Pendakian ke Gua Bewah – Meneroka Zaman Hoabinhian

Hari kedua bermula dengan aktiviti mendaki ke Gua Bewah. Sebelum melakukan pendakian semua peserta bersarapan bersama di atas houseboat. Pendakian kali ini tidak sama dengan pendakian ke puncak pokok Melunak. Pendakian kali ini agak pendek dan laluan untuk mendaki juga sangat baik tapi faktor keselamatan tetap dijaga supaya tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Untuk ke Gua Bewah, houseboat perlu bergerak ke Jeti Gua Bewah sekitar 10 minit perjalanan. Pendakian bermula dengan menaiki tangga batu yang disediakan. Laluan pendakian agak tinggi dan curam. Semua peserta berhati-hati ketika mendaki dimana hujan renyai juga turut bersama mengiringi kami mendaki ke Gua Bewah.

Dalam masa hanya 20 minit dari Jeti ke Gua Bewah, kami telah tiba di pintu masuk gua yang menakjubkan itu. Gua Bewah, terletak di kawasan yang indah dan asli, menyimpan keajaiban alam yang menanti untuk diterokai. Gua Bewah dikenali dengan keindahan stalaktit dan stalakmit yang terdapat di dalamnya, dan gua ini menyimpan sejarah yang menarik dan khazanah prasejarah zaman Hoabinhian.

Sedikit catatan berkaitan Gua Bewah & Hoabinhian adalah salah satu tapak arkeologi Hoabinhian yang paling tua dan penting di Malaysia. Gua ini banyak menyimpan khazanah prasejarah Hoabinhian seperti rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu, penggorek api, beliung batu, sisa makanan, dan banyak lagi.Info berkaitan Gua Bewah dan Zaman Hoabinhian boleh rujuk disini INFO GUA BEWAH.

Di pintu masuk Gua Bewah juga ada disediakan info-info berkaitan Gua Bewah dan penemuan barang-barang zaman Hoabinhian seperti batu pelandas, batu pengetuk, batu tarahan, serpihan tembikar dan sisa makanan. Kami semua teruja memasuki gua dan saya sendiri kali pertama memasuki Gua Bewah. Gua Bewah agak gelap dan ramai peserta digalakkan untuk membawa lampu suluh. Kami berada di dalam gua sekitar 30 minit dan menikmati keindahan yanga da disekeliling Gua Bewah. Kami turun semula ke Jeti untuk meneruskan perjalananan aktiviti di Air Terjun Lasir.

Air Terjun Lasir

Pengembaraan kami diteruskan ke Air Terjun Lasir. Perjalanan menaiki houseboat dari Gua Jeti Gua Bewah menuju ke Air Terjun Lasir mengambil masa sekitar 4 jam. Di awal perjalanan hujan agak lebat tapi keadaan terkawal. 

Perjalanan menuju Air Terjun Lasir merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan bagi saya. Meskipun terletak cukup jauh dan memakan masa empat jam perjalanan, keindahan alam yang ditawarkan merasakan perjalanan yang sangatt singkat.

Setelah mengharungi perjalanan yang panjang akhirnya kami sampai ke destinasi yang dituju. Peserta sangat teruja dengan keindahan alam sekeliling Air Terjun Lasir. Ada sebahagian yang mengambil peluang untuk berkayak,berenang dan ada sebahgian kecil menuju ke lokasi air terjun. Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk memancing di sekitar air terjun.