Sifat manusia sering kali merasa tidak cukup denga napa yang dimiliki malah mereka tetap ingin memiliki lebih daripada yang telah dimiliki. Kadang kala mereka lupa diri sehingga sibuk siang dan malam untuk memperolehinya.
Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَطَاءٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Daripada ‘Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih
Manusia sentiasa tidak pernah merasa puas memiliki harta kecuali mereka yang mendapat taufik daripada Allah. Ramai orang yang menghabiskan waktunya hanya untuk urusan dunia, terus menerus mengumpulkan harta dan kemewahan, sampai lalai dari ketaatan dan hati menjadi sibuk dengan dunia sehingga meninggalkan akhirat.
Manusia yang sibuk mencari harta, walaupun telah memiliki sejumlah harta, masih tidak merasa cukup dengan apa yang ada sehingga harta yang dihimpun tidak mengambil kira dari sumber yang halal atau haram.
Manusia yang tidak mendapat taufik akan terus menerus memenuhi nafsu dirinya dengan menghimpun harta sampai ia mati dan di kuburnya isi perutnya dipenuhi dengan tanah kuburan bukan pahala ganjaran.
Carilah harta dengan berpada namun jangan sampai melekat di hati. Cukuplah ia di tangan yang bila-bila masa bersedia untuk diinfak.
Ingatlah, harta berkepuk yang kita himpun mungkin menjadi bala dan musibah di hari akhirat nanti.
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menyebutkan doa yang perlu kita baca agar kita memiliki sifat qanaah.
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِيْ حَلاَلًا لَا تُعَاقِبْنِيْ عَلَيْهِ وَقَنِّعْنِيْ بِمَا رَزَقْتَنِيْ وَاسْتَعْمِلْنِيْ بِهِ صَالِحًا تَقَبَّلْهُ مِنِّيْ اَللَّهُمَّ قَنِّعْنِيْ بِمَا رَزَقْتَنِيْ وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ وَأخْلُفْ عَلَيَّ كُلَّ غَائِبَةٍ لِيْ بِخَيْرٍ
“Ya Allah, anugerahilah aku rezeki yang halal, janganlah Engkau siksa aku atas rezeki itu. Anugerahilah aku sifat mencukupkan diri (sifat qanaah) dengan apa yang telah Engkau rezekikan padaku dan pakaikanlah aku dengan rezeki itu pada jalan yang baik dan terimalah yang baik itu daripadaku. Ya Allah, anugerahilah aku sifat qanaah atas dengan apa yang telah Engkau rezekikan padaku dan berkatilah aku dalam rezeki tersebut, dan gantilah atasku setiap sesuatu yang hilang dariku dengan kebaikan.”