JIWA AKADEMIA

Pembangunan modal insan seharusnya bermula di peringkat akar umbi lagi. Justeru, tidak dapat dinafikan golongan pendidik memegang amanah besar bagi melahirkan pemimpin masa depan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, keluhuran adab sopan, kemantapan integriti, dan sahsiah diri yang unggul. Oleh yang demikian, karisma seorang pendidik dituntut untuk memberi impak besar kepada pembangunan modal insan yang seimbang.

Mendidik dengan sentuhan kasih sayang meliputi kesantunan, perhatian, memuliakan, menghargai, dan menghormati. Sikap sedemikian menjadikan pelajar lebih bermotivasi, menenteramkan jiwa, dan memberikan inspirasi kepada mereka. Amanah dan tanggungjawab memerlukan kejujuran, memegang teguh kepercayaan dan integriti yang tinggi daripada seorang pendidik.  Ini akan menjadikan proses pendidikan lebih bermakna.  Ilmu tanpa amal tidak mampu memberi apa-apa kesan dalam kehidupan seseorang.   

Oleh yang demikian, dengan semangat yang ada seperti inilah yang membuatkan saya berada di tempat saya sekarang iaitu sebagai salah seorang warga pendidik.  Saya memilih kerjaya sebagai pendidik kerana saya diberikan peluang oleh UTM untuk menjadi salah seorang pendidik di UTM. Setelah saya menghabiskan pengajian di peringkat PhD, saya terus diberikan peluang oleh panel sains sukan untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai pensyarah sains sukan di UTM. Walaupun saya graduan PhD di dalam bidang teknologi, saya dipilih oleh panel sains sukan untuk meneraju bidang teknologi dalam sukan dengan kepakaran yang saya perolehi. Dengan minat yang mendalam dalam bidang teknologi  dan sukan ini, akhirnya saya berbakti kepada UTM sebagai salah seorang akademia dalam tempoh masa dua bulan dari tarikh panggilan temuduga.

Sebagai seorang pendidik, saya sering bimbang akan isu dimana adakah pelajar saya mudah menerima teknik pengajaran saya yang menggunakan teknologi yang mereka tidak familiar dan yang paling utama adalah kebimbangan jika mereka tidak dapat adaptasikan pembelajaran mereka kedalam kehidupan seterusnya. Cabaran yang dirasai sebagai seorang akademia adalah untuk melahirkan pelajar yang sentiasa kreatif dan aktif. Pengalaman yang pernah dirasai adalah sentiasa tercabar dengan teknologi-teknologi yang semakin canggih yang digunakan dalam pendidikan. Cabaran bagi saya sebagai akademia yang baru untuk meneraju teknologi dalam proses PnP saya dan memastikan pelajar sentiasa selesa dan mengaplikasikannya dalam proses pembelajaran mereka.

Walaubagaimanapun, untuk saya memilih menerajui bidang akademia ini adalah bermula daripada melihat akan semangat seorang pendidik yang telah pun menjadi idola saya di dalam bidang ini.  Beliau adalah seorang pensyarah dalam bidang teknologi dan merupakan salah seorang penyelia ketika saya melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Ketabahan beliau dalam mendidik dan memastikan anak didikannya berjaya mencapai apa yang diingini sering membuatkan saya kuat dan terinspirasi untuk berjaya sepertinya. Inspirasi dan menjiwai bidang ini bukannya datang dari beliau sahaja bahkan melihat akan kejayaan isterinya juga membuatkan saya semakin cintakan kerjaya yang sedang digalas ini. Walaupun kejayaan mereka semakin meningkat naik, apa yang dapat dinilai dari mata hati saya adalah mereka sentiasa ikhlas menjalankan tanggjungjawab mereka dan yang paling menjadi panduan kepada saya adalah kita jangan pernah sekalipun menjatuhkan orang lain untuk mencapai kejayaan kita. Kata-kata yang sering diungkapkan mereka kepada saya juga sentiasa saya pegang iaitu jika kita memudahkan kerja orang, Allah akan memudahkan kerja kita pula. Ikhlaskan hati dan jangan mudah merungut dengan apa yang kita lalui. Sabar itu tidak mudah tetapi sabar akan menjadi mudah jika kita sentiasa semai didalam jiwa kita.    

Dalam mendidik ‘anak sendiri’, pendidik sebagai ibu atau ayah pastinya memikirkan  hanya yang terbaik untuk ‘anak mereka’. Mereka bukan sahaja berperanan untuk memastikan pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang ditetapkan melalui kurikulum tetapi juga membentuk akhlak, menerapkan nilai murni dan memupuk nilai keagamaan dalam diri pelajar mereka.  Proses penerapan ilmu dan akhlak ini tidak boleh dilaksanakan secara mekanikal tanpa melibatkan perasaan dan semangat untuk mendidik, malah emosi memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana yang kondusif dalam pembelajaran.

Nescayanya, apa yang dapat diungkapkan adalah bukan mudah untuk berjuang sebagai seorang akademia. Terlalu banyak tanggungjawab, kerja dan bebanan yang perlu digalas. Banyak jiwa-jiwa akademia yang telah hilang akibat daripada mengejar pangkat, wang ringgit, imbuhan, nama dan sebagainya. Kelalaian seperti inilah yang boleh membunuh jiwa-jiwa kita secara kita tidak sedar. Walaubagaimanapun, kita perlu ingat kita boleh memilih untuk bergerak kejalan yang bagaimana. Pesanan dari mereka-mereka yang lebih awal menerajui bidang akademia sering di ingati dan tersemat didalam jiwa ini. Ikhlaskan hati dan sentiasa ingat “Kerana Tuhan Untuk Manusia”. Semoga jiwa akademia yang baik dapat diwarisi dan dikekalkan sepanjang hayat. “Jangan Di Bunuh Jiwa Itu”.  

“Jangan Di Bunuh Jiwa Itu”

~Soul of Academia~
Adjah


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *