Impian Anda

udreamr | 15 AMAZING Vision Board Example Ideas for 2023

Kadang-kadang, kita merasakan yang impian atau cita-cita tak perlu ditulis. Cukuplah sekadar teringat-ingat dalam kepala. Tapi sebenarnya kita silap. Bila kita tulis impian kita, kesannya cukup berbeza.

Bila kita hanya teringat-ingat dalam kepala, seolah-olah kita hanya berangan-angan seperti Mat Jenin. Tetapi jika kita mula menulis, seolah-olah kita sudah ada dan tetapkan hala tuju untuk diri kita sampai ke satu destinasi yang diimpikan.

Ketika di sekolah rendah, kita selalu tulis cita-cita dalam biodata kita. Kita sering bertukar-tukar biodata dengan kawan-kawan dan kita mesti tulis cita-cita kita. Tiap-tiap tahun kita berdiri di dalam kelas, perkenalkan diri dan beritahu satu kelas cita-cita kita. Amalan ini ditinggalkan apabila kaki melangkah ke sekolah menengah, universiti dan ke alam pekerjaan. Dan akhirnya kita sendiri lupa apa hala tuju sebenar kita masa di bangku sekolah dulu.

Dan akhirnya kita kecewa dengan kehidupan kita sekarang yang kita sendiri bina tanpa hala tuju.

Perkara ni mungkin nampak macam tak ada apa-apa dan tak lebih dari sekadar sehelai kertas dan sebatang pen, tetapi sebenarnya ia sedang “bekerja” tanpa kita sedari. Kalau kita belajar metafizik atau membaca buku Think and Grow Rich, Napoleon Hill ada menerangkan tentang bagaimana menanam satu idea tu mampu mengubah hidup seseorang.

TULIS SEKARANG IMPIAN ANDA, BINA VISION BOARD ANDA!

Dah nak masuk tahun 2023 jadi tulis saja impian-impian anda untuk tahun depan. Beli rumah? Bercuti? Senaraikan saja impian-impian anda. Menulis impian ini percuma dan tak ada siapa pun marah.

Antara tips untuk menulis impian; Untuk impian jangka masa pendek, pastikan sumber atau jalan untuk capai impian sudah 50% terbentang, supaya kita ada motivasi untuk terus mengejar impian. Contohnya, kalau kita nak beli rumah tahun depan, pastikan sekarang kita dah siap-siap sudah ada duit untuk down payment rumah. Kalau tak ada pun, kita dah kenal pasti sumber untuk dapatkan wang untuk down payment.

Untuk jangka masa panjang, mulakan dengan sedikit. Sebagai contoh, jika kita mahu bebas kewangan maka kita sudah boleh mula mencari ilmu kewangan, menyimpan secara konsisten walaupun sedikit. Dalam erti kata lain, pupuk dulu tabiat kerana nak tukar tabiat bukan mudah.

YAKIN DAN USAHA

Bila dan senaraikan impian-impian kita, langkah seterusnya ialah yakin. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Sidna Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda;

“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.”

Bila dah yakin, lakukan tindakan segera untuk mencapai impian kita. Jangan terlalu drastik tapi cukuplah dengan kecil untuk mendapatkan rentak. Contohnya, bila dah niat untuk mendirikan rumah tangga, terus cari ilmu tentang rumah tangga, tambah skill sebagai sebagai seorang suami atau isteri.

Bila kita dah berusaha ke arah mencapai impian, Allah akan menghantar bantuan melalui insan-insan yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan termasuk mereka yang kita sendiri tak kenali untuk membantu kita. Wallahu a’lam.

Saya dan rasai kekuatannya dan kini giliran anda untuk capai impian anda semua. Selamat bercita-cita dan semoga berjaya!