Firman Allah SWT dalam surah at-Taghabun, ayat ke-16;
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu dan dengarlah serta taatlah dan infaklah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
Prof Dr Wahbah az-Zuhaili menyebut dalam tafsir al-Wajiz bahawa Allah memerintahkan hambanya yang beriman untuk bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dengan niat ketaatan dan jihad, kemudian Allah memerintahkan mereka untuk mendengar dan taat kepada Allah pada segala urusan mereka, dan Allah memerintahkan untuk berinfak dari harta Allah yang Allah berikan kepada mereka kerana sesungguhnya infak di jalan Allah lebih baik bagi mereka di dunia dan di akhirat. Ketahuilah bahwa barangsiapa yang Allah lindungi dari kebakhilan atas dirinya dan menjaga harta dengan berlebihan; Maka mereka itulah orang-orang yang beruntung, beroleh kemenangan yang besar.
Jangan pernah memandang remeh apa yang manusia lakukan biarpun nampak kecil di mata kita, barangkali hanya itu lah amalan yang mampu dia laksanakan.
Dalam satu hadis sahih Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu memandang rendah terhadap perkara-perkara yang kecil (iaitu kerana ia amat besar timbangannya di sisi Allah SWT) walaupun hanya sekadar berwajah manis kepada saudara kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla meninggikan darjat seorang hamba-Nya yang soleh di syurga sehingga hamba itu bertanya: ‘Ya Rabb, Bagaimanakah semua ini (boleh menjadi) milikku? Allah menjawab dengan firman-Nya bermaksud: ‘Kerana istighfar anakmu untuk dirimu.’” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Mari kita tekun dan berusaha sehabis baik dalam setiap perkara yang dilakukan. Semoga Allah SWT akan mengganjari setiap penat lelah kita dalam beramal dan bekerja.