Ganjaran Solat dan Mengiringi Jenazah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا فَإِنَّه يَرْجِعُ مِنْ الْأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ

Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa mengiringi jenazah seorang muslim, kerana iman dan mengharapkan balasan dan dia bersama jenazah tersebut ketika disolatkan dan sehingga selesai dari penguburannya, maka dia pulang dengan membawa dua qirat, setiap qirat setara dengan gunung Uhud (satu pahala yang besar). Dan barangsiapa menyembahyangkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qirat”. (HR Bukhari No: 45) Status: Sahih

Pengajaran:

1. Antara tanggungjawab sesama Muslim ialah apabila meninggal dunia salah seorang daripada mereka hendaklah di solatkan dan dikebumikan.

2. Orang yang menyembahyangkan jenazah muslim yang lain kerana iman dan keikhlasan, dia akan mendapat ganjaran pahala satu qirat iaitu seumpama gunung Uhud (ganjaran yang besar).

3. Orang yang menyembahyangkan dan mengiringi sehingga selesai pengebumian jenazah seorang Muslim kerana iman dan keikhlasan, dia akan mendapat ganjaran dua qirat (seumpama dua gunung Uhud).

Ayuh kita merebut peluang menyempurnakan jenazah sesama Muslim.

#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor