Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ
Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan- keburukannya).” (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
- Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.
- Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.
- Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.
- Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).
- Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.
- Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.
Bersama membina keluarga bahagia kearah mewujudkan Negara Rahmah Ummah Sejahtera.