Bulan Syaaban merupakan bulan mulia lagi berkat yang mempunyai banyak kelebihan dan keistemewaannya. Ia adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.
Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan. As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”
Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini antaranya ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH yang bermaksud: “Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.” (Riwayat al –Bukhari)
Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal berpuasa”. Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadhan.”(Riwayat at-Tirmizi)