Baru-baru ini, media memaparkan ribuan puing dan balak hanyut disebabkan banjir besar melanda. Walau apa puncanya, kerosakan sudah berlaku dan alam memberikan amaran dek perbuatan tangan manusia.
Selagi kayu-kayan masih diperlukan, penuaian hasil hutan tidak akan pernah terhenti. Persoalannya, adakah wujud undang-undang dan kaedah untuk pembalakan lestari? Mungkin undang-undang sedia ada perlu disemak semula dan dikuatkuasakan!
Kayu-kayan mempunyai pelbagai fungsi dan digunakan sejak zaman-berzaman. Teknologi manusia berkembang seiring kepelbagaian fungsi kayu-kayan. Ini menjadikan ia kekal relevan digunakan hingga hari ini kerana sifat dan karakternya yang unik serta pelbagai.
Potongan kayu daripada pokok dan dahan yang belum diproses dipanggil balak. Dengan ukuran potongan 100 milimeter (mm) x 100mm hingga 150mm x 150mm, ia dipanggil tiang. Bagi yang berukuran tebal lebih 100mm x lebar lebih 150mm pula, ia dipanggil kayu segi besar.
Papan dan beroti datang dengan pelbagai saiz yang lebih kecil daripada itu. Secara umumnya, kayu terbahagi kepada jenis lembut dan keras. Ada juga dikelaskan sebagai keras dan berat (gred A), keras dan sederhana berat (gred B), keras dan sederhana ringan (gred C) serta kayu jenis ringan (gred D).
Pengelasan kayu-kayan ini berdasarkan ketumpatan kayu. Ia kemudian disesuaikan dengan kefungsian atau kegunaannya. Faktor lain menyumbang kepada kegunaan kayu termasuk corak dan warnanya.
Ini bermakna tidak semua jenis kayu mampu menampung fungsi dan kegunaan yang sama. Kualiti berbeza sudah pasti membawa nilai mata wang yang berbeza. Justeru, sebahagiannya menjadi buruan kerana harganya.
Setinggi mana nilai harga kayu-kayan yang dituai, tidak sebanding dengan nilai kerosakan alam yang disemai. Pembalakan lestari itu sendiri seperti istilah janggal dan tidak seganding.
Walaupun ada usaha ke arah itu, hakikatnya pokok ditebang sudah pasti mencacatkan ekosistem dan memakan masa lama untuk pulih seperti sediakala. Dalam tempoh itu, manusialah yang akan membayar harganya.
Barangkali terdapat beberapa panduan dalam melestarikan pembalakan. Antaranya dengan memotong dahulu pokok yang memanjat pada dahan ditebang. Barangkali untuk mengurangkan kesan ‘domino’ dan berangkai daripada pokok yang tumbang.
Pohon dijatuhkan juga perlu dihalakan pada kawasan ‘kurang’ memberi kesan kepada persekitaran. Di samping itu, perlu diwujudkan zon pemampan aliran, di mana tiada jatuhan balak dan laluan jentera kecuali pada laluan dibenarkan.
Zon penampan ini termasuk kawasan perkampungan, taman, tasik, laluan air, kawasan tadahan air dan lokasi berpotensi tanah runtuh. Penggunaan jentera melalui kawasan hutan juga perlu diurus dengan baik bagi meminimumkan kesan kerosakan tanah dan hakisan.
Penggunaan teknologi yang boleh meminimumkan kerosakan pada tanah perlu diperkasakan. Perkara paling utama adalah pengurusan sisa di mana 25 hingga 50 peratus balak dituai kebanyakannya menjadi sisa buangan.
Alasan kos tinggi untuk pengurusan pembalakan lestari sudah pasti menjadi topik yang akan diperdebatkan. Namun, apalah boleh dibandingkan kos pengurusan seperti ini dengan nilai harga kayu-kayan yang mencecah ribuan ringgit setiap tan.
Jika tidak melalui penuaian hutan, mungkin kita perlu memperkasakan alternatif kepada kayu-kayan yang diselongkar dari rimba. Secara kecil-kecilan barangkali, kita boleh mencadangkan penggunaan semula kayu-kayan daripada binaan lama.
Sisa kayu daripada industri boleh diproses semula dengan penghasilan papan partikel dan papan fiber untuk kegunaan ringan. Produk berasaskan fiber juga perlu diperkasakan melalui alternatif hasil pertanian sedia ada serta tumbuhan lebih mudah ditanam serta dituai seperti buluh, hampas padi, daun nanas dan lain-lain.
Hasil perladangan seperti pokok sawit dan getah juga boleh dipertimbangkan antara pilihan kepada produk berasaskan kayu.
Selain itu, kitar semula kertas terpakai mungkin perkara remeh yang pernah kita pandang sebelah mata. Ia sudah pasti menyumbang, walaupun atas usaha sangat kecil.
Terdapat juga alternatif menanam ‘hutan’ segera daripada jenis kayu-kayan cepat membesar seperti kayu Poulownia. Namun, usaha ini tidak dapat menyelesaikan keperluan daripada kepelbagaian kualiti kayu yang dinyatakan pada awal penulisan ini tadi.
Di sinilah peranan kajian dan pembangunan (R&D) berterusan diperlukan. Sebagai contoh, terdapat kajian dalam usaha meningkatkan karakter mekanikal bagi kayu jenis lembut dan ringan melalui perawatan tertentu.
Terdapat juga kajian dalam membangunkan bahan pengganti kayu dalam industri daripada sisa pertanian. Begitulah seterusnya.
Nilai eksport kayu-kayan negara boleh mencecah RM20 bilion setahun. Industri ini juga menarik lebih RM700 juta pelaburan sebelum pandemik melanda dan menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 50,000 orang.
Namun, kita perlu beringat bahawa hutan adalah anugerah dan khazanah alam tidak ternilai harganya. Ia menjadi habitat pelbagai spesies serta mempunyai pelbagai fungsi yang menstabilkan ekosistem dunia.
Hutan simpan seharusnya dipelihara dan dipulihara apabila diwartakan. Lebih daripada itu, tidak semua spesies flora dan fauna boleh beradaptasi dengan ‘sisa’ tangan manusia serta hutan yang ternoda oleh kerakusan wang ringgit dan atas nama ekonomi negara.
Kerosakan pasti berlaku akibat pembalakan, namun pengurusan teliti perlu diambil kira andai kata ia perlu juga dilaksanakan. Undang-undang pembalakan hutan mesti diperkasakan.
Kajian berkaitan sumber alternatif juga perlu dipergiatkan. Kerakusan dalam pembalakan hutan dengan pengurusan tidak diambil endah bukan sahaja memberi kesan, sebagai contoh bah besar yang melanda. Pengurusan pembalakan yang huru-hara mungkin juga mengundang kebakaran hutan apabila kemarau menjengah tiba.
Ingatlah, lesen bukan penentu kepada alam yang murka.
Muka 10, Berita Harian
Recent Comments