Selain daripada mengambil ubat batuk, batuk juga boleh dihilangkan dengan semulajadi.

Kebanyakan bahan-bahan yang diperlukan pun memang dah ada dalam dapur anda.

  1. Madu –

Tak dapat nak dinafikan yang madu asli mempunyai banyak khasiatnya termasuklah melegakan batuk.

Madu boleh dimakan begitu sahaja atau dicampurkan dengan bahan semulajadi lain seperti perahan limau nipis dan jus lemon.

Kombinasi madu asli, perahan jus lemon dan air suam menghasilkan ramuan mujarab untuk mengurangkan batuk.

Madu mampu menenangkan manakala jus lemon boleh membantu daripada berlakunya kesesakan pada rongga.

2. Air masak –

Salah satu cara semulajadi yang paling mudah adalah meminum air masak.

Batuk yang berlarutan mampu menyebabkan sakit tekak.

Jadi, amatlah penting untuk anda mengekalkan kelembapan tekak dengan meminum air masak.

Air masak juga mampu mencairkan kahak dan mengelakkan dehidrasi (kekurangan air) yang mampu mengundang penyakit lain.

3. Halia –

Halia mempunyai pelbagai khasiatnya. Antaranya adalah membantu membuang kahak, dan melegakan serta mengurangkan pedih pada tekak.

Keberkesanan halia terbukti apabila dijadikan teh halia dan diminum secara panas atau suam.

Campurkan pudina segar untuk bantu menghilangkan gatal pada kerongkong.

Nak membuat teh halia yang menyelerakan untuk diminum sangatlah mudah!

Anda hanya perlu rendam halia dan beberapa helai daun pudina dalam segelas air panas.

Campurkan sedikit madu untuk menaikkan rasanya dan minum teh ini dua gelas sehari.

4. Aiskrim –

Pasti ramai yang terkejut memandangkan kita selalu ditegah memakan aiskrim ketika sakit.

Tetapi aiskrim sebenarnya boleh membantu mengurangkan sakit tekak.

Sifat aiskrim yang sejuk dan tekstur yang lembut dapat mengurangkan sakit tekak kerana tekak akan merasa kebas.

Pesakit akan berasa lebih selesa dan nyaman.

Selain itu, aiskrim juga boleh menaikkan selera makan dan memberikan tenaga.

5 .Asam Jawa –

Asam jawa tidak asing lagi dalam masakan Melayu tetapi tahukah anda asam jawa juga mempunyai khasiat yang mampu melegakan tekak anda?

Nak buat air asam jawa pun sangat senang.

Anda hanya perlu campurkan dua sudu asam jawa dengan air suam dan kacau hingga sebati.

Jangan lupa tapiskan air asam jawa untuk buang biji dan seratnya.

Walaupun masam, air asam jawa mampu menyamankan tekak dan menyejukkan badan.

Minum dua kali sehari untuk kesan yang optimum.

6. Bawang putih –

Bawang putih bukan hanya untuk menaikkan rasa dalam masakan tetapi boleh juga menghilangkan batuk.

Bawang putih sebenarnya salah satu petua tradisional yang berkesan dan amat mudah.

Caranya ialah membakar satu labu bawang putih di atas dapur gas selama 15 minit.

Jangan buang kulitnya dan pastikan ianya tidak terbakar sehingga hangit atau rentung.

Selepas 15 minit, buangkan kulitnya dan makan begitu sahaja.

Kalau tak berselera makan bawang putih, jangan risau sebab ada cara alternatif yang anda boleh lakukan.

Tumbukkan bawang putih yang dah dibakar tadi dan gaul bersama minyak zaitun atau minyak kelapa dara.

Kesimpulan

Itulah antara tips dan petua menghilangkan batuk secara semulajadi yang dapat dikongsikan dalam artikel ini.

Bahan semulajadi mempunyai pelbagai khasiat yang harus kita manfaatkan.