut adalah beberapa tips yang dapat membantu anda menjaga kereta anda dan sebab anda perlu melakukannya.
Tips Penjagaan Kereta
Ikut Jadual Penyelenggaraan
Cara paling mudah untuk menjaga kereta anda adalah dengan mematuhi jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar kereta. Ia berfungsi sebagai pemeriksaan kesihatan berkala untuk kereta anda dan memandangkan ia dilakukan oleh pemeriksa yang terlatih.
Hal ini juga dapat membantu anda mengesan sebarang kerosakan dari awal dan dapat mengelak dari proses pembaikan yang tinggi kosnya, selain dari memanjangkan hayat kereta anda dengan memastikan ia berjalan dengan lancar.
Pastikan anda menyimpan rekod penyelenggaraan dan resit kerana ia akan membantu anda menjejaki komponen yang telah diubah dan komponen yang perlu diubah. Ini juga akan membantu membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dengan baik apabila anda mahu menjual kereta anda.
Periksa Paras Minyak & Cecair
Kereta anda bergantung kepada beberapa jenis minyak dan cecair seperti minyak enjin, cecair penyejuk, dan minyak brek untuk berfungsi dengan baik. Minyak dan cecair ini perlu diperiksa secara berkala untuk mengawasi sebarang kebocoran yang akan menyebabkan kerosakan pada enjin anda.
Jika terdapat kebocoran, mengenal pasti warna cecair yang bocor apabila anda melaporkannya kepada pusat servis atau mekanik anda dapat membantu menentukan dari mana ia datang. Ini juga akan membantu mempercepatkan proses pembaikan.
Basuh Kereta Selalu
Ini mungkin kedengaran seperti remeh tetapi menjaga kebersihan kereta anda adalah sangat penting. Bahagian luar kereta sentiasa terdedah kepada panas matahari, hujan lebat, angin berdebu, dan juga najis burung.
Elemen-elemen ini akan mengakibatkan kerosakan kepada badan dan cat kereta anda dan ia akan mengurangkan nilai jualan kereta anda secara drastik jika tidak ditangani. Mencuci kereta anda secara berjadual dapat membantu mengurangkan hakisan pada badan kereta dan juga mengekalkan warna cat kereta anda.
Untuk perlindungan yang lebih baik, hantar kereta anda untuk servis perincian di mana lapisan lilin akan disapu dan kereta akan dikilatkan secara profesional. Sekiranya ia kerap dilakukan, ia akan menjadi satu pelaburan yang berbaloi semasa anda menjual kereta anda di masa hadapan.
Jaga Tayar
Memandangkan tayar adalah komponen utama yang menghubungkan kereta anda dengan jalan raya, penting bagi anda untuk memeriksanya dengan kerap. Tekanan tayar kereta anda harus diperiksa secara berkala agar ia sentiasa berada di tahap yang disyorkan oleh pengedar kereta anda.
Anda juga boleh menjaga tayar kereta anda dengan menyilang tayar kereta anda agar jangka hayatnya lebih panjang. Ini penting kerana tayar kereta akan haus pada tahap yang berbeza bergantung kepada jenis kereta, kelajuan, serta jalan yang digunakan. Memandu dengan tayar yang sudah haus dan kurang tekanan angin adalah sangat berbahaya dan anda berisiko untuk terlibat dalam kemalangan.
Pastikan Lampu Kereta Berfungsi
Setelah beberapa tahun kereta dipandu, anda mungkin perasan bahawa lampu kereta anda sudah mulai malap, kusam, atau mungkin sudah tidak berfungsi dengan betul. Lampu yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk memastikan keselamatan anda di jalan raya kerana ia membolehkan anda dilihat oleh pemandu lain.
Jika anda perasan terdapat mentol lampu yang telah rosak atau terbakar, maklumkan segera kepada pusat servis atau mekanik anda untuk membaikinya. Tetapi pastikan anda menggunakan mentol yang betul supaya lampu anda tidak menyebabkan silau yang ketara bagi pemandu lain. Bagi lampu yang kusam dan kuning pula, ia boleh digilap agar kelihatan seperti baharu.
Artikel berkaitan: Nak Jual Kereta? 17.5 Perkara untuk Naikkan Nilai Kereta Anda
Sebab untuk Menjaga Kereta Anda
Nilai Jual Semula Terjaga
Semakin banyak anda menggunakan kereta anda, semakin banyak nilainya akan susut. Penjagaan kereta yang dilakukan secara berkala dapat membantu mengekalkan nilai jualan semula kereta anda jika anda ingin menjualnya pada masa hadapan.
Mengikuti jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar akan memastikan kereta anda terjaga dan sentiasa berfungsi dalam keadaan yang baik. Ia juga memberikan anda pengalaman memandu yang lancar.
Apabila tiba masanya untuk menjual kereta, dengan membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dan diselenggara dengan baik dapat memberi anda peluang untuk menetapkan harga jualan yang lebih baik.
Kurang Kos Pembaikan
Kerosakan yang tidak dijangka pasti akan menelan belanja yang banyak untuk dibaiki. Tetapi dengan pemeriksaan rutin, ia boleh dielakkan. Penyelenggaraan kereta secara berkala membolehkan anda mengesan dan membetulkan sebarang isu-isu kecil sebelum ia bertukar menjadi masalah besar yang mungkin akan memerlukan ribuan ringgit untuk dibaiki.
Selain itu, ia juga memastikan kereta anda setiasa berfungsi dalam keadaan yang optimum dan kosnya juga jauh lebih rendah dari membaiki kerosakan besar dengan kereta anda.
Jangan lupa untuk menyimpan buku rekod dan resit penyelenggaraan dengan baik kerana ia merupakan bukti yang dapat membantu anda untuk mendapatkan harga jualan yang lebih baik untuk kereta anda.
Jaminan Keselamatan
Sebab utama anda perlu menjaga kereta anda adalah untuk memastikan ia selamat untuk dipandu. Penyelenggaraan yang kerap akan memastikan semua komponen kereta anda berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan yang elok pada setiap masa.
Anda dan keluarga anda menghabiskan banyak masa di dalam kereta, jadi kereta yang diselenggara dengan baik adalah penting untuk membolehkan anda memandu dengan tenang, sama ada untuk perjalanan yang singkat atau yang jauh.
Recent Comments