KUALA LUMPUR : Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020, ujar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menjelaskan, pelanjutan tempoh berkenaan dibuat lebih awal agar rakyat lebih bersedia.
“Kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia,” katanya semasa Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan Secara Langsung pada Rabu.
Justeru, mereka yang telah pulang ke kampung halaman sebelum ini diingatkan agar tidak pulang ke ibu kota.
“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.
“Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak
diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak
menguruskannya,” ujar beliau lagi.
Kata Perdana Menteri, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa.
“Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Yang
penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah,” tambahnya.
Beliau turut berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf yang sedang menghadapi keadaan hidup lebih sukar pada masa ini.
“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.
“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera. Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.
“Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Muhyiddin berkata, belau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
“Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik.
“Insya-ALLAH, dengan izin ALLAH SWT kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan petugas-petugas barisan hadapan terus cekal melaksanakan tugas.
“Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah. Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.
Sementara itu, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.
“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,” katanya.