Dron menjadi di antara teknologi yang sangat berfaedah buat masa ini terutamannya oleh pihak penguasa yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Awam (ATM) dalam mengawal dan memantau pergerakan orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini untuk mengurangkan sebarang kontek di kalangan orang awam yang boleh menyebabkan berlakunya penyebaran wabak Covid-19 secara meluas. Sudah pastilah drone menjadi pilihan untuk melakukan perkara ini kerana ia dapat mengurangkan kos pemantauan, efisien dan menghasilkan pemantauan yang lebih meluas di mana ianya dapat memantau ke kawasan- kawasan yang sukar dimasuki oleh pihak penguasa dan mengurangkan bilangan anggota yang diperlukan untuk memantau ke setiap pelusuk kawasan (rujuk Gambarajah 1).
Untuk menggerakkan dron sebagai unit pemantau, kita hanya perlukan seorang sahaja operator yang akan mengendalikan drone dan dalam masa yang sama operator memantau pergerakan orang awam. Ianya boleh dilakukan sama ada melalui kaedah manual iaitu menggunakan alat kawalan jauh ataupun secara automatik iaitu apps yang boleh menetapkan waypoints dalam bentuk GPS koordinator iaitu kedudukan-kedudukan yang perlu dron tersebut lintasi semasa terbang. Di sini, saya berpendapat kawalan dron secara automatik lebih baik kerana dalam situasi PKP ini, sudah pastilah pemantauan setiap hari ke kawasan yang sama akan berlaku secara ulang. Maka, pemantauan secara berulang dengan kaedah manual pasti memenatkan dan boleh menghasilkan kecuaian yang tinggi di kalangan operator.
Namun, masih terdapat kekurangan pada kaedah kawalan automatik sedia ada. Kita dapati, proses menerbangkan dron pada kaedah ini memang dilakukan secara automatik. Perkara tersebut memang dapat meringan beban operator. Tetapi operator dron masih perlu untuk memantau pergerakan orang awam secara manual melalui screen yang akan menerima isyarat video dari kamera dron tersebut. Perkara ini juga sangat memenatkan dan membeban operator.
Di sinilah kita sangat memerlukan kecerdikan buatan (artificial intelligence) yang dipanggil teknologi deep learning dalam mengatasi masalah tersebut. Dewasa ini, deep learning telah digunakan secara meluas terutamanya di dalam bidang computer vision, speech processing dan juga text mining. Di dalam bidang computer vision, kita dapat lihat ianya digunakan untuk membina sistem automatik dalam mengklasifikasi imej (image classification), pengecaman object (object classification), pengecaman muka (face recognition) dan sebagainya. Keupayaan teknologi deep learning dalam memain peranannya sebagai alat pengecamam ataupun pengklasifikasian tidak boleh disangkal lagi. Ini kerana ketepatannya mengatasi hampir kesemua kaedah pengecaman dan pengklasifikasian sedia ada.
Gambarajah 1: Penggunaan Drone Untuk Memantau Orang Awam
Gambarajah 2: Operator sedang memantau suasana dari isyarat video yang diterima dari drone dan bagaimana teknologi deep learning dapat digunakan untuk mengesan himpunan manusia (crowd detection)
Jika kita berbalik kepada masalah yang dihadapi oleh operator drone tadi. Kami percaya teknologi ini boleh digunakan (rujuk Gambarajah 2) untuk mengesan pergerakan orang awam melalui video yang diterima dari kamera dron secara automatik dengan kaedah pengesanan orang (person detection), pengesanan kenderaan (vehicle detection) dan juga pengesanan perhimpunan (crowd detection). Di sini kami juga ingin kongsikan beberapa usaha penyelidik UTM untuk menghasilkan sistem pengesanan manusia (person detection) dan (vehicle detection) melalui video yang diterima dari kamera drone (rujuk dua video di bawah ini). Diharapkan usaha penyelidik UTM dalam menghasilkan sistem automatik mengenalpasti manusia dan kenderaan ini dapat direalisasikan dan mungkin dapat memberi manfaat dalam menghasilkan inovasi yang membantu mengurangkan beban pihak berkuasa dalam memantau pergerakan orang awam dalam mengekang penyebaran wabak Covid-19.
Video demonstrasi pengesanan kenderaan (vehicle detection) melalui video dari drone
Video demonstrasi pengesanan orang (person detection) melalui drone