JOHOR BAHRU, 21 Mei – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-65 (MK65) telah meraikan 5,672 orang graduan di samping menyaksikan beberapa tokoh akademik mendapat penganugerahan di Dewan Sultan Iskandar, di sini, bermula hari ini.

Diadakan dalam 14 sesi bermula 21 Mei hingga 28 Mei, MK65 telah menganugerahkan Anugerah Kehormat kepada YBrs. Tuan Haji Selamat bin Hashim dan dua lagi tokoh negara mendapat penganugerahan gelaran Profesor Emeritus iaitu YBrs. Dato’ Ir. Dr. Alias bin Mohd Noor dan YBrs. Dr. Sabariyah binti Din.Sesi pengijazahan telah disempurnakan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor bersama-sama Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin bin Ibrahim.

Sesi MK65 kali ini tetap dijalankan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) namun dengan sedikit kelonggaran apabila graduan dibenarkan masuk ke Dataran UTM untuk saringan kesihatan secara pandu-lalu dengan kenderaan masing-masing sebelum menuju ke parkir yang disediakan di Laman Menanti.

Pada kali ini juga tiada lagi perarakan graduan masuk ke dewan dan mereka akan bergerak sendiri dari Laman Menanti terus ke dewan untuk sesi pengijazahan.

MK65 juga mencatat kenangan manis apabila secara julung kalinya ibu bapa / keluarga dibenarkan berada di dewan untuk sama-sama meraikan kejayaan graduan pada sesi pengijazahan pasca pandemik Covid-19.

Ini ditetapkan dengan mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada kegirangan graduan dan ahli keluarga.