Gembirakan Ibubapa

“Abang, tak payahlah mop bilik tu, kemas je baju dan barang-barang yang nak dibawa balik” Idah ternampak anak lelakinya sibuk mengemop lantai bilik tidur mereka.

“Ibu bukan ‘maid’ kami, tak mengapa ibu, abang gembira kemas ini semua. Tak perlu ibu buat, abang nak ibu rehat” abang tersenyum memandang ibunya.

Abang sekeluarga hendak balik semula ke rumah mereka setelah beberapa hari menziarahi ibubapanya.

Hati ibunya berbunga-bunga.

‘Alhamdulillah’ getus hati si ibu.

Fenomena ini mungkin sering berlaku kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa. Apatah lagi jika sudah berkeluarga dan beranak-pinak.

Ibubapa pula semakin berusia. Kudrat pula semakin berkurangan. Apabila anak-anak berkumpul, sudah tentu keadaan rumah ‘meriah’ dengan suara dan mainan cucu-cucu.
Rutin harian pula semakin bertambah dan agak membebankan.

Anak-anak yang balik tentu membawa kegembiraan kepada ibubapa. Tambahan pula, baru sahaja kelonggaran merentasi negeri diperbolehkan oleh pihak berkuasa. Inilah ketikanya untuk melunas rindu yang sekian lama terpendam.

Wahai anak-anak, gembirakan ibubapa dengan:

  1. Mendengar nasihat dan teguran mereka walaupun anak-anak sudah cukup dewasa.
  2. Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita rasa gembira dan bahagia walaupun hanya sekadar bertanya khabar.
  3. Apabila menziarahi mereka, kita tidak membiarkan ibu atau bapa melakukan rutin harian bersendirian. Ringankan tulang untuk membantu mereka. Sekiranya tiada kemahiran suatu perkara yang dibuat oleh mereka, tawarkan kepada mereka apa sahaja yang boleh dibantu bagi menggembirakan mereka.
  4. Sedaya mungkin elakkan melakukan sesuatu yang menyusahkan hati ibu bapa atau membuatkan ibu bapa ‘serabut perut’.
  5. Sentiasa mendoakan kebaikan untuk kedua ibubapa dan maafi kesilapan ibubapa kerana mereka juga tidak sunyi daripada salah dan silap.

Tiada hadiah yang paling berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!” (HR Abu Daud: 2166)

Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.

Wanita IKRAM Johor