JOHOR BAHRU, 15 Ogos 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama SD Guthrie Research Sdn Bhd (SDGR) hari ini melancarkan Advanced Mechanisation Satellite Lab (AMSL), makmal satelit pertama di Malaysia yang memfokuskan penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam mekanisasi sektor perladangan kelapa sawit.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias, bersama Ir. Dr. Mohd Shiraz Aris, Ketua Upstream Research, SDGR.

Kerjasama strategik ini dijangka menangani cabaran mekanisasi di ladang secara lebih praktikal dan berimpak tinggi, berteraskan kekuatan kepakaran kedua-dua pihak khususnya dalam pembangunan teknologi penuaian kelapa sawit yang cekap dan lestari.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, dalam ucapan aluan berkata, “Kepercayaan SDGR kepada FKM dalam mewujudkan makmal satelit ini mencerminkan keyakinan terhadap jambatan kerjasama akademia–industri yang kukuh.”
Penubuhan AMSL diketuai oleh Ir. Dr. Amir Putra Md. Saad (FKM, UTM) yang sejak 2021 bekerjasama rapat dengan SDGR melalui pembangunan Integrated Harvesting Mechanism (IHM). Kejayaan tersebut menjadi asas kepada AMSL, seiring visi bersama Ts. Dr. Mohd Zulfahmi Mohd Yusoff, Ketua Bahagian Advanced Mechanisation Technology (AMT), SDGR.

AMSL memberi fokus kepada tiga teras utama:
- Penyelidikan – Inovasi penyelesaian untuk cabaran mekanisasi ladang.
- Akademik – Perkongsian kepakaran industri bagi memperkaya kurikulum.
- Pembangunan Bakat – Melahirkan graduan berkemahiran dan bersedia untuk industri.
Menurut Prof. Dr. Rosli, “Makmal satelit ini bukan sekadar ruang penyelidikan; ia komitmen UTM ke arah penyelesaian lestari yang memenuhi keperluan industri dan melambangkan kolaborasi erat universiti–industri. Penubuhan AMSL ini juga sejajar dengan pelan strategik UTM ASCEND2030, yang menekankan pengukuhan ekosistem penyelidikan berimpak tinggi, kerjasama industri yang mampan serta pembangunan bakat global yang berdaya saing.”

Sementara itu, Ir. Dr. Shiraz menegaskan bahawa cabaran sebenar di ladang menuntut pendekatan praktikal berasaskan kejuruteraan. “Teknologi yang berkesan lahir daripada pemahaman realiti di lapangan dan penerapan asas kejuruteraan yang kukuh,” katanya.
Penubuhan AMSL di FKM UTM bukan sahaja mengukuhkan bidang kejuruteraan mekanikal, malah membuka ruang penglibatan rentas disiplin. Inisiatif ini dijangka memperkasa hubungan industri–akademia serta meningkatkan daya saing sektor perladangan negara.
Disediakan oleh:
Ir. Dr. Amir Putra Bin Md Saad
Ketua,
Advanced Mechanisation Satellite Lab (AMSL)
