PERAYAAN THAIPUSAM

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan ‘Thai’ yakni jatuh pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil.

  Tujuan dan objektif sambutan ini sentiasa menjadi tanda tanya kaum-kaum lain. Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi maklumat bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum dikurniakan anak, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.

Pada hari itu mereka akan membawa susu yang diisi dalam belanga kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak, warna, daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Walau bagaimanapun, bukan semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini. Hal ini demikian kerana pembawaan belanga bukanlah kewajipan dalam meraikan kebesaran Tuhan Murugan.

Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.

Pelbagai cara “menyeksa diri” dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga dalam kalangan pembazar nazar atau peminta ampun yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belalang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sentimeter. Perayaan ini bukan sahaja melibatkan penganut agama Hindu di Malaysia, malah pelancong asing dari seantero dunia. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.

Boleh dikatakan semua pembayar nazar berada dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu. Ada juga yang percaya, dewa yang memberi “kuasa” kepada mereka untuk berbuat demikian dan mereka seolah-olah jalan terumbang-ambing dan berada dalam keadaan separuh sedar. Amalan ini amat dipandang berat dalam perayaan ini. Sebenarnya, Agama Hindu berasal dari India dan dibawa ke Malaysia oleh buruh-buruh ladang pada zaman penjajahan British seawal 1786 di Pulau Pinang. Perayaan Thaipusam pada zaman dahulu disambut di ladang, kuil-kuil Hindu yang dibina dengan pembiayaan beberapa orang penganut Hindu yang berkemampuan.