Bulan Februari disambut sebagai Bulan Antidadah Kebangsaan manakala Hari Antidadah Kebangsaan pula disambut pada 19 Februari setiap tahun.
Tujuannya adalah untuk merealisasikan Dasar Dadah Negara dengan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah ini di Malaysia. Penyalahgunaan dadah adalah masalah sosial yang paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Penglibatan masyarakat dengan dadah tidak mengenal usia dan ia melibatkan semua golongan sama ada miskin, kaya, profesional, buruh, kakitangan awam mahupun pelajar-pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi.
Penyalahgunaan dadah kini semakin berleluasa dalam kalangan remaja, terutama yang masih bersekolah, iaitu golongan pewaris pembangunan negara.
Antara faktor para remaja terjerumus ke kancah penagihan dadah:1. Pengaruh rakan sebaya2. Perasaan ingin tahu3. Krisis identiti semasa proses perkembangan remaja4. Terjerumus secara tidak sengaja 5. Isu-isu keluarga, seperti
- sosioekonomi keluarga yang rendah
- ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerja
- pergaduhan atau penceraian ibu bapa
- penderaan dalam keluarga
- ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak
- ibu bapa terlalu pilih kasih
- ibu bapa bersikap terlalu kritikal terhadap anak-anak.
Ditambah pula dengan kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa yang boleh diperoleh dengan mudah, meningkatkan lagi risiko golongan ini untuk terlibat dalam kancah penagihan dan pengedaran dadah.
Penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta turut semakin membimbangkan apabila semakin ramai antara mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ini. Ada di antara mereka yang telah terlibat dari zaman bangku sekolah lagi dan membawa ketagihan ini sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Apa yang membimbangkan ialah mereka boleh mempengaruhi rakan lain di kampus untuk turut sama menjinakkan diri dalam kancah penagihan dadah. Akhirnya, merosakkan golongan para belia terpelajar ini yang merupakan aset pembangunan modal insan dan kepimpinan agama, bangsa serta negara.
Para pekerja juga tidak terkecuali terlibat dalam kegiatan penagihan ini dan ada di antara kalangan mereka ini merupakan penjawat awam. Laporan menunjukkan secara keseluruhan seramai 804 orang penjawat awam ditahan kerana mengambil dadah bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2021. Daripada jumlah itu, seramai 346 orang merupakan pegawai dan anggota polis, 340 orang kakitangan awam, 104 orang pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 14 orang merupakan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Perkara sebegini boleh menjejaskan imej penjawat awam sebagai golongan pekerja yang seharusnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti. Selain itu, menjejaskan prestasi kerja secara personal dan pencapaian jabatan secara keseluruhan.
Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat agar kita dapat mewujudkan persekitaran kerja, keluarga dan komuniti yang bebas dari dadah. Berikan bantuan serta hulurkan sokongan moral dan sosial kepada mereka yang memerlukan terutama ahli keluarga agar golongan ini dapat berubah dan kembali semula ke pangkal jalan.