Dalam kehidupan seharian seorang Muslim, masing-masing kita akan merasa gembira apabila mendapat kebaikan daripada orang lain. Kita juga akan merasa gembira apabila didoakan dengan kebaikan dan keselamatan orang sahabat kita.

Satu cara yang mudah untuk kita berbuat baik kepada sahabat Muslim kita ialah dengan mendoakan mereka dengan kebaikan. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa orang yang mendoakan kebaikan kepada saudara Muslim yang lain tanpa pengetahuannya, dia juga akan mendapat doa Malaikat:

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Dardaa RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: ‘Dan bagimu kebaikan yang sama.’ (Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Maka, doa seorang Muslim kepada Muslim yang lain tanpa diketahui sahabatnya lebih mustajab.

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (HR Muslim No:4914).

Dalam Syarah Muslim, yang dimaksudkan dengan kalimah “ظهر الغيب” dalam hadis ini adalah ketika orang yang didoakan itu tiada ataupun berdoa kepadanya secara diam-diam (tanpa pengetahuannya). Cara ini akan menimbulkan atau meningkat tahap keikhlasan kita ketika berdoa.

Kalimah “مثل” pula bermaksud seperti yang didoakannya (dia juga akan dapat doa yang sama daripada Malaikat).

Hal ini menunjukkan kelebihan berdoa kepada saudara muslim secara diam atau sembunyi. Walaupun yang didoakan itu adalah sekumpulan kaum muslimin maka dia akan memperoleh kelebihan didoakan yang sama oleh malaikat dan kemustajaban doa (Allah SWT memakbulkan doanya).

Disebabkan itu, sebahagian salaf, jika mereka ingin mendoakan kepada dirinya, mereka akan berdoa kepada saudaranya muslim secara sembunyi kerana ia adalah mustajab dan mereka akan memperolehi yang sama seperti yang didoakan itu. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 17/49]

Ummu Dardaa menceritakan,

كان لأبي الدرداء ستون وثلاث مئة خليل في الله يدعو لهم في الصلاةفقلت له في ذلك فقال : إنه ليس رجل يدعو لأخيه في الغيب إلا وكل الله به ملكين يقولان : « ولك بمثل » أفلا أرغب أن تدعو لي الملائكة

‘Dahulu Abu Dardaa memiliki sekitar 300 orang sahabat . Di dalam solatnya, Abu Darda seringkali mendoakan mereka. Aku pun berkata kepadanya tentang apa yang dia lakukan.’ Maka dia pun berkata, ‘Sesungguhnya tidaklah seseorang mendoakan bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, kecuali Allah mengutus denganya dua malaikat, yang keduanya akan mengatakan, ‘Begitu juga denganmu.’ Apakah aku tidak boleh mendambakan malaikat mendoakanku?’” (Siyar A’lam al-Nubala’, 2: 351)

• Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.

• Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.

• Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.

• Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.

SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah