Walaupun darurat diisytiharkan dalam negara kita, semua pihak harus terus menghormati prinsip dan proses kedaulatan undang-undang.

Pengisytiharan darurat tidak bermakna negara kita tidak ada lagi undang-undang dan semua orang berhak melakukan apa-apa sahaja yang disukai.

Walaupun Parlimen digantung, ia tidak bermakna mereka yang bakal diberi kuasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung boleh melakukan sebarang perkara disukai.

Negara kita masih memiliki Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi sekali dalam negara kita.

Malaysia juga memiliki undang-undang yang perlu dihormati. Prinsip hak asasi manusia masih juga perlu dihormati.

Pihak penguatkuasa sedia ada seperti polis perlu melakukan proses pemantauan supaya tiada pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Semua pihak termasuk badan hak asasi manusia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan peguam perlu memantau perjalanan proses darurat dalam negara kita.

Teguran harus diberi kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa sepanjang proses darurat ini berkuatkuasa dalam negara kita.

Darurat ialah proses pengisytiharan dibuat kerajaan yang lazimnya bagi menggantungkan fungsi biasa tertentu dalam kerajaan.

Ia terpaksa dibuat apabila keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran sedia ada sebelum adanya pengisytiharan darurat ini.

Di negara ini, kuasa pengisytiharan darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Jika baginda berkenaan bahawa ada situasi darurat teruk di mana keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, baginda boleh mengeluarkan Pengisytiharan Darurat.

Kuasa pengisytiharan darurat ini jelas termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Perkara 150 (2) Perlembagaan Persekutuan pula jelas menyatakan bahawa (2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Umum mengetahui penularan virus COVID-19 yang berlaku dalam negara ketika ini. Negara kita juga sedang hadapi kemelut politik sehingga mengganggu fokus untuk mengurang dan membendung penularan virus berbahaya ini dalam negara.

Oleh itu, proses pengisytiharan darurat perlu dilihat sebagai langkah positif bagi memastikan penularan virus COVID-19 tidak menjadi bertambah teruk berlaku dalam negara kita.

Semua pihak harus memberi kerjasama supaya negara tidak terjejas teruk susulan pengisytiharan darurat ini. Pemimpin yang bakal diberi kuasa sepanjang proses darurat ini pula perlu menggunakan kuasa diberikan kepada mereka dengan jujur dan penuh bertanggungjawab.

Sebarang proses penyalahgunaan kuasa tidak seharusnya dibenarkan berlaku sepanjang proses darurat ini. Tindakan yang sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya melanggar peruntukan undang-undang sedia ada serta menyalahgunakan kuasa diberikan kepada mereka.