COMMUNITY PROGRAMS


KTF UTM perkukuh minat pelajar terhadap STEM di Simpang Renggam

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah (KTF) terus memperkukuh jalinan universiti dengan masyarakat apabila menyertai Karnival Kerjaya STEM Peringkat Negeri 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor.

Program anjuran Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Parlimen Simpang Renggam ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penyertaan pelbagai institusi pendidikan tinggi serta rakan industri.

UTM melalui KTF menampilkan reruai pameran yang interaktif dan informatif, menonjolkan program-program Sarjana Muda UTM serta hasil penyelidikan pelajar dalam bidang teknologi lestari, tanah dan mineral. Antara tarikan utama ialah pameran model sampel mineral, poster kajian pelajar, serta bahan promosi Kolej Tun Fatimah yang membawa tema “Belongs to the Podium”, mencerminkan semangat kecemerlangan dan daya saing pelajar UTM.


Festival Desa Lestari UTM kukuhkan kerjasama universiti dan komuniti

Program Festival Desa Lestari UTM @ Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 telah berjaya mencapai objektif utamanya dalam memperkukuh jalinan ukhuwah antara warga universiti dan komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif lestari. Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Fatimah (JKP KTF) dengan kerjasama Kelab Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LADS) bertujuan menyemai nilai pemeliharaan alam sekitar dan memperkasakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan sosial yang berimpak tinggi.

Aspek pembangunan intelek dan komuniti turut diberi penekanan menerusi Program Pemindahan Ilmu melalui slot Bual Bicara Tanah. Sesi ini menampilkan barisan panel pakar yang terdiri daripada Pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Abdul Rahman Musliman; Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Hj. Nur Faiz Jamil; serta Peguam Bela dan Peguam Cara, Nur Fatin Rosle.

Perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman mendalam kepada penduduk kampung mengenai selok-belok pengurusan tanah serta hak-hak perundangan yang berkaitan. Inisiatif ini membuktikan peranan universiti sebagai hab penyebaran ilmu yang praktikal dan bermanfaat terus kepada masyarakat setempat.


Semarak kelestarian menerusi program “1 Pokok 1 Kolej” bersempena Hari Biodiversiti Antarabangsa

oplus_8388610

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan program “1 Kolej 1 Pokok” untuk memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian kampus. Program ini bertepatan dengan sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa dan melibatkan penanaman pokok kayu asli bermutu tinggi di setiap kolej kediaman di UTM. Program ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang hijau, lestari dan beridentiti tinggi, serta menyokong komitmen global terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

oplus_8388642

Mahasiswa UTM terjemah pembelajaran berasaskan komuniti melalui Program Semarak Komuniti MADANI

Seramai 51 mahasiswa Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjayakan Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kampung Parit Haji Abdul Karim, Ayer Baloi, Johor.

Program ini merupakan anjuran bersama Kolej Tun Fatimah (KTF) dan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM dengan sokongan komuniti setempat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, pihak industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Penganjuran program ini bertujuan menterjemahkan konsep pembelajaran berasaskan komuniti melalui penglibatan langsung mahasiswa bersama masyarakat setempat. Pendekatan tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar, di samping menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, kesukarelawanan, pembangunan belia, kelestarian alam sekitar, kesihatan dan kebajikan masyarakat telah dilaksanakan. Antaranya termasuk program keluarga angkat bersama penduduk kampung, gotong-royong komuniti di beberapa lokasi sekitar kampung, aktiviti perkongsian ilmu bersama pelajar sekolah, pemindahan ilmu perundangan kepada ketua-ketua kampung dan komuniti, bengkel seni kraf tangan bunga dawai, brisk walk lestari, pemeriksaan kesihatan percuma, pengumpulan minyak masak terpakai serta pengagihan bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.

Kejayaan Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri terus mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Pembelajaran Khidmat Masyarakat Service Learning (SL) Terbaik sempena Kolokium Penglibatan Komuniti dan Pembelajaran Khidmat (CESCO) 2026 yang berlangsung pada 20 Jun 2026. Pengiktirafan tersebut mencerminkan keberkesanan program dalam mengintegrasikan pembelajaran akademik, pemindahan ilmu kepada masyarakat serta pembangunan sahsiah mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.

UTM Open Day